|
TINGGALKAN seketika sensasi pernikahan senyap-senyap salah seorang regu Psiko Pencuri Hati, Bront Palarae yang sudah sah bergelar suami kepada seorang kenalan lamanya pada 31 Ogos lalu. Walaupun perkhabaran itu tidak dianggap penting untuk dikongsi Bront, ia tetap mencuri perhatian ketika filem lakonannya yang disebut-sebut sebagai kelainan dalam industri sedang ditayangkan di pawagam.
Justeru, hanya pengarah filem itu, Shahili Abdan dan aktres Sharifah Amani yang diajak ke sesi fotografi tanpa melibatkan Bront. Lebih intim rasanya jika Shahili yang mengarah filem buat kali pertama itu disatukan dengan Amani yang merupakan heroin pilihannya. Mereka berkongsi huruf pangkal nama yang sama iaitu 'S' dan 'A'. Kedua-dua pelakon itu juga berkongsi huruf 'N' yang menjadi pangkal nama panggilan masing-masing iaitu Nam Ron dan Nani.
Tidak banyak juga kerja yang menyatukan mereka tetapi hubungan secara tidak langsung, keberadaan dalam satu kelompok pengkaryaan yang sealiran pemikiran dan jiwa menjadikan mereka intim. Mereka diibaratkan sebagai saudara sejiwa.
"Pertama kali saya nampak Nam Ron (Shahili) ketika sama-sama berlakon dalam filem Gubra (2006). Tapi, kami tiada babak lakonan bersama. Dari situ, saya perhatikan dan ambil tahu tentang siapa Nam Ron. Persembahannya halus, orangnya unik, tegas, lembut, garang, baik hati dan gila-gila. Orang macam Nam Ron ini seronok diperhatikan, rasanya, kami boleh geng," ujar Nani sebagai gambaran perasaannya yang kuat terhadap filem berkenaan.
"Saya pun kenal Nani tak lama sangat, Sein yang bawa watak Dr. Khai pun begitu. Tapi, yang penting adalah keserasian. Bila sudah serasi, kita boleh letak kepercayaan antara satu sama lain. Bukan kata saya tak percaya pelakon lain, tapi untuk filem yang saya anggap sebagai anak pertama ini, saya kena begitu. Sebabnya, saya kena beri kebebasan untuk mereka bermain karakter masing-masing. Cuma dalam set, saya kena jaga pergerakan supaya bahasa pengarahan dan visual yang saya mahukan itu diperoleh," sampuk Nam Ron.
Kuasa memikat Nam Ron
Pelakon yang juga penggiat teater yang cukup terkenal dalam kelompok pembikin filem bebas itu ternyata menerima pelbagai reaksi daripada rakan-rakan sealirannya.
"Ramai yang terkejut termasuklah pengarah Bikin Filem dan Kil, Nik Amir. Ada juga yang lebih gemarkan filem pendek saya, Jalan Pintas dan kenapakah naskhah itu tidak dibawa ke layar perak. Saya fikir, kalau alang-alang masuk aliran perdana, biarlah naskhah yang bersesuaian. Kebetulan, penerbit yang mahu sebuah filem genre suspen. Filem Psiko Pencuri Hati semacam nafsu juga, kemahuan saya juga nak cuba benda yang baharu.
"Saya cuba beri jamuan ini. Selama ini orang bersangka khalayak mahukan filem aksi atau komedi. Macam Bunohan yang perlahan sambutannya di pawagam tapi bila masuk TV, orang suka. Saya nak beri khalayak rasa momen itu, suka atau tidak, cuba dahulu. Rasanya pembikin tak boleh hakimi penonton sekadar lihat pasaran sahaja. Filem Psiko Pencuri Hati sendiri ada banyak elemen, romantis dan cinta. Ia bukannya filem berat yang perlu difikirkan dalam-dalam untuk dihadam. Saya memang buat filem ini untuk umum. Kalau saya buat untuk saya, baik buat Jalan Pintas atau filem seni berat. Tapi, masalahnya boleh atau tidak ia dikongsikan dengan khalayak. Saya mahu penonton terhibur dengan karakter dan jalan cerita," ulas lelaki berusia 40 tahun ini bersahaja.
Membikin Psiko Pencuri Hati sebagai filem suspen thriller, Nam Ron cuba untuk tidak spesifik mengambil mana-mana filem sebagai rujukan. Namun, temanya pun suspens thriller, dia mengaku. pengaruh pengarah filem Hollywood, Quentin Tarantino boleh dikesan di hujung-hujung filem itu terutamanya apabila konflik sudah berubah menjadi ganas.
"Bahaya kalau kita buat rujukan spesifik, takut terpengaruh. Biarlah ia mengalir secara semula jadi. Memang struktur, stail dan gaya penyampaian filem psiko dan suspens begitu. Saya suka dengan proses ini. Memang ia perkara baharu dalam kerja saya. Tapi, selain nak menyampaikan, adakalanya saya juga mahu memikat perhatian penonton. Macam lukisan juga, ada yang suka gaya realis atau juga yang suka surealis," kongsi Nam Ron yang melihat industri perfileman tempatan juga ada sisi psiko tersendiri.
Katanya, karyawan seperti tahu apa yang dimahukan oleh khalayak itu sebenarnya tidak semuanya betul. Kesenian di Malaysia juga dikatakan seni untuk masyarakat.
"Persoalannya, apakah sangkaan itu betul?. Apa yang saya fahami, seni untuk masyarakat ialah seni yang bawa refleksi supaya masyarakat faham sekeliling dan nampak diri dari dalam skrin. Sekarang, seperti ada putar belit, itu psikonya industri kita dan secara tak langsung semua itu diterima sebagai budaya," beritahu Nam Ron yang pernah menjadi hero filem Paloh lebih 10 tahun lalu.
Feminisme Amani
Nani merupakan pelakon bertubuh kecil. Namun, dia memiliki cinta dan aspirasi kuat terhadap filem serta naskhah yang meneguk titik peluhnya. Nani ternyata semakin dewasa. Dia bukan gadis sunti seperti yang diperkenalkan dalam filem Sepet dahulu.
Lantas filem Psiko Pencuri Hati, merupakan kerja pertama Nani di bawah arahan Nam Ron. Sebelum ini, dia dan Nam Ron hanya berlakon bersama sebagai anak dan bapa dalam telemovie, Lembut Bukan Lelaki yang disiarkan menerusi Astro pada tahun lepas.
"Sekarang, saya sedang sibuk dengan latihan sebuah teater kompilasi arahan Nam Ron. Ya, kami tak banyak bekerjasama. Tapi, kerja untuk Psiko Pencuri Hati memang seronok. Nam Ron sayangkan pelakon-pelakonnya, sampai kami diajak berbincang dan membuat olahan skrip asal yang ditulis oleh Ayam Fared. Dia hargai pelakon-pelakonnya dengan memberi kredit kepada kami sebagai penulis lakon layar bersama. Itu juga antara yang diburu oleh pelakon," puji Nani untuk Nam Ron.
Nam Ron merupakan pengarah filem yang berjaya membawa Amani kembali semula ke lokasi layar perak selepas dia berlakon dalam filem Mualaf.
Menceritakan pengalamannya di lokasi, kata Nani, Nam Ron dan penulis skrip filem itu membawa mereka ke Pulau Pemanggil, Mersing untuk bersatu dengan alam dan berpuisi dengan laut.
"Syukurlah, saya dapat peluang yang bagus untuk bekerja dengan orang-orang yang bagus. Saya memang seorang pelakon yang memilih. Itu cara saya menghargai penonton. Caranya adalah mempersembahkan sebuah kerja yang bagus. Pandang kiri dan kanan, mereka semua ibarat abang-abang," ujar Nani yang melakonkan watak isteri bernama Wani yang mengalami keguguran sebanyak tiga kali.
Berlakon dan menjadikan karakter sebagai dirinya sendiri, Psiko Pencuri Hati turut memberi ruang penghayatan yang berlapis-lapis. Watak Wani sendiri bukannya perempuan yang lemah.
"Nampak kecil tapi perjuangan feminisme yang nak disampaikan ada. Sebenarnya, tak banyak filem yang tunjuk kekuatan karakter wanita dalam filem. Dalam filem ini juga, semua watak ada kejahatan masing-masing. Lebih seronok juga sampai ada yang buat telahan bahawa semua yang berlaku dalam plot itu adalah apa yang tertulis dalam novel tulisan Sidi (Bront). Sampai ke tahap itu," ujar Nani yang dalam waktu yang sama nekad menulis skrip yang memperjuangkan wanita untuk karya arahannya sendiri.
Berbicara bahasa filem, semangat dan aliran yang menjadi wacana dalam darah seniman yang masih segar dalam tubuh mereka, sempat juga Nani mencelah:
"Saya juga seorang yang ada angin dan suka ikut kepala sendiri. Benar, kami semua ada sisi psiko."
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: