|
KEHILANGAN insan paling dekat dengan jiwanya dan terpaksa pula berdepan dengan dua kes perceraian yang menjadi tontonan khalayak, setabah manapun hati wanita pasti retak jua. Apatah lagi segala perjalanan hidupnya di bawah lampu gemerlapan selebriti dihakimi mata umum. Segala keputusan dan jalan hidupnya menjadi tontonan dan bahan cerita. Menjadi sebuah layar.
Itu yang dirasakan Dewi Sandra beberapa tahun lalu. Sebelum dia bertemu dengan individu-individu yang membuka balik hati dan matanya terhadap makna reda.
"Saya bertemu dengan golongan khalayak yang positif walhal mereka pernah melewati hal-hal yang lebih dahsyat daripada saya. Mereka berhadapan pelbagai kehilangan dan kesusahan. Lalu apabila ditanyakan apakah rahsianya, mereka menjawab 'iman'," luahnya yang semakin manis dipandang.
Jiwa yang sedang mencari tenang dan reda ini pastinya diuji atas nama sebuah hijrah. Saat dia mula memakai tudung dan mencari jalan kebaikan, khalayak mengharapkan dia muncul sebagai malaikat. Walhal Dewi mengaku belum siap sepenuhnya dan sedang mencari dalam hijrahnya.
"Saya dalam proses belajar. Saya masuk kelas Iqra bersama kanak-kanak berusia dua tahun ke atas. Saya tidak malu mengakui itu tetapi ia bukan sesuatu yang mudah," ujarnya yang ditemui di Hotel Royal Chulan Damansara selepas program bersama Into Taqwa.
Ditanyakan bagaimana dia mengawal dirinya daripada turut menjadi hakim hidup orang lain setelah menuju jalan kebaikan, dia senyum. Lantas dia menjawab tenang:
"Berhenti dan fikir. Itu sebuah muhasabah. Apabila kita menghakimi orang lain, kita sebenarnya mengadili diri kita sendiri. Ia seperti cermin."
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: