Monday, September 9, 2013

Peserta, peminat boleh berinteraksi


MASUK GELANGGANG... Barisan peserta AF 2013 yang bakal bersaing sesama sendiri.


SERAMAI 12 peserta telah terpilih untuk bersaing dalam program realiti Akademi Fantasia 2013 (AF 2013) setelah berakhirnya konsert Prelude Top 12 yang berlangsung di Padang Kemunting, Kuantan, Pahang pada Sabtu lalu.
Sehari sebelum itu, seramai 10 peserta dipilih menerusi pilihan juri dalam konsert Prelude Top 24 manakala dua lagi peserta terpilih menerusi undian 100 peratus daripada peminat.
Selepas tamatnya konsert Prelude Top 12, ternyata tuah memihak kepada Mohd. Faizul Sany (Pijul) dan Nadia Amira Othman (Amira) iaitu dua peserta terakhir yang menjadi pilihan peminat untuk bersaing dalam AF 2013 yang memulakan saingan pada hari ini.
Pengurus Saluran Astro Ria, Raqim Ahmad berkata, sepanjang AF diadakan ia kali pertama konsert prelude diadakan di luar Kuala Lumpur dan sambutan yang diterima daripada penduduk Kuantan cukup menggalakkan.
“Saya ingin mengucapkan tahniah kepada semua 12 peserta yang akan bersaing dalam AF 2013 dan mereka yang bertanding dilihat mempunyai kelebihan tersendiri untuk bergelar juara.
“Pihak Astro percaya dengan kembalinya AF 2013, ia bakal mencetuskan kembali fenomena yang pernah dialami serta mampu mencungkil lebih ramai bakat dalam bidang nyanyian,” ujarnya ketika ditemui selepas konsert berakhir.
Ketika ditanya tentang pembaharuan untuk AF 2013 kali ini, Raqim menyatakan, selain konsep yang berbeza seperti pembabitan peserta duo, para peserta juga akan dapat berinteraksi dengan peminat menerusi laman sosial Twitter dan Instagram sepanjang berada di akademi.
Ujarnya, para peserta boleh membaca setiap komen yang diberikan oleh para peminat menerusi kedua-dua laman sosial berkenaan dan mereka boleh membalasnya serta ia boleh digunakan untuk memancing lebih banyak undi kepada mereka.
“Kalau kita lihat sekarang ini penggunaan laman sosial semakin meluas oleh para artis untuk memberikan perkembangan terbaharu kepada kerjaya masing-masing.
NUR AISHAH AZIZ atau Aishah merupakan adik kepada penyanyi terkenal Singapura, Aliff Aziz.


“Jadi, dalam akademi nanti mereka akan turut dilatih untuk menggunakan laman sosial ini dan berhadapan dengan setiap komen-komen yang diberikan peminat sama ada positif atau negatif,” jelasnya.
Sementara itu, semasa konsert berkenaan turut diperkenalkan tiga orang barisan pengkritik tetap yang akan menilai persembahan para peserta setiap minggu iaitu Roslan Aziz, Sharifah Amani dan Edry KRU.
Mengenai pemilihan ketiga-tiga pengkritik tetap tersebut, Raqim memberitahu bahawa pihak Astro merasakan Roslan, Amani dan Edry merupakan individu yang sesuai kerana pengalaman yang luas dalam bidang yang diceburi.
“Kalau kita sedia maklum, pembabitan Edry dalam muzik sudah cukup lama bersama KRU manakala Amani pula merupakan antara pelakon yang berbakat dan mampu menarik golongan muda.
Roslan pula pernah bertindak sebagai pengetua AF5 sebelum ini.
“Dengan kombinasi ketiga-tiga pengkritik ini, kami yakin para peserta akan memperoleh lebih banyak ilmu serta dapat memperbaiki lagi mutu persembahan semasa konsert yang berlangsung setiap minggu,” jelasnya.
Peluang
Selain pengenalan 12 peserta serta pengkritik tetap, konsert prelude pada malam kelmarin turut memperkenalkan Zizan Razak sebagai pengacara baharu AF 2013 yang sebelum ini pernah disandang oleh Datuk Aznil Nawawi dan Datuk AC Mizal.
Zizan yang ditemui berkata, dipilih sebagai pengacara AF 2013 sebagai satu peluang keemasan yang tidak harus dilepaskan, meskipun mengakui ia merupakan suatu cabaran buat dirinya.
“Pada mulanya saya terpaksa memikirkan terlebih dahulu sama ada mahu menggalas tanggungjawab ini. Lagipun semua tahu bahawa AF 2013 ini merupakan sebuah program yang besar dan diminati ramai.
“Bagaimanapun, ramai rakan-rakan yang menyokong dan menyuruh saya supaya menerima sahaja tawaran yang diberikan dan ia merupakan antara sebab utama saya bersetuju,” ujarnya.
Mengakui masih banyak lagi kelemahan yang perlu diperbaiki dalam kemunculan sulungnya sebagai pengacara ketika konsert Prelude Top 12, Zizan berharap agar tiada pihak yang membandingkannya dengan pengacara terdahulu.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: