|
MELIHAT kepada deretan filem-filem lakonannya yang sudah menjangkau lebih 100 buah sejak memulakan karier sebagai pelakon pada 1981, amat wajar aktor Andy Lau digelar sebagai seorang legenda dalam dunia perfileman Hong Kong.
Sudah 32 tahun menghambakan diri dalam bidang penuh glamor ini, namanya tidak lekang di bibir peminat serta terus kekal menjadi pilihan penerbit untuk membintangi watak utama di layar perak.
Dapat bertentang mata secara lebih dekat dengan aktor kelahiran Tai Po itu ketika promosi filem Firestorm di Hotel Ritz Carlton, Kuala Lumpur baru-baru ini, jelas kelihatan tarikan tersendiri yang dimilikinya sehingga menjadi pujaan ramai peminat wanita.
Baru sahaja menyambut ulang tahun kelahiran yang ke-52 pada 27 September lalu, wajah dan tubuhnya tidak menggambarkan usia sebenarnya dan menonton aksinya dalam filem tersebut, nyata dia cukup tangkas dan bertenaga.
Menurut aktor yang mesra disapa Andy itu, dia tiada masalah untuk membawakan watak-watak aksi dalam filem, asalkan dia masih lagi mempunyai kudrat untuk berbuat demikian.
"Saya masih muda," selorohnya sambil disambut hilaian tawa para wartawan apabila ditanya kenapa dia masih lagi sanggup berlakon dalam filem yang memerlukan dirinya memainkan babak aksi.
Akui Andy, dia tidak memiliki sebarang rahsia untuk mengekalkan stamina apabila kerap berlakon dalam filem aksi kerana paling utama adalah memberikan sepenuh tumpuan terhadap pekerjaan yang dilakukan.
Selain itu, aktor tersebut memberitahu, biarpun berlakon dalam filem aksi ada kalanya mengundang cabaran yang agak besar, tetapi setiap yang dilakukannya perlu mengikut ketahanan dan kemampuan diri masing-masing.
"Saya ini jenis yang suka berterus-terang sekiranya membabitkan hal kerja. Misalnya, kalau merasakan tidak mampu untuk melakonkan babak yang harus dilakukan, saya akan cakap berterus terang dengan pengarah yang saya tidak mampu buat.
"Sebenarnya, kita tidak perlu hendak memaksa diri berbuat sesuatu perkara di luar kemampuan sendiri. Lagipun saya menggemari suasana kerja yang selesa kerana ia mampu membuatkan diri saya berlakon dengan lebih baik," jelasnya yang turut dikenali sebagai seorang penyanyi.
Meskipun jarang berhadapan dengan kecederaan yang berat sepanjang berlakon dalam filem atau drama aksi, Andy memberitahu ahli keluarganya terutama sekali isteri tercinta bimbang dengan keadaan dirinya.
Namun begitu, di sebalik kebimbangan yang terpendam itu, aktor berkenaan menyatakan isterinya tetap memberikan sepenuh sokongan terhadap kariernya sebagai seorang pelakon.
"Dengan status sebagai seorang artis, kerisauan itu timbul bukan sahaja ketika bekerja, malah sewaktu menjalani kehidupan seharian. Bagaimanapun, setakat ini keadaan masih lagi terkawal sepenuhnya," ujarnya.
Apabila ditanya sama ada dia tidak ingin mengikut jejak langkah beberapa pelakon Hong Kong yang sudah menembusi Hollywood, Andy sekadar menyatakan bahawa dia perlu mempertingkatkan lagi penguasaan bahasa Inggeris terlebih dahulu.
RM4 juta
Menceritakan lebih lanjut mengenai filem terbaharunya iaitu Firestorm, Andy menyatakan dia bukan sahaja bertindak sebagai pelakon utama, malah turut berkolaborasi dengan William Kong untuk menerbitkannya.
Jelasnya, filem berkenaan mengambil masa selama dua tahun untuk disiapkan sepenuhnya dengan kos keseluruhan RM33 juta. Dia merasakan produk terbaharunya itu setanding dengan filem aksi Hollywood.
"Salah satu tarikan yang boleh dilihat dalam filem ini ialah ketika tempoh 30 minit terakhir membabitkan babak letupan yang dahsyat serta aksi tembak-menembak antara anggota polis dan sekumpulan penjahat di Pedder Street yang terletak di tengah-tengah kota Hong Kong.
"Memandangkan penggambaran tidak boleh dilakukan di lokasi sebenar kerana kawasannya sangat sibuk, kami telah membangunkan sebuah lokasi yang mirip dengan Pedder Street dan menelan kos sebanyak RM4 juta," ujar Andy.
Filem arahan Alan Yuen itu mengisahkan tentang seorang inspektor polis, Lui (Andy Lau) yang bertekad mahu menghentikan keganasan yang dilakukan oleh Nam (Hu Jun) dan konco-konconya sehingga ramai mangsa yang tidak berdosa telah terkorban.
Kemudian dia mula menyedari hakikat bahawa taktik biasa yang dilakukan oleh pihak polis terlalu lemah dan tidak akan berhasil untuk mengheret mereka ke muka pengadilan. Tou (Lam Ka Tung), seorang bekas banduan yang terdesak mahu meninggalkan dunia gelapnya menawarkan diri untuk membantu menumpaskan Nam.
Berkenaan dengan pemilihan pelakon lain yang terbabit dalam filem berkenaan, aktor itu menyatakan bahawa dia sangat teliti dan hanya memilih pelakon yang mampu memberikan sepenuh komitmen.
"Kami tidak mahu pelakon yang dipilih mempunyai penggambaran dengan filem lain kerana mahu mereka fokus untuk Firestorm sahaja. Perkara ini sangat penting kerana inginkan sebuah hasil yang berkualiti," tegasnya.
Anak lelaki
Dengan kehadiran Andy Lau ke Kuala Lumpur untuk mempromosikan filem terbaharunya, terdapat segelintir wartawan yang ingin bertanyakan mengenai kisah peribadi terutama gosip isterinya, Carol Chu yang dikatakan sedang hamil anak kedua sekarang ini.
Agak menghampakan apabila pihak penganjur memberi peringatan lebih awal kepada wartawan yang membuat temu bual secara eksklusif dengannya tidak diizinkan bertanya mengenai soalan peribadi, melainkan yang berkaitan dengan filem berkenaan.
Khabar angin yang sedang bertiup kencang mendakwa, isteri aktor itu dilihat beli barangan bayi di sebuah pusat beli-belah di Causeway Bay, Hong Kong. Lebih menarik lagi, Carol dikatakan sudah hamil sejak Ogos lalu dan bakal melahirkan anak lelaki.
Selain itu, pasangan yang sudah memiliki seorang anak perempuan bernama Hanna yang kini berusia setahun dikatakan telah berjumpa dengan seorang doktor pakar sakit puan terkenal, Dr. William So. Mereka hadir ke klinik doktor berkenaan secara sembunyi bagi mengelakkan dikesan paparazi.
Bagaimanapun, Andy yang hadir dalam sebuah majlis promosi filem baharunya di Hong Kong pada 19 November lalu telah menafikan perkara tersebut ketika ditanya wartawan, tetapi berharap agar apa yang diperkatakan itu bakal menjadi kenyataan.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: