Saturday, September 21, 2013

Fulus bicara kewangan santai


AFDLIN SHAUKI (kiri) diberi kepercayaan menggalas tanggungjawab sebagai hos rancangan, Fulus.


BERBEZA format dan pendekatan, rancangan bual bicara Fulus memfokuskan kandungan mengenai ilmu asas dan tips-tips kewangan kepada golongan muda terutama belia yang baru memasuki alam kerjaya.
Program kerjasama erat TV Alhijrah dengan Affin Islamic Bank Berhad itu akan bersiaran secara rakaman selama 30 minit setiap episod sebanyak 13 episod pada musim pertama.
Ujar Penerbit Eksekutif Fulus, Noor Harlida Abu Bakar, memilih selebriti sebagai panel jemputan dalam setiap episod dilihat langkah proaktif untuk mengkomersialkan dan mendekatkan program itu dengan golongan muda.
“Kami telah terlebih dulu menjalankan kaji selidik mengenai latar belakang setiap selebriti sebelum menjemputnya sebagai panel yang akan membincangkan pelbagai permasalahan kewangan.
“Memandangkan Fulus bukan rancangan yang serius, maka tindakan memilih beberapa selebriti popular tanah air adalah wajar,” katanya yang ditemui pada sidang akhbar di Restoran Al-Rawsha, Kuala Lumpur baru-baru ini.
Fulus mengundang beberapa selebriti terkenal membincangkan topik-topik berkaitan kewangan antaranya Adam (Gaji Pertamaku), Zahid (Duit Tak Ada Hati Ingin Kahwin), Catriona Ross (Akaun Untuk Adik), Ika Nabila (Malang Tidak Berbau), Elyana (Kad Debit Elak Muflis), Pekin (Zakat), Diana Amir (Rumah Pertamaku) dan Hans Isaac (Ikut Hati Mati).
Tambah Noor Harlida, pihaknya bakal menjemput selebriti sukan antaranya, pemain bola sepak kebangsaan, ahli politik, novelis dan generasi muda yang aktif dalam bisnes untuk musim kedua Fulus.
Sementara itu, ujar Ketua Pegawai Eksekutif Affin Islamic, Kamarul Arrifin Mohd. Jamil, rancangan itu akan membuka minda penonton dan memberikan pemahaman mengenai perbankan Islam.
“Ramai yang tidak tahu bahawa sejak tahun 1983, perbankan cara Islam di Malaysia sudah semakin rancak dan lebih 60 peratus pasaran perbankan cara ini diamalkan di Malaysia.
“Konsep perbankan cara ini sebenarnya bukan hanya untuk golongan muslim semata-mata sebenarnya dan menerusi rancangan ini penonton akan mendapat pendedahan lebih jelas,” katanya.
Dalam pada itu, ujar pengacara Fulus, Afdlin Shauki, tidak mudah untuk dia mengendalikan program yang akan menjadi terlalu serius jika tersilap langkah.
“Sebelum memulakan rakaman Fulus, saya akan membuat sedikit bacaan mengenai topik-topik berkaitan perbankan Islamik tapi tidak terlalu mendalam.
“Saya meletakkan diri sebagai seorang yang tidak tahu apa-apa tapi betul-betul mahu mengetahui dengan lebih mendalam.
“Bagi saya, apabila mula mengenali perbankan Islamik ia menjadi satu pengetahuan yang perlu dikongsikan kepada orang ramai. Ramai artis yang datang dengan perasaan tidak bersalah akan pulang dengan perasaan bersalah,” katanya berseloroh.
Fulus bersiaran pada setiap hari Ahad bermula 22 September pukul 9 malam di saluran TV Alhijrah.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: