Friday, December 6, 2013

Gedung khazanah seni, warisan negara



SETIAP hari selepas tamat sesi persekolahan pada sebelah pagi sekitar dua dekad lalu, Sharifah Radzieh Tuan Ismail akan dibawa ke Pasar Seni oleh ayahnya yang mengusahakan perniagaan kraftangan tradisional, Tuah KTC di Kuala Lumpur.
Anak sulung daripada enam beradik yang mesra dengan panggilan Diana itu sudah menganggap destinasi persinggahan pelancong dari dalam dan luar negara itu sebagai rumah pertamanya kerana sebahagian kehidupannya bermula di Pasar Seni sejak dia berusia dua tahun.
Kehidupannya yang berlatar bangunan ikonik tersebut juga menyebabkan anak kelahiran Kota Bharu, Kelantan ini arif dengan selok-belok dan setiap penjuru di lokasi berkenaan.
Jika ada masa terluang, Diana akan membantu ayah dan ibunya menguruskan perniagaan yang dibawa dari Kelantan ke ibu kota sejak tahun 1981.
Tanya sahaja mengenai mana-mana lokasi di setiap penjuru Pasar Seni pasti Diana dapat menceritakan kisah silamnya dengan panjang lebar. Jelasnya, ruang di tingkat bawah bangunan bersejarah tersebut dahulunya banyak kosong dan para pengunjung tidak mempunyai banyak pilihan kerana jumlah premis tidak bercambah seperti sekarang.
Selain suasana yang sunyi, Diana menyifatkan susun atur perniagaan di Pasar Seni pada waktu tersebut kurang tersusun dan tidak menarik.
Bicara wanita lulusan Pengurusan Perniagaan dari Management and Science University (MSU) itu lagi, orang ramai pernah melontarkan pelbagai persepsi negatif terhadap mercu tanda hebat ini sebagai kawasan hitam kerana lokasinya menjadi sarang penyeluk saku dan penagih dadah sekitar dua dekad lalu.
Namun, sejak pengurusan baharu, Central Market Sdn. Bhd. mengambil alih operasi Pasar Seni pada tahun 2004, banyak perubahan dilakukan terutama dari aspek dekorasi bangunan, keselamatan dan keselesaan kepada para pengunjung.

KIOS konsep kepala kereta api antara inisiatif pihak pengurusan.


Pengunjung juga tidak perlu bimbang mengenai soal keselamatan kerana kawasan Pasar Seni dipantau ketat oleh pengawal keselamatan dan diawasi televisyen litar tertutup (CCTV) sepanjang masa.
“Jika sebelum tahun 2004, imej Pasar Seni seperti pasar biasa tetapi, sekarang keadaan sudah berubah sebab banyak bahagian telah dinaik taraf dan peluang pekerjaan semakin bertambah.
“Kedai-kedai sekarang dihias cantik dengan dekorasi tradisi pelbagai budaya,” katanya ketika ditemui Kosmo! baru-baru ini. Walaupun kewujudan pusat beli-belah moden di Kuala Lumpur bagaikan cendawan tumbuh selepas hujan, Pasar Seni tetap memiliki aura tersendiri kerana produk-produk yang ditawarkan berbeza daripada tempat lain.
Ambil alih
Diana menganggap Pasar Seni ini sebuah lokasi tarikan pelancongan yang istimewa sejajar dengan pengiktirafannya sebagai gedung khazanah kesenian dan warisan negara yang unggul di Malaysia.
“Saya berbangga kerana menjadi sebahagian daripada Pasar Seni dan sudah sebati dengan persekitarannya kerana saya telah berada di sini selama 24 tahun,” katanya.
Di sebalik kisah lampau yang melatari hidupnya, Diana yang kini berusia 26 tahun diberi amanah oleh bapanya untuk menguruskan lapan buah kedai dan satu kios serta dibantu 15 kakitangan di Pasar Seni.
“Saya mengambil alih perniagaan kraftangan ini daripada bapa ketika berumur 22 tahun selepas menamatkan pengajian.
“Perniagaan ini dibawa oleh ayah saya dari Kelantan dan mula bertapak di Pasar Seni sejak tahun 1989. Ia merupakan kedai pertama keluarga kami di Pasar Seni,” jelasnya yang kini bertindak sebagai Pengurus Tuah KTC.
Syarikat Tuah KTC menawarkan produk kraftangan tradisional seperti perak, piuter, hasil ukiran kayu, mengkuang, wau, congkak, batik dan pelbagai lagi hasil seni dari Kelantan selain menawarkan produk antik yang diperoleh dari Malaysia dan rantau Asia. Pelbagai acara dianjurkan sempena sambutan ulang tahun Pasar Seni ke-125 pada hari ini.

PADA awal penubuhannya, Pasar Seni merupakan sebuah pasar basah.


Antara aktiviti menarik yang diadakan adalah ialah pameran gambar-gambar lama dan baharu berkaitan monumen bersejarah itu di Galeri Annexe, Central Market Annexe yang bermula dari 25 November lalu hingga 8 Disember ini.
Turut berlangsung sempena ulang tahun tersebut ialah Festival Makanan Warisan Malaysia yang bermula pada 4 Disember hingga 8 Disember ini di Pasar Seni.
Sementara itu, Pheng Kian Kok yang merupakan seorang pelukis dan antara penghuni terawal Pasar Seni memberitahu, minat melukis sejak di bangku sekolah rendah menyebabkan dia berada di bangunan ikonik itu hingga hari ini.
Mengimbau penglibatannya sebagai seorang pelukis, Kian Kok berhijrah ke Kuala Lumpur kerana menyangka ibu negara pada waktu itu sudah memiliki sebuah pusat seni lukis bagi mengembangkan bakatnya. Namun, Kuala Lumpur ketika itu tidak memiliki fasiliti khas untuk para artis seni mencurah bakat seperti yang terdapat di negara-negara Eropah.
Selepas kecewa dengan keadaan itu, dia memohon pekerjaan lain dan berkhidmat di Jabatan Kerja Raya (JKR) di bahagian kejuruteraan di Mahameru, Kuala Lumpur selama tujuh tahun.
Kian Kok yang kini berusia 59 tahun mula jatuh cinta dengan Pasar Seni selepas dia menyertai program Sunday Art Market sekitar Oktober 1985 secara sambilan.
“Saya terlihat satu artikel di akhbar pada tahun 1985 mengenai pasar basah nak ditukarkan kepada pasar budaya. Inilah tempat saya sebenarnya kerana saya suka melukis sejak darjah satu,” ujar bapa kepada tiga cahaya mata itu.
Menurut lelaki yang peramah dan suka ketawa itu lagi, Sunday Art Market memberi peluang kepada para pelukis tempatan menjual karya masing-masing tanpa perlu membayar sewa tapak berhampiran pintu utama Pasar Seni.
Selepas beberapa bulan menjual hasil lukisan di bawah panas terik, Kian Kok mendapat satu kios berdekatan pintu belakang di dalam bangunan Pasar Seni pada tahun 1986.

PELANCONG dari luar negara menjadikan Pasar Seni sebagai lokasi wajib dikunjungi.


Disebabkan minat yang mendalam terhadap lukisan, pelukis cat minyak kelahiran Kuah, Langkawi itu sanggup meninggalkan pekerjaannya di Jabatan Kerja Raya semata-mata ingin mencapai cita-cita sebagai seorang pelukis sepenuh masa.
Selepas 27 tahun berkarya di situ, Kian Kok kini memiliki dua premis di bangunan Annexe yang terletak di belakang bangunan Pasar Seni.
Katanya, inisiatif Central Market Sdn. Bhd. memindahkan semua pelukis ke bangunan Annexe kira-kira lima tahun lalu merupakan idea yang bijak kerana kawasan di bahagian belakang Pasar Seni sebelum diambilalih oleh pengurusan baharu umpama hidup segan mati tak mahu.
“Mula-mula kita risau juga untuk dipindahkan kerana kita sudah biasa di dalam Pasar Seni selama 20 tahun dan masa itu kita kelam-kabut takut pengunjung tak datang sebab kita tahu tempat itu sunyi.
“Sebelum ini mana ada orang datang di depan bangunan Annexe tetapi, kita mula sedar usaha pihak pengurusan melakukan perubahan dengan pelbagai promosi dan tarikan menarik telah memeriahkan suasana di bangunan Annexe,” ujarnya yang pernah bekerja dengan seorang hartawan Arab dari Abu Dhabi, Emiriyah Arab Bersatu.


No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: