Saturday, July 20, 2013

Sleeq mahu terus menetap di Malaysia

SYARIF mengumumkan Sleeq bakal muncul dengan album baharu tidak lama lagi.


SETELAH dikenali dengan lagu Sesaat Kau Datang menerusi gandingannya bersama Ramlah Ram pada tahun lalu, kumpulan Sleeq yang dianggotai Ahmad Syarifullah Ahmad Soribah (Syarif) dan Muhammad Alif Abdullah (Alyph) mula mendapat tempat di hati peminat.
Kumpulan yang berasal dari Singapura itu kemudian berkolaborasi dengan Najwa Latif menerusi lagu Untuk Dia sehingga menempa populariti dalam sekelip mata.
Syarif yang ditemui pada penggambaran drama bersiri Sahabat di Rawang, Selangor baru-baru ini meluahkan rasa syukurnya ekoran sambutan peminat di Malaysia yang sangat positif.
Memandangkan karier yang semakin berkembang, Syarif menyatakan dia dan Alyph sudah nekad untuk berhijrah dan terus menetap di negara ini.
Kosmo!: Apakah yang membuatkan Sleeq mahu mengikut jejak langkah beberapa rakan artis Singapura lain yang berhijrah ke Malaysia?
SYARIF: Sepanjang empat tahun berkecimpung dalam industri muzik di Malaysia, kami melihat peminat di Malaysia menerima Sleeq dengan baik dan kami cukup gembira selama berada di negara ini.
Lagipun peluang kami untuk terus mengembangkan karier nyanyian lebih terbuka di Malaysia, meskipun terpaksa bersaing dengan ramai lagi penyanyi tempatan.
Kenapa baru sekarang Sleeq mengambil keputusan ini?
Sebenarnya, saya dan Alyph sudah lama merancang untuk terus menetap di Malaysia, tetapi masing-masing ada komitmen lain memandangkan kami perlu menjalani program Khidmat Negara di Singapura selama dua tahun.
Buat masa ini, cuma saya seorang yang sudah selesai menjalaninya pada tahun lepas, manakala Alyph akan tamat menjalani program berkenaan dalam tempoh terdekat. Jadi, kami merancang untuk terus tinggal di Malaysia selepas Aidilfitri nanti.
Apakah harapan Sleeq setelah tinggal di Malaysia nanti?
Sudah tentu kami berharap supaya terus diterima peminat dan kami bertekad untuk menghasilkan lagu-lagu yang menarik dan bermutu.
Kami sedar bukan mudah untuk bersaing dengan penyanyi sedia ada, tetapi dengan muzik yang Sleeq bawakan, ia mampu memikat peminat di negara ini.
Biarpun sudah berhijrah dan menetap terus di Malaysia, kami tidak akan menolak sekiranya mendapat peluang membuat persembahan di Singapura.
Tujuan kami berhijrah adalah supaya lebih mudah kami meluaskan karier nyanyian.
Bagaimana dengan perkembangan terbaharu Sleeq?
Selepas raya juga, Sleeq bakal muncul dengan sebuah album baharu yang mengandungi enam buah lagu.
Selain dua buah lagu yang kami nyanyikan secara solo iaitu Tiba Masa dan Nobody Get To You, empat lagi merupakan lagu kolaborasi bersama penyanyi lain.
Sleeq berkolaborasi dengan Najwa Latiff menerusi Untuk Dia dan dengan Aaron Aziz untuk lagu Salam Semua.
Bagi dua buah lagi lagu kolaborasi yang masing-masing berjudul Tepi Sikit dan Perjalanan, kami berkolaborasi dengan dua penyanyi popular Malaysia, cuma tidak mahu mendedahkan siapakah mereka buat masa ini.
Ceritakan tentang pembabitan anda dalam drama bersiri Sahabat?
Sebelum ini saya pernah berlakon drama bersiri di Singapura, tetapi Sahabat merupakan drama Malaysia pertama lakonan saya.
Saya memegang watak sebagai Shaq, seorang pemuzik dari Singapura yang datang ke Malaysia untuk bergabung dalam sebuah kumpulan muzik.
Sebelum menerima tawaran berlakon dalam drama bersiri ini, saya ada meminta pandangan daripada Aaron Aziz. Apabila perbincangan dilakukan, Aaron menyatakan tidak salah kalau saya mahu cuba berlakon dan akhirnya saya berjaya diterima berlakon.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: