• Milgo sasar pasar raya besar Aremy bersama produk pertama syarikatnya, Milgo yang dihasilkan menggunakan susu kambing khusus untuk kanakkanak berusia satu hingga tiga tahun.
SYARIKAT pengeluar susu kanak-kanak milik Bumiputera berasaskan susu kambing, Aranutrition Enterprise menerusi jenama Milgo menyasarkan untuk memasuki pasaran pasar raya besar akhir Januari tahun hadapan.

Pengarah Urusan Aranutrition, Aremy Riza Aizan berkata, bagi peringkat permulaan, syarikatnya berhasrat ke pasar raya besar seperti Giant dan Mydin.

"Sejak beroperasi awal tahun ini, kami memulakan operasi dengan memberikan penumpuan kepada pemasaran dalam talian dan pada masa sama mempunyai agen, stokis dan dropship di seluruh semenanjung Malaysia dan bakal ke Sabah dan Sarawak.

"Buat masa ini, kami mempunyai 10 stokis dan 25 agen serta menyasarkan untuk menambah 56 stokis dan 140 agen menjelang akhir tahun ini," katanya yang turut membelanjakan RM30,000 bagi menghasilkan produk itu.

Menurutnya, Aranutrition menyasarkan untuk mencapai perolehan jualan RM450,000 sehingga akhir tahun ini.

Bagi perancangan masa depan syarikatnya, Aremy berkata, Aranutrition berhasrat membuka kilang sendiri dan menghasilkan produk khas untuk ibu mengandung.

"Kami juga berharap dapat membawa produk kami memasuki pasaran luar negara seperti Singapura, Brunei, Indonesia dan China," katanya.

Aremy berkata, setakat ini, kilang sedia ada terletak di Negeri Sembilan itu mampu mengeluarkan kapasiti 60,000 hingga 80,000 kotak sebulan.