• MPO Rock
BUAT julung kalinya, tiga nama besar dalam arena Rockers Malaysia iaitu Ella, Mus dan Man Kidal bakal bergabung bersama Orkestra Filharmonik Malaysia (MPO) bagi konsert Malaysian Philharmonic Orchestra Rocks (MPO Rock).

Bakal berlangsung pada 21 September, jam 8.30 malam di Dewan Filharmonik Petronas, konsert ini pastinya memberikan pengalaman dan kepuasan kepada peminat muzik rock tanah air.

Idea yang dicetuskan oleh pemuzik yang disegani, Datuk Ramli MS itu bakal mengimbau detik bersejarah kerana ia akan menjadi sebuah persembahan yang cukup hebat.

Ramli yang juga bertindak sebagai Pengarah Artistik ini berkata, pemilihan ketiga-tiga artis tersebut adalah berdasarkan kepada pengalaman dan pencapaian mereka selain menggabungkan MPO pasti akan memberikan satu pembaharuan dan kelainan dalam konsert itu nanti.

Menurut Ramli, tiga rockers itu biasa bekerjasama dengannya memandangkan mereka juga artis yang berpengalaman.

"Sebelum keputusan dibuat, saya dan MPO berbincang untuk menggandingkan mereka bertiga. Pemilihan ini juga bertepatan dengan standard dan kredibiliti mereka. 

"Ia pastinya lebih memudahkan untuk saya bekerja dengan mereka dan saya pasti gandingan ini juga adalah yang terbaik memandangkan kesemua daripada mereka mempunyai pengalaman yang luas dalam bidang ini," katanya.

Menjelaskan mengenai kejutan yang bakal dilakukan pada hari konsert itu, Ramli MS yang cukup terkenal dengan sentuhan magisnya itu, menjelaskan, beliau akan mengekalkan keaslian melodi walaupun bakal membuat kejutan melalui gubahan lagu-lagu yang bakal dinyanyikan oleh Ella dan Mus.

“Saya akan lakukan perubahan untuk muzik yang bakal dinyanyikan namun tidak terlalu pelik sehingga membuatkan orang tidak dapat menerimanya,”

“Sebanyak 15 buah lagu akan disampaikan dalam persembahan itu nanti. Ia menjadi cabaran kepada kami membuat pilihan dari senarai lagu yang bersesuaian, kerana kebanyakan lagu daripada ketiga-tiga mereka banyak yang terbaik," katanya.

Beliau yang yakin dengan penerimaan peminat, mengharapkan agar idea segar itu menjadi buah tangan kepada peminat sekali gus menjadikan peminat berpuas hati dengan konsert tersebut.

Bekas pengetua Akademi Fantasia musim ke-2 dan ke-6 ini juga berharap agar tiada sebarang halangan untuk melunaskan kerja keras mereka.

Ramli juga memberitahu kelonggaran etika pemakaian pada konsert MPO Rock dilakukan bersesuaian dengan genre muzik itu.


Mus kerja keras

Bakat nyanyian Mus yang cukup terkenal di era 90, menerusi kumpulan May berjaya membawanya ke pentas berprestij ini. Mus atau nama sebenarnya Mustaffa Din, bakal mempersembahkan lagu-lagu hits seperti Srikandi Cintaku, Pelayaran dan Hakikat Perjuangan.

Akui begitu  teruja dan berbangga kerana dipilih untuk berkongsi pentas dengan bintang-bintang ternama tanah air, Mus mengharapkan agar konsert itu dapat memberi kepuasan kepada peminat muzik rock.

Mus berkata, dia banyak menghabiskan masa hujung minggunya untuk berlatih sebagai persiapannya untuk menjayakan konsert kolaborasi pertama muzik rock dengan MPO.

“Sepanjang tiga bulan ini, saya bekerja keras untuk menjayakan konsert ini. Saya pasti, ia dapat memberi kepuasan kepada peminat saya.

"Apatah lagi ia merupakan pengalaman berharga apabila konsert yang kebiasaannya dilakukan di luar negara ini, dapat kita jayakan di sini,” kata Mus yang pernah memenangi vokal terbaik, Juara Rock Malaysia 1986.


Man Kidal janji kepuasan

Man Kidal yang cukup dikenali dengan kemahiran bermain gitar, juga bakal memanaskan pentas DFP menerusi aksi bertenaganya.

Teruja diberikan peluang berkolaborasi bersama MPO, Man Kidal, merasakan ia bukanlah suatu tugas yang mudah.

“Kebiasaannya, saya bermain di konsert biasa dan hanya memainkan dengan pemuzik rock, tetapi apabila digabungkan bersama orkestra ia tentulah lebih sukar berbanding konsert yang pernah saya jayakan sebelum ini.

“Dengan usaha yang berterusan dan gandingan yang padu, saya harap ia memberikan kepuasan buat peminat,” katanya.