Thursday, September 12, 2013

Dikritik dari segi penampilan




BIARPUN ramai selebriti yang mengambil keputusan untuk berhijab namun keputusan mereka itu masih tidak dapat memuaskan hati peminat.
Ada segelintir peminat yang tidak suka pula dengan cara pemakaian selebriti berhijab tersebut yang dikatakan mengikut badan dan kelihatan seksi.
Antara selebriti berhijab yang pernah menerima kritikan peminat menerusi cara berpakaian ialah penyanyi hebat Shila Amzah, Alyah, pelakon Rafidah Ibrahim atau Fida, penyanyi antarabangsa Yuna dan juga penyanyi nombor satu negara, Datuk Siti Nurhaliza.
Bagaimanapun, terdapat juga selebriti yang sudah berubah sepenuhnya dari segi penampilan seperti pelakon Yatt Hamzah, Diana Amir dan Irma Hasmie.
Alyah suka pada fesyen
Setelah mengambil keputusan untuk mengenakan hijab sekitar bulan April tahun lalu, ramai yang memuji penampilan baharu penyanyi Alyah atau nama sebenarnya Noor Hasliah Abu Hasan.
Lega dengan penerimaan peminat itu, bagaimanapun, ada segelintir peminat yang mengkritik pula penyanyi berusia 33 tahun itu dalam berpakaian.
Walaupun berhijab, Alyah dikritik kerana memakai pakaian yang ketat dan juga mengenakan solekan yang tebal.
Menjawab mengenai perkara itu, Alyah mengakui, sangat gemar berfesyen dan mengambil inspirasi tersebut melalui wanita-wanita Arab di Dubai dan Kuwait.
ALYAH mengakui ramai yang tidak boleh menerima cara dirinya berpakaian selepas berhijab.


"Sebelum memakai hijab lagi saya seorang yang gemar berfesyen. Walaupun mengambil keputusan berhijab saya tetap mengikut perkembangan fesyen seperti di negara Dubai dan Kuwait. Mereka sangat pandai berfesyen.
"Memang ramai yang tidak boleh terima cara pemakaian saya ini tetapi sekurang-kurangnya saya tidak mengenakan pakaian yang melampaui batas seorang wanita Muslimah," jelas Alyah ketika dihubungi Kosmo!.
Ujar Alyah lanjut, sebagai seorang penyanyi dia juga harus menjaga imejnya dan mengenakan solekan ketika membuat persembahan.
Biarpun begitu, akui Alyah, dia tetap beribadat dan melakukan amal jariah.
Mengenai perasaannya yang sering dikritik peminat setiap kali memuat naik gambarnya di Instagram, kata Alyah: "Cara pemakaian adalah perkara peribadi. Saya tidak kisah mengenai komen yang membina di laman sosial tetapi tidak boleh terima kritikan yang keterlaluan.
"Sebenarnya peminat tidak memahami kerjaya seorang penyanyi atau pelakon yang perlu menjaga imej dalam berpakaian.
Bicaranya sebelum menamatkan perbualan: "Memang pada mulanya saya terkejut dengan kritikan peminat mengenai penampilan saya. Saya ingat, selepas berhijab perjalanan hidup saya akan lebih lancar tetapi ia tidak seperti yang difikirkannya."
Shila ambil teguran
Sebelum ini pelantun lagu Patah Seribu, Shila Amzah pernah memuat naik gambar badannya dari paras dada sehingga ke perut dengan mengenakan pakaian sukan yang ketat di laman sosial Instagramnya @shahilaamzah.
Akibat daripada perbuatannya itu, Shila atau nama sebenarnya Nur Shahila Amir Amzah, 23, dikritik hebat oleh peminat-peminatnya yang meminta dia memadam gambar tersebut dan turut mengatakan perbuatannya itu tidak sesuai dengan statusnya sebagai selebriti yang sudah berhijab.
YATT HAMZAH mengakui gemar memakai bulu mata palsu sebelum dan ketika baru-baru mengenakan hijab.


Terima segala kritikan peminat, Shila kemudiannya memadamkan gambar tersebut namun dia tetap ditegur peminatnya yang tidak menyukai caranya berpakaian yang dikatakan sering mengikut badan.
Mengulas mengenai perkara tersebut, ujar Shila, dia mengambil segala teguran peminat secara positif.
"Mereka (peminat) menegur kerana mahu tengok saya berubah menjadi lebih baik. Saya terima tetapi apa yang penting saya sudah mengambil keputusan untuk berhijab," ujarnya ketika ditemui pada majlis sambutan Hari Raya Aidilfitri yang dianjurkan oleh syarikat milik pelakon dan pengacara, Zizan Razak di Subang Jaya, Selangor.
Bicara Shila lanjut, sebagai selebriti sepertinya, imej dalam berpakaian sangat penting.
Katanya, dia harus mengikut fesyen dan usia dalam berpakaian kerana masa mula-mula berhijab dahulu dia juga pernah dikutuk peminat gara-gara mengenakan pakaian yang tidak sesuai dengan usianya.
"Dahulu badan saya agak gempal. Selepas ambil keputusan pakai tudung, saya tidak tahu memakai baju yang sesuai dan ramai yang tegur mengatakan penampilan saya seperti orang tua.
"Selepas itu, saya ambil keputusan untuk kuruskan badan dan mengenakan pakaian mengikut fesyen dan imej saya sebagai seorang penyanyi.
Bagaimanapun, saya masih menutup aurat dan tidak memakai pakaian yang keterlaluan sebagai seorang Muslimah," jelasnya yang akan berubah ke arah yang lebih baik secara berperingkat-peringkat.
Shila Amzah memberitahu, imej berpakaian sangat penting sebagai artis.


Yatt akui banyak kekurangan
Sementara itu, menurut pelakon Haryati Hamzah atau Yatt Hamzah, 33, pada mulanya dia juga seperti selebriti lain yang hanya mengenakan hijab tetapi masih berpenampilan menarik.
Begitupun, selepas melibatkan diri dalam Usrah Fitrah yang turut disertai selebriti seperti Diana Amir, Heliza Helmi dan Irme Hasmie, Yatt seterusnya mendapat hidayah Allah untuk berhijrah sepenuhnya.
"Saya dahulu juga berubah secara berperingkat-peringkat. Pakai baju yang tidak labuh dan tidak betul-betul mengikut syariat. Bukannya drastik seperti sekarang. Memang dahulu saya zahir sahaja Islam tetapi tidak pada batin. Selepas dapat hidayah daripada Allah saya mula berhijab dan sedikit demi sedikit mula memakai pakaian yang labuh," ujarnya ketika dihubungi Kosmo!.
Yatt turut mendedahkan, dia sangat suka memakai bulu mata sehingga selepas berhijab tabiatnya itu sukar untuk dikikiskan.
"Saya ratu bulu mata. Sehinggakan pergi pasar raya pun pakai bulu mata. Ramai ustaz dan ustazah cakap tidak boleh tetapi susah hendak kikis tabiat tersebut namun, Alhamdulillah kini saya tidak lagi memakai bulu mata dan memakai solekan tebal kecuali jika ada sesi fotografi," ulasnya.
Jelas Yatt, biarpun sudah berubah dia sentiasa berasakan banyak lagi kekurangan yang terdapat pada dirinya dan sentiasa belajar untuk menjadi Muslimin yang lebih baik.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: