Friday, December 6, 2013

Mahu kekalkan identiti Pasar Seni


SOO yakin dengan pencapaian Pasar Seni di bawah pengurusan Central Market Sdn. Bhd.


KHA SENG GROUP mengambil alih pengurusan Pasar Seni pada tahun 2004. Menerusi syarikat Central Market Sdn. Bhd. sejumlah RM10 juta dilaburkan untuk kerja-kerja naik taraf bangunan bersejarah itu.
Dengan tempoh pajakan selama tujuh dekad, Kha Seng mempunyai perancangan besar untuk mengekalkan Pasar Seni sebagai kawasan tarikan pelancong utama di ibu kota selain menyokong operasi perniagaan penyewa dan menawarkan produk menarik buat pengunjung.
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Kha Seng, Aaron Soo ketika ditemui begitu berbangga dengan pencapaian Pasar Seni di bawah pengurusan kumpulannya setakat ini.
Pasang surut
“Kini Pasar Seni boleh dikatakan sudah berjaya, kadar sewaan bagi kira-kira 360 unit lot kedai dan kios di sini ialah sekitar 99 peratus dan kami memperoleh antara 70,000 sehingga 80,000 pengunjung setiap minggu.
“Ia merupakan tempat yang unik dan mesti dikunjungi di Kuala Lumpur. Ini memberikannya satu kelebihan yang tidak dapat ditandingi pusat beli-belah lain.
“Pasar Seni boleh dikatakan tidak mempunyai pesaing, tidak ada tempat yang boleh memberikan tawaran serupa seperti Pasar Seni,” katanya.
Meskipun merupakan sebuah kawasan yang istimewa dan berpotensi besar, Pasar Seni tidak pernah terlepas mengalami pasang surutnya, sama ada dari segi perniagaan, kebersihan mahupun tanggapan pelancong dan dan tempatan.
Pernah satu ketika dahulu ia dianggap sebagai kawasan yang memiliki kadar jenayah tinggi, selain bermasalah dari segi kebersihan.
Soo berpendapat, perkara utama yang menjadi kunci untuk membezakan Pasar Seni sekarang berbanding ketika ‘zaman gelapnya’ ialah pengurusan yang jauh lebih baik dan teratur.
Jelasnya, bukan saja Pasar Seni, bagi mana-mana bangunan atau pusat beli-belah lain sekali pun, pengurusan yang terancang dan baik akan menentukan jatuh bangun sesebuah kawasan.
“Meskipun sudah berusia, pengunjung boleh melihat sendiri fasiliti seperti lif masih beroperasi dengan baik, manakala keadaan lantai, tandas dan persekitaran Pasar Seni kini jauh lebih kemas berbanding sebelumnya,” katanya ketika ditemui.

PERSEMBAHAN kebudayaan dan jalanan merupakan antara penarik pengunjung ke Pasar Seni. - Gambar hiasan


Menurut Soo, cabaran terbesar dalam menguruskan bangunan bersejarah itu ialah memelihara keadaan dan mengekalkan struktur asalnya.
“Kami membelanjakan kira-kira RM1 juta sehingga RM2 juta setahun hanya untuk proses penyelenggaraan, seperti memperbaiki bumbung atau lantai yang pecah.
“Kawasan tanah yang menjadi tapak Pasar Seni ini agak berlumpur, sesuai dengan nama Kuala Lumpur. Pergerakan tanah kerap berlaku di sini.
“Kadangkala, terdapat jubin yang pecah dan perlu diganti, namun disebabkan usianya yang lama, jubin daripada jenis yang sama sudah tidak dihasilkan lagi. Sesetengah jubin di sini boleh dianggap sebagai antik.
“Sebagai langkah penyelesaian, kami terpaksa mengambil kepingan jubin yang sama di lantai Pasar Seni, bezanya ia berada di kawasan yang sedikit tersorok, misalnya di bawah almari untuk menggantikannya,” kata Soo.
Menyentuh mengenai visi dan perancangan Kha Seng Group untuk memastikan Pasar Seni kekal relevan pada tahun-tahun mendatang, Soo menjelaskan Pasar Seni hanya perlu mengekalkan identitinya yang sedia ada untuk terus menjadi kawasan tumpuan pengunjung.
Promosi budaya
“Konsep Pasar Seni sedia ada sebagai pusat untuk mempromosikan kebudayaan, kesenian, warisan dan kraftangan harus dikekalkan. Kadang-kadang kita memang perlu membawakan konsep-konsep baharu sesuai dengan kehendak semasa. Misalnya, fenomena minuman Bubble Tea yang melanda baru-baru ini dan Pasar Seni pun sebenarnya turut sama menawarkan minuman tersebut.
“Bagaimanapun, 70 peratus daripada ruang runcit Pasar Seni akan diperuntukkan kepada penawaran utamanya yang melibatkan perniagaan berunsurkan kesenian dan kebudayaan. Hanya 30 peratus diberi untuk fasiliti sokongan seperti kedai makan dan lain-lain,” katanya.
Soo turut memberitahu bahawa pihaknya kini sedang merancang dua projek utama yang dijangkakan dapat meningkatkan daya tarikan Pasar Seni kepada pelancong dan pengunjung tempatan.
“Kami berhasrat untuk menarik semula penghibur jalan ke Pasar Seni. Kami masih memiliki ruang untuk digunakan dan akan menyediakan kemudahan seperti kanopi untuk berlindung daripada hujan dan panas.
“Selain itu, kami juga sedang berusaha untuk menjemput Datuk Mohd. Nor Khalid, yang lebih dikenali sebagai Lat untuk menghasilkan mural bertemakan sejarah Kuala Lumpur pada tembok sungai yang menghadap Pasar Seni,” katanya.


No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: