Monday, September 2, 2013

Buku kompilasi lima penulis


MUHAYA (tiga dari kiri) menyempurnakan majlis pelancaran buku Ilmu Kehidupan: Ringkas tapi Signifikan di Kuala Lumpur & Country Club, Bukit Kiara, Kuala Lumpur baru-baru ini.


SIAPA sangka, siri memberi kuliah melalui Universiti MKI di laman www.muhdkamil.org/home, menjadi permulaan kepada penerbitan buku bertajuk Ilmu Kehidupan: Ringkas tapi Signifikan.
“Saya menggelar laman web tersebut sebagai universiti main-main di alam maya. Kemudian, Allah memberi ilham untuk membukukan segala ilmu yang terdapat di dalamnya apabila siswa-siswi yang berdaftar melebihi 5,000 orang.
“Prosesnya berlaku sangat pantas. Lebih kurang dua bulan, namun tatacara penerbitannya seperti kebiasaannya sedikit mengambil masa. Alhamdulillah, buku ini sudahpun berada di pasaran,” ujar Prof. Muhd. Kamil Ibrahim, salah seorang daripada lima penulis buku tersebut.
Selain Muhd. Kamil, empat penulis lain ialah Raudzah Roslan, Noor Azma Mohd. Khassim, Datuk Zaini Ariff dan Sabtu M. Ali.
Pensyarah Perakaunan di Universiti Taibah, Madinah itu berkata, sepanjang proses menerbitkan buku tersebut, pihaknya tidak menghadapi masalah besar walaupun penulisnya agak ramai bagi penghasilan sebuah buku.
“Secara umumnya kami berlima. Maka sudah tentu terdapat lima perangai berbeza, lima gaya dan lenggok bahasa serta pengalaman yang pelbagai. Oleh itu, tugas saya bagi memastikan kami semua bekerja mengikut jadual.
“Strategi saya mudah. Setiap seorang perlu menulis satu bab yang merangkumi 10 catatan. Saya sendiri menulis tiga bab (30 catatan). Ini bermakna lebih 40 peratus berada di bawah kawalan saya. Apa yang penting, saya perlu menunjuk contoh dan komitmen yang baik supaya mudah diikuti. Jujurnya, semua penulis tahu apa yang patut mereka lakukan,” jelas Muhd. Kamil lebih lanjut.

ORANG ramai menyaksikan majlis pelancaran buku Ilmu Kehidupan: Ringkas tapi Signifikan yang menghimpunkan karya lima penulis itu.


Kisah penulis
Ironinya, semua tajuk yang dipaparkan di dalam buku ini berkisar kepada kehidupan penulis itu sendiri. Namun, ia dikaitkan dengan sifat-sifat Allah SWT.
Sebagai contoh di dalam bab 1, ceritanya berkaitan kehidupan seorang peniaga yang berjaya. Lalu temanya diberi nama Usahawan Akhirat. Ada pula penulis yang sudah bersara, lantas fokusnya dinamakan Di Hujung Senja.
Sementara itu, Noor Azma yang mempunyai kelulusan dalam bidang pengajian hadis dan al-Quran, menyiapkan tulisan berkaitan kebesaran Allah. Raudzah pula bercerita tentang tajuk Hidup Itu Indah jika dibawa dengan cara dan kaedah yang betul.
Tidak ketinggalan, Muhd. Kamil tampil dengan catatan mengenai realiti kehidupan masyarakat zaman ini.
Hakikatnya, semua hasil penulisan dan catatan hidup yang terdapat di dalam buku ini mampu memberi pedoman buat manusia yang sentiasa mahu bermuhasabah diri dan menjalani kehidupan berlandaskan syariat.
“Tiada apa yang kami harapkan melainkan buku ini akan menjadi ilmu yang bermanfaat buat semua pembaca. Insya-Allah,” luah Muhd. Kamil lagi.
Diterbitkan oleh Galeri Ilmu Sdn. Bhd., semua royalti buku Ilmu Kehidupan: Ringkas tapi Signifikan untuk cetakan pertama ini dikhususkan kepada Yayasan Anak-anak Yatim Sultanah Haminah.
Ia merupakan sebuah yayasan yang menaungi banyak rumah anak-anak yatim di negeri Kedah. Justeru, pembeli buku ini bukan sahaja mendapat ilmu daripada isi kandungannya, bahkan memperoleh saham akhirat atas sumbangan yang dihulurkan secara tidak langsung kepada pertubuhan tersebut.
Majlis pelancaran tersebut telah disempurnakan oleh pendakwah terkenal, Prof. Dr. Muhaya Mohamad di Kuala Lumpur Golf & Country Club, Bukit Kiara, Kuala Lumpur pada bulan Ramadan lalu.
Buku ini dijual pada harga RM45 untuk Semenanjung Malaysia dan RM47 bagi Sabah dan Sarawak. Untuk maklumat lanjut, layari laman web www.galeriilmu.com atau hubungi talian 03-6142 1614.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: