|
HANIM AHMAD membuka langkah bersendirian untuk mengejar impiannya sebagai penyanyi nasyid. Biarpun dalam masa yang sama, dia aktif bersama sebuah grup nasyid D'soul, Hanim tetap mengatur strateginya yang tersendiri.
Mendapat restu daripada ahli D'Soul yang lain, Hanim mula menempuh liku secara berseorangan. Akhirnya, dia tampil menjenamakan diri sebagai penyanyi nasyid solo sejak setahun lalu.
"Ya, saya penyanyi nasyid solo kerana tampil dalam lapangan muzik komersial secara berseorangan. Tetapi, saya masih bersama D'soul," ujar Hanim ketika hadir dalam sesi fotografi di Studio Utusan, Kuala Lumpur baru-baru ini.
Ada alasan mengapa Hanim mahu mengorak langka ke hadapan sebagai penyanyi solo. Baginya, grup nasyid sudah banyak, cuma penyanyi solo dalam genre yang sama masih kurang.
"Mujurlah, mereka memahami bahawa saya menyimpan impian itu. Tiada halangan daripada mereka, bahkan mendapat restu semuanya. Lagipun, tidak ramai penyanyi nasyid solo di Malaysia dan saya mahu mengisi kekosongan itu," kata Hanim, 36.
Sejak tahun lepas, Hanim tampil bersama buah tangan pertamanya yang berupa sebuah album mini berjudul Syurga Cinta.
Album terbitan sendiri itu menampilkan lagu ketuhanan Syurga Cinta yang dicipta oleh komposer Dakmie dan Maha Sempurna oleh Ito Lara.
Memilih memperjuangkan nasyid moden, Hanim menerapkan elemen muzik pop dalam kedua-dua naskhah lagu tersebut. Ia merupakan cara yang difikirkan relevan bagi menarik perhatian golongan muda untuk menggemari lagu bercirikan ketuhanan.
|
"Hampir dua tahun saya merancang mengeluarkan album itu. Pelbagai cabaran yang terpaksa dilalui termasuklah terpaksa membuat pinjaman kewangan dan menggunakan pendapatan sendiri agar ia dapat direalisasikan mengikut perancangan.
"Saya juga menerbitkan sendiri album tersebut di samping Ustaz Azadan Rabbani (Azadan Abdul Aziz) yang memberikan tunjuk ajar.
"Syukur, kerana sehingga kini kira-kira 30 peratus album sudah dijual sepanjang saya mengadakan persembahan. Album itu tiada di pasaran kerana saya mengedarkannya sendiri termasuklah di Facebook," kata anak bongsu daripada sembilan adik-beradik itu.
Menurut adik kepada pemain dram kumpulan Fotograf iaitu Ringgo, perjalanan sebagai seorang penggiat seni bukanlah sesuatu yang mudah buatnya.
"Sebenarnya, begitu sukar untuk saya tampil ke hadapan (untuk dikenali) apatah lagi apabila bergerak sendiri. Segala-galanya saya lakukan sendiri. Namun, saya harus yakin dan tidak boleh mengalah agar saya dapat meneruskan dakwah menerusi lagu.
"Sebelum ini, saya banyak mempersiapkan diri untuk meneruskan impian. Bukan sahaja menyertai kumpulan nasyid ketika di sekolah, bahkan penah mencuba dalam beberapa uji bakat rancangan realiti televisyen," katanya yang meminati genre tersebut sejak kecil.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: