|
MAIS MEDICOS atau "lebih banyak doktor" merupakan satu program yang diwujudkan kerajaan pimpinan Presiden Dilma Rousseff bagi memenuhi kekosongan dalam sistem kesihatan Brazil menggunakan tenaga doktor asing, terutamanya dari Cuba.
Tidak hanya dilihat sebagai penyelesaian kepada masalah kekurangan doktor di Brazil, usaha tersebut telah mewujudkan gelombang sokongan besar untuk melanjutkan tempoh pemerintahan Rousseff ke penggal kedua dalam pilihan raya tahun hadapan.
Langkah untuk mengambil bahagian dalam program doktor untuk dieksport yang dimulakan bekas pemerintah Cuba, Fidel Castro menjadi keutamaan Rousseff setelah kerajaannya menerima bantahan hebat daripada rakyat berhubung isu rasuah, pengangkutan awam yang teruk, pelajaran dan perkhidmatan kesihatan yang menggegarkan seluruh Brazil pada bulan Jun lalu.
Dalam tempoh beberapa minggu selepas lebih sejuta warga Brazil turun ke jalanan untuk melakukan protes kepada pihak pemerintah, wanita itu melancarkan Mais Medicos untuk menggaji lebih ramai doktor.
Brazil menandatangani perjanjian bertempoh tiga tahun untuk membawa ribuan doktor dari Cuba supaya berkhidmat di kawasan miskin dan pedalaman-lokasi bukan pilihan bagi doktor-doktor tempatan.
Di bawah satu perjanjian yang memberikan Cuba pulangan bernilai 225 juta dolar Amerika (RM723.6 juta) setahun, ribuan doktor warga Cuba dihantar ke pusat kesihatan di kampung dan wilayah miskin, merentasi kawasan timur laut Brazil yang sering diancam kemarau dan tidak memiliki doktor residen.
Wilayah Bahia, yang terletak di kawasan timur Brazil dapat membuka semula pusat kesihatan mereka yang sebelum ini ditutup akibat kekurangan kakitangan.
Penduduk Jiquitaia, sebuah perkampungan desa yang di kawasan pedalaman Bahia tidak lagi perlu menempuh perjalanan sejauh 46 kilometer untuk bertemu doktor.
Skim baharu
"Ini merupakan anugerah daripada tuhan," kata seorang pekerja ladang, Deusdete Bispo Pereira selepas diperiksa oleh Dania Alvero, seorang doktor dari Santa Clara, Cuba setelah mengadu sakit pada dada.
"Semua orang gembira kerana dia (Alvero) ada di sini. Kami bimbang kalau-kalau dia akan dihantar keluar," katanya.
Warga emas dan wanita mengandung memenuhi pusat kesihatan tersebut untuk diperiksa Alvero, sama seperti rakan setugas senegaranya, seorang pakar dalam bidang perubatan pencegahan.
"Terdapat pelbagai jenis penyakit di sini, sesetengah daripadanya pernah saya lihat menerusi buku, misalnya penyakit kusta yang tidak lagi wujud di Cuba," katanya dalam bahasa Sepanyol dan Portugal yang bercampur-campur.
Cuba telah mengeksport doktor ke luar negara untuk tempoh berdekad lamanya. Pada peringkat permulaan, ia adalah bagi membantu negara-negara membangun atas dasar ideologi. Doktor dihantar buat pertama kalinya oleh Fidel Castro sebagai satu bentuk percaturan dalam Perang Dingin dari Algeria dan Etiopia sehingga Angola dan Nicaragua.
Bagaimanapun selepas terjebak dalam krisis ekonomi akibat keruntuhan Kesatuan Soviet, Castro merancang skim baharu iaitu doktor untuk minyak dengan kerjasama bekas pemerintah Venezuela, Hugo Chavez pada tahun 2000.
Pelan yang digelar Barrio Adentro itu melibatkan penghantaran lebih daripada 30,000 rakyat Cuba untuk bekerja dalam sektor kesihatan di kawasan miskin dan setinggan di Caracas dan bandar-bandar lain di Venezuela. Ia memberi Chaves sokongan politik yang kuat dan dibayar dengan penghantaran minyak ke Cuba.
Gaji maksimum
Meskipun sebahagian besar daripada pendapatan menjadi kepunyaan kerajaan, doktor-doktor Cuba tetap berbesar hati untuk bekerja di luar negara kerana gaji yang diperoleh mereka masih jauh lebih besar berbanding negara asal. Gaji maksimum seorang doktor bersamaan dengan RM160 sebulan.
"Kami tidak dibayar gaji yang tinggi di negara kami, namun kami di sini bukan untuk wang. Kami di sini untuk membantu negara kami yang miskin," kata Lisset Brown yang bekerja di sebuah pusat kesihatan kejiranan di Ceilandia, kawasan setinggan terbesar di ibu negara Brazil, Barsilia.
Ketibaan 12 orang doktor Cuba telah meringankan beban hospital Celandia dan memperbaiki kredibiliti sistem kesihatan, kata seorang jururawat tempatan, Tania Ribeiro Mendonca.
"Rakyat melihat bahawa kerajaan telah melakukan sesuatu," katanya.
Cuba hari ini mempunyai lebihan doktor yang ramai. Menurut Bank Dunia, ia memiliki nisbah doktor berbanding populasi yang tertinggi di dunia pada nisbah 6.7 dalam 1,000 orang berbanding Brazil yang memiliki nisbah 1.8 doktor daripada 1,000 orang.
Kadar tersebut bagaimanapun lebih tinggi di kawasan bandar dan digemari doktor tempatan seperti Sao Paolo dan Rio de Janeiro iaitu empat orang doktor dalam 1,000 orang.
Persatuan doktor di Brazil pada mulanya cuba menghalang kedatangan rakan sekerja mereka dari Cuba, yang dilihat sebagai usaha untuk menghakis kepentingan dan standard perubatan mereka.
Pada ketibaan awal kontinjen doktor Cuba di lapangan terbang Fortaleza di bahagian utara Brazil pada Ogos lalu, sekumpulan doktor tempatan yang tidak berpuas hati menjerit "Hamba!" kepada mereka.
Bagaimanapun doktor tempatan terpaksa memperlahankan nada mereka apabila tinjauan pendapat awam memberitahu majoriti daripada rakyat Brazil menyokong usaha untuk menggaji rakyat asing disebabkan kekurangan doktor tempatan, meskipun masih wujud keraguan berhubung tahap kelayakan doktor dari Cuba.
Satu tinjauan yang dijalankan pada bulan November lalu menunjukkan 84.3 peratus daripada responden menyokong program Mais Medicos, meskipun hanya 66 peratus yang yakin bahawa doktor asing benar-benar layak untuk pekerjaan tersebut.
"Kami tidak menentang kedatangan doktor asing. Mereka boleh datang dari Rusia, England, Cuba atau Bolivia, namun kelulusan mereka mesti dinilai terlebih dahulu dan kerajaan tidak melakukan perkara tersebut," jelas Florentino Cardoso, Ketua Persatuan Perubatan Brazil.
Layanan tidak adil
Cardoso, seorang pakar bedah kanser mengadu bahawa Rousseff telah memberi tanggapan buruk kepada doktor tempatan dengan mengaitkan mereka kepada pelbagai kekurangan dalam sistem kesihatan Brazil.
Meletakkan lebih banyak doktor di kawasan terpencil katanya, tidak akan mengakhiri masalah kekurangan dana perubatan di kawasan bandar.
Bagi membolehkan doktor asing bekerja di Brazil, pentadbiran Rousseff melangkah piawaian normal untuk membenarkan doktor asing berkhidmat bagi tempoh tiga tahun meskipun ijazah mereka tidak disahkan oleh pihak berkuasa tempatan iaitu satu proses yang memakan masa bertahun-tahun lamanya.
Undang-undang bagaimanapun mengatakan mereka hanya boleh memberi perkhidmatan kesihatan asas.
Setelah tewas pada peringkat awal, doktor tempatan kini memfokuskan kritikan kepada apa yang mereka gelar sebagai layanan yang tidak adil kepada rakan sekerja mereka.
Tidak seperti doktor dari negara lain, doktor Cuba tidak dibenarkan untuk membawa keluarga mereka ke Brazil, kerajaan Cuba mendakwa hal tersebut adalah untuk memastikan mereka kembali ke Cuba.
Doktor Cuba juga hanya memperoleh sebahagian kecil daripada 10,000 reais (RM13,600) sebulan yang dibayar Brazil untuk setiap peserta program.
Pegawai kesihatan perbandaran di Bahia memberitahu, mereka menyediakan tempat tinggal percuma kepada doktor Cuba, yang dibayar sebanyak 800 reais (RM1,090) sebulan secara tunai di Brazil, manakala 1,200 reais (RM1,600) lagi diberikan kepada keluarga mereka di Cuba, sementara 8,000 reais (RM10,900) selebihnya diperoleh kerajaan Cuba, dibayar menerusi Pan-American Health Organization.
Berbanding doktor asing lain yang boleh bekerja di mana-mana tempat lain di Brazil setelah tempoh kontrak tiga tahun mereka tamat, doktor Cuba hanya boleh memilih untuk kembali ke Cuba atau memohon untuk menyertai program Mais Medicos sekali lagi.
"Kami telah menghapuskan perhambaan untuk satu jangka masa yang lama, namun hal ini seakan-akan serupa. Ia bukan cara terbaik untuk memperbaiki sistem kesihatan di Brazil," kata Eleuses Paiva, seorang doktor dan juga ahli kongres dari sebuah parti yang menyokong kerajaan campuran Rousseff.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: