|
|
SETELAH bergelar bapa selama dua bulan, pengarah dan pelakon terkenal Farid Kamil masih berteka-teki berhubung nama anak lelakinya yang masih lagi dirahsiakan sehingga sekarang.
Ketika bertemu dengan Farid semasa majlis pratonton filem Dampak baru-baru ini, suami kepada pelakon Diana Danielle itu hanya tersenyum apabila diajukan pertanyaan mengenai nama anaknya.
Meskipun masih lagi terus berahsia dan sekadar memberitahu Muhammad sebagai pangkal nama cahaya mata sulungnya itu, Farid menyatakan ia hanya akan diumumkan dalam satu majlis khatam Al-Quran dan akikah yang bakal diadakan dalam tempoh terdekat.
Menurutnya, ketika ini isteri dan anaknya berada dalam keadaan sihat dan kedua-duanya berada di kampung halamannya di Alor Setar, Kedah bersama kedua-dua ibu bapanya.
Kosmo!: Sehingga kini ramai yang masih tertanya-tanya tentang nama anak Farid setelah dua bulan bergelar bapa. Adakah Farid masih lagi mahu berahsia mengenainya?
FARID: Buat masa ini saya masih belum bersedia untuk mendedahkan nama sebenar anak saya. Apa yang boleh dijelaskan sekarang, namanya akan didedahkan dalam sebuah majlis nanti.
Mengikut perancangan saya dan isteri serta ahli keluarga yang lain, kami akan mengadakan majlis khatam Al-Quran dan akikah. Namun begitu, kami masih belum memilih tarikh yang sesuai lagi.
|
|
Mengapakah Farid memilih majlis tersebut untuk mengumumkan nama anak?
Sebenarnya majlis itu nanti akan diberi hak eksklusif kepada Astro untuk menyiarkannya di kaca televisyen. Bagi kami, ia merupakan masa yang paling sesuai untuk umumkan nama sebenar anak saya.
Bagaimanapun, perkara tersebut masih lagi dalam peringkat perbincangan antara Astro dan Metrowealth. Jadi, kami menyerahkan segala urusan kepada Metrowealth dan kami bersetuju dengan segala perancangan yang dibuat.
Sudah tentu Farid dan Diana mendapat tawaran yang lumayan daripada pihak Astro untuk hak eksklusif berkenaan. Adakah Farid boleh dedahkan jumlah bayaran yang akan diterima?
Tentang bayaran itu saya dan isteri memang tidak tahu-menahu mengenainya. Semuanya bergantung kepada Metrowealth apabila melakukan rundingan dengan pihak Astro.
Bagaimanakah dengan keadaan Diana dan anak?
Beberapa hari sebelum menyambut Hari Raya Aidilfitri, isteri dan anak sudah pulang ke Malaysia dan kini mereka berada di kampung halaman saya di Alor Setar. Kedua-duanya berada dalam keadaan sihat dan anak saya kini semakin aktif, manakala Diana pula masih lagi dalam berpantang dan dijaga sepenuhnya oleh ibu saya.
Adakah Diana sudah menamatkan pengajiannya di Australia?
Kalau diikutkan masih lagi ada enam bulan untuk Diana menamatkan keseluruhan pengajiannya dalam bidang penerbitan di National Institute of Dramatic Art (NIDA) di Sydney.
Namun, keputusan masih belum dibuat sama ada dia sambung atau tidak.
Bagaimanakah kehidupan Farid sekarang setelah bergelar seorang ayah?
Sekarang ini saya perlu menjadi seorang individu yang lebih bertanggungjawab.
Kalau dahulu saya bebas untuk melakukan apa sahaja perkara yang diinginkan, sekarang semuanya lebih kepada tanggungjawab sebagai seorang suami dan bapa.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: