
DAPHNE (tengah) diapit Dr. Vida dan
Roslan merupakan antara selebriti terkenal yang muncul sebagai panel
undangan dalam program Diva De Vida.
NAMANYA lebih dikenali sebagai hos serba boleh, namun itu tidak menghalang Roslan Shah daripada mengembangkan kariernya ke bidang lain.
Pernah berlakon dalam filem pendek arahan Shuhaimi Lua, Chukang, dan beberapa buah drama termasuk Mabuk Estrogen, terkini Roslan membuat kejutan di bidang muzik pula.
Dia muncul dengan single berjudul, Propaganda yang turut bertanding dalam program Muzik Muzik 2013 yang disiarkan di TV3 pada 14 September ini (esok).
"Single saya, Propaganda yang merupakan ciptaan bekas anggota kumpulan May, Wan Oney dan lirik oleh Yankee bakal bertanding menerusi program Muzik Muzik 2013 di TV3 yang disiarkan pada Sabtu, 14 September ini," ujarnya ketika ditemui baru-baru ini.
Tambahnya: "Saya sungguh teruja untuk bertanding pada Muzik Muzik 2013 menerusi lagu berentak rancak dan catchy ini, dan berharap para peminat saya mengundi lagu Propaganda kerana liriknya sungguh bermakna."
Raih kritikan
Sementara itu, bercakap mengenai program kelolaannya, Diva De Vida, kata Roslan: "Alhamdulillah, setakat ini Diva De Vida sedang bersiaran di Astro Prima.
"Antara respons yang diterima ada peminat yang tidak puas hati kerana mereka kata, saya buat lawak bukan seperti yang biasa saya lakukan di atas pentas.

ROSLAN SHAH muncul buat pertama kali sebagai hos program bual bicara Diva De Vida.
"Di sini saya ingin menjelaskan bahawa saya tidak buat lawak yang keterlaluan di TV dan di pentas lain. Namun, ada dalam beberapa episod Diva De Vida saya buat lawak secara spontan.
"Ini adalah percubaan pertama kali saya sebagai hos program bual bicara.
"Semua manusia ada buat kesilapan dan insya-Allah saya akan buat yang terbaik pada masa depan," ujarnya yang kini muncul melakonkan watak pensyarah menerusi drama bersiri Inspirasi Varsiti di TV2 setiap Isnin hingga Rabu, pukul 3 petang.
Diva de Vida yang disiarkan di Astro Prima (saluran 105) pada setiap hari Isnin pukul 9.30 malam, merupakan sebuah program tentang kesihatan dan kecantikan luar dan dalaman.
Pengasas produk kecantikan Vida Beauty, Datuk Dr. Hasmiza Othman atau Dr. Vida yang bertindak sebagai penerbit turut muncul sebagai panel tetap dalam program yang menampilkan barisan artis terkenal sebagai panel undangan termasuklah Tasha Shilla, Anzalna, Daphne Iking, Izzue Islam dan Didie Alias.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: