![]() |
|
AHLI gusti tersohor ini sebenarnya merupakan seorang yang peramah.
|
JIKA dilihat di kaca televisyen melalui program World Wrestling Entertainment (WWE), Booker T dilihat sebagai seorang lelaki sasa yang ganas dan garang.
Ketika bertemu pemilik nama sebenar Booker Tio Huffman pada sidang akhbar di Royale Bintang, The Curve, ternyata lelaki yang mempunyai ketinggian 191 sentimeter ini sangat peramah orangnya.
Bagi yang mengenali Booker T, namanya bukanlah asing dalam arena sukan gusti World Wrestling Entertainment (WWE).
Ini kerana kariernya telah bermula sejak 22 tahun lalu dan mula popular ketika masih di zaman World Championship Wrestling (WCW) lagi.
Apa yang menariknya, ketika ditemu bual media Malaysia, Booker T atau nama lainnya, King Booker menyebut satu nama yang merupakan musuh bagi dirinya sepanjang dia bergelar seorang ahli gusti.
“Saya tidak pernah suka pada Chris Jericho sepanjang penglibatan saya dalam arena WWE.
“Saya rasa dia bukan seorang yang baik, namun apabila di luar arena WWE, saya dapat lihat perbezaan pada dirinya.
“Mungkin dia tidaklah seteruk mana seperti yang disangka. Bagaimanapun, saya memang tidak akan mempunyai perasaan sayang padanya walaupun sebagai kawan,” akui Booker diselangi dengan ketawa sinis ketika membuat pengakuan tersebut.
Impian
Menurut Booker, menjadi seorang ahli gusti merupakan impiannya sejak dari zaman remaja lagi.
Selain itu, berhadapan dengan puluhan ribu peminat membuatkan dia berasa puas hati dengan apa yang dilakukan selama ini.
“Apa yang saya boleh katakan, sebagai seorang ahli gusti, berlawan di hadapan puluhan ribu penonton merupakan suatu impian, bukan sahaja bagi saya, namun kami semua (ahli gusti).

CHRIS JERICHO dianggap oleh Booker T sebagai musuh ketatnya di gelanggang WWE.
“Saya telah temui kejayaan tersebut dengan penat lelah dan usaha yang saya lakukan untuk sampai ke tahap yang saya berada kini.
“Selain itu juga, komen-komen negatif yang pernah dilemparkan telah menjadikan saya seorang yang kuat berusaha untuk menjadi yang terbaik dalam arena WWE ini.
“Pada mulanya orang pernah memandang sinis terhadap karier menjadi ahli gusti.
“Namun kini, lihat di mana saya berada dan saya boleh berbangga dengan pencapaian saya,” ungkap Booker yang membuat penampilan pertama dalam arena ini pada tahun 1989.
Rendah diri
Melihat kejayaan yang dikecapi oleh lelaki berbadan sasa ini, pasti ramai yang fikir Booker memiliki segala jenis kemewahan yang diinginkan seperti kediaman dan kenderaan mewah.
Bagaimanapun menurut Booker, walaupun mampu untuk berbuat demikian, dia tidak terlalu ingin hidup membangga diri.
“Saya tidak pernah lihat diri saya dalam cermin sebagai Booker T kerana untuk pengetahuan peminat, keluarga memanggil saya dengan panggilan Junior.
“Apabila saya pandang cermin, saya lihat Junior dan itu membuatkan saya sentiasa sedar diri dan tidak terlalu bermegah.
“Di luar WWE, saya juga seperti manusia lain, yang membuat kerja-kerja rumah yang biasa dilakukan.
“Saya juga menggunakan kenderaan yang memang mampu dipakai oleh semua. Saya lebih gemar hidup begitu,” ujar anak didik ahli gusti dan bina badan, Ivan Putski ini.

No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: