Wednesday, September 18, 2013

Lawak Ke Der 3 tampil wajah baharu


BARISAN pelawak (dari kiri), Yus, Nabil, Douglas, Harith dan Tauke yang bakal menghidupkan pementasan Lawak Ker Der 3 yang dijadualkan berlangsung di Istana Budaya dari 3 hingga 6 Oktober depan.


SETELAH pementasan Lawak Ke Der 1 dan Lawak Ke Der 2 mencipta kejayaan luar biasa dengan sambutan yang cukup menggalakkan, syarikat Tall Order Productions Sdn. Bhd. mengambil keputusan untuk mementaskan teater Lawak Ke Der 3 di Istana Budaya pada 3 hingga 6 Oktober depan.
Penerbit dan pengarah Hans Isaac berkata, pementasan tersebut dibuat setelah ramai pihak yang tertanya-tanya tentang pementasan seterusnya, rentetan kepada kejayaan dua pementasan sebelum ini.
Namun begitu, dalam satu sidang akhbar memperkenalkan barisan pelawak yang bakal menjayakan Lawak Ke Der 3 baru-baru ini, timbul persoalan apabila tiada penglibatan Jozan dan Boboi.
“Saya akui memang ramai yang tertanya-tanya kerana tiadanya kelibat Jozan dan Boboi dalam pementasan ini nanti. Namun begitu, saya percaya ketiadaan mereka, pementasan ini masih mampu mendapat sambutan ramai.
“Sebenarnya, untuk Lawak Ke Der 3 ini saya ingin tampilkan beberapa kelainan, termasuk memperkenalkan barisan pelawak baharu. Malah, saya percaya kesemua pelawak yang akan membuat persembahan yang menghiburkan,” jelasnya.
Masih mengekalkan khidmat Nabil dan Harith Iskander untuk teater berkenaan, kali ini dua muka baharu telah diperkenalkan oleh Hans iaitu kumpulan Jambu dan Douglas Lim.
Mengenai pemilihan Jambu sebagai pelawak terbaharu yang menyertai Lawak Ke Der 3, Hans menyatakan, dia sudah mula tertarik dengan kumpulan tersebut sejak bersaing dalam pertandingan Maharaja Lawak Mega sebelum ini.
“Saya pernah menonton persembahan kumpulan Jambu dalam pertandingan berkenaan dalam beberapa episod dan aksi mereka itu telah berhasil membuat saya ketawa.
“Sejak itu saya telah berhasrat untuk mengambil mereka sebagai salah satu pelawak yang menjayakan Lawak Ke Der 3. Apabila saya tawar kepada mereka, ternyata ia diterima dengan hati terbuka,” jelasnya.
Mengenai pemilihan Douglas Lim pula, ia dibuat atas permintaan beberapa peminat yang pernah melihat aksinya ketika menggantikan Nabil untuk satu persembahan Lawak Ke Der 2 dahulu.

HANS tetap berkeyakinan pementasan Lawak Ke Der 3 masih mampu meraih sambutan biarpun tanpa Boboi dan Jozan.


“Ketika itu ramai yang suka dan terpegun dengan aksinya yang cukup menghiburkan.
“Jadi, saya ambil keputusan menampilkannya dalam Lawak Ke Der 3,” ujarnya yang mengakui cukup selektif memilih pelawak untuk menyertai teaternya itu.
Berkenaan dengan aksi para pelawak pula, Hans selaku pengarah telah menetapkan bahawa persembahan akan berlangsung selama dua jam dan setiap pelawak akan diberi masa selama 30 minit untuk beraksi.
“Apa yang ingin saya nyatakan, setiap aksi mereka ini hanya eksklusif untuk Lawak Ke Der 3 sahaja. Ini bermakna mereka tidak boleh menampilkan lawak yang sama sekiranya membuat persembahan di luar.
“Selain itu, mereka tidak boleh tampil dengan lawak yang pernah dipersembahkan sebelum ini.
“Perkara tersebut amat saya titikberatkan kerana mahu apa yang dipersembahkan kepada penonton nanti akan berbaloi buat mereka yang telah mengeluarkan wang membeli tiket,” tegasnya.
Cabaran
Bagi pelawak Douglas Lim, dia sendiri tidak menyangka apabila menjadi pilihan Hans Isaac dalam menjayakan persembahan Lawak Ke Der 3 yang akan berlangsung selama empat hari.
Akui Douglas, dia terpaksa membuat latihan yang lebih kerap untuk pementasan tersebut, termasuk melatih lagi penggunaan bahasa Melayu agar lebih fasih.
“Beraksi selama 30 minit dengan pementasan yang dibuat dengan menggunakan bahasa Melayu belum pernah lagi dilakukan. Sudah tentu ini merupakan satu cabaran yang cukup hebat dan getir.
“Namun begitu, dalam pementasan Lawak Ke Der 3 ini saya akan cuba tampil dengan idea-idea baharu yang lebih unik. Selain itu, saya ingin berterima kasih kepada Hans kerana memberi saya peluang ini,” ujarnya yang terkenal menerusi drama bersiri komedi Kopitiam.
Tiket-tiket untuk menyaksikan pementasan berkenaan sudah mula dijual menerusi www.ticket2u.biz atau di kaunter tiket Boxoffice Istana Budaya yang berharga RM193, RM173, RM123, RM93 dan RM43.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: