Saturday, July 20, 2013

Noor Aishah terharu Yusof masih dihargai


NOOR AISHAH utuh menyimpan setiap pahit manis kehidupan yang dikongsi bersama Yusof.


SENYUMANNYA terukir manis dan menawan. Lembut tutur kata dan sopan santun terangkum dalam diri wanita Melayu Singapura ini.
Bagi yang tidak mengenali Noor Aishah Md. Salim, mereka mungkin tidak percaya wanita itu sebenarnya isteri bekas Presiden Pertama Singapura, Yusof Ishak.
Kekal merendah diri tanpa dilimpahi sebarang publisiti media, Noor Aishah, 80, utuh menyimpan setiap kenangan pahit manis kehidupan yang dikongsi bersama Yusof sejak mendirikan rumah tangga kira-kira 64 tahun lalu.
Bersama Noor Aishah, Yusof sering berkongsi cerita mengenai apa yang berlaku termasuk semasa mengendalikan akhbar Utusan Melayu yang menjadi suara perjuangan kemerdekaan Tanah Melayu daripada genggaman penjajah British.
Kini, Noor Aishah menikmati kehidupan bersama keluarga tersayang selepas dikurniakan tiga cahaya mata dan 10 cucu hasil perkongsian hidup bersama Yusof.
Kehadiran Noor Aishah di Taman Warisan Melayu, Istana Kampung Gelam, Sultan Gate, Singapura sempena Kembara Queen Street (KQS) bagi meraikan ulang tahun Utusan Melayu yang ke-75 baru-baru ini cukup sederhana.
Tanpa diiringi pihak berkuasa di sana, ia sesuatu yang cukup asing bagi mana-mana bekas Wanita Pertama.
Kecintaan Yusof
Menurut beliau, arwah suaminya seorang yang gemar bercerita biarpun terkenal dengan sikap yang tegas dalam kalangan pekerja Utusan Melayu ketika itu.
"Saya terharu dan bangga kerana walaupun Yusof sudah lebih empat dekad meninggal dunia, masih ada insan mengenang jasanya.
"Saya merakamkan jutaan terima kasih, apa yang hendak saya katakan di sini usaha yang dilakukan oleh insan-insan (warga Utusan Melayu) mulia ini amat saya sanjung.

ZAINUDDIN (depan dua dari kiri) menyampaikan buku yang ditulis beliau kepada Noor Aishah sambil diperhatikan Zaini (kiri) pada Konvoi Kembara Queen Street.


"Ditambah dengan sejarah perjuangan Allahyarham terhadap Utusan Melayu memberi erti cukup besar bagi saya," kata Noor Aishah yang membahasakan diri beliau dengan panggilan mami.
Malah, beliau turut berkongsi rasa kecintaan mendalam Yusof terhadap Utusan Melayu yang tetap mengikuti perkembangan akhbar itu meskipun menjadi Presiden Singapura.
"Yusof memang kuat bekerja. Dia sanggup tidur di pejabat semata-mata kerana teruja dengan mesin percetakan baharu yang boleh mencetak akhbar lebih pantas berbanding sebelum itu," cerita Noor Aishah.
Mungkin ramai dalam kalangan pembaca tidak tahu bahawa Yusof juga merupakan pejuang kemerdekaan Tanah Melayu daripada penjajah British sebelum mengasaskan akhbar Utusan Melayu yang mula diterbitkan di Queen Street, Singapura pada 29 Mei 1939.
Yusof yang dilahirkan di Taiping, Perak pada 12 Ogos 1910 merupakan Yang di-Pertuan Negara ketika Singapura bersama Malaysia dari tahun 1959 hingga 1965. Beliau kemudian menjadi presiden pertama republik itu sebelum menghembuskan nafas terakhir pada 23 November 1970 ketika berusia 60 tahun.
Wajah beliau juga masih boleh dilihat pada kepingan kertas dolar Singapura sekarang.
"Tanpa Yusof, tidak akan wujud akhbar Utusan Melayu," demikian kata ringkas namun cukup bermakna yang diungkapkan bekas Ketua Pengarang Kumpulan Utusan, Tan Sri Zainuddin Maidin semasa ditemui pada majlis yang sama.
Dalam pertemuan singkat itu, Zainuddin turut berkesempatan menghadiahkan buku bertajuk Di Depan Api, Di Belakang Duri kepada Noor Aishah.
Menurut beliau, peluang menyampaikan buku karyanya yang menceritakan pengalaman pada zaman awal penubuhan Utusan Melayu di Singapura kepada bekas Wanita Pertama Singapura itu merupakan detik amat bermakna buatnya.
Malah, beliau mengakui terharu kerana Noor Aishah sanggup datang ke majlis tersebut meskipun tidak sihat dan diketahui jarang muncul dalam mana-mana majlis di negara itu.

UTUSAN Melayu diperbadankan di Singapura pada 18 Jun 1938 sebagai Utusan Melayu Press Limited.


"Ini merupakan hari yang cukup bermakna dan besar ertinya dalam hidup saya kerana sempat berkhidmat sebagai wartawan semasa era Allahyarham Yusof menjadi Ketua Pengarang Utusan Melayu.
"Apa yang saya dapat belajar, beliau merupakan seorang yang garang, tegas dan kuat bekerja kerana bagi Allahyarham dengan cara itu sahaja dapat memajukan Utusan Melayu bagi membolehkan para pekerja bertugas bersungguh-sungguh," katanya.
Buku Di Depan Api, Di Belakang Duri setebal 512 muka surat nukilan Zainuddin kini berada di pasaran dan dijual pada harga RM62.
Mengulas lanjut, Zainuddin yang mesra dikenali dengan panggilan Zam turut berkongsi cerita mengenai cinta Yusof terhadap bidang kewartawanan biarpun telah bergelar Presiden Singapura.
Cabaran konvoi
"Pernah suatu ketika Yusof terserempak dengan wartawan (Ahmad Idris) dan jurugambar (Junid Juani) di tepi jalan. Biarpun sudah bergelar presiden, Yusof sebaliknya yang mengambil gambar mereka berdua dari dalam kereta.
"Yusof juga cukup pantang jika mengetahui ada wartawan tidak pergi ke kawasan liputan dan hanya mengambil berita daripada wartawan lain," cerita Zainuddin.
Terdahulu, konvoi yang diketuai oleh Penolong Ketua Pengarang 1 Utusan, Datuk Zaini Hassan menziarahi pusara Yusof yang terletak di Keranji, Woodlands sambil menghadiahkan bacaan surah al-Fatihah diikuti doa yang dipimpin oleh Yang Dipertua Badan Keluarga Utusan Melayu (BKUM), Kamsari Nor.
Konvoi KQS merupakan projek sulung anjuran Kelab Kembara Bermotosikal Utusan Melayu (KKBUM) bermula 6 Julai lalu sambil diiringi lapan pegawai dan anggota Bahagian Pengangkutan Jabatan Logistik, Polis Diraja Malaysia (PDRM).
Turut serta dalam konvoi itu ialah Pengurus Jabatan Pengarang Utusan Melayu, Syed Agil Syed Jaafar; Ketua Editor Foto Utusan Melayu, Abdul Kadir Bachok; Pengarah Program Konvoi KQS, Asmaruddin Jamaluddin dan Presiden KKBUM, Mohd. Hazli Hassan.
WALAUPUN diuji dengan pelbagai cabaran, peserta konvoi Kembara Queen Street berjaya menyudahkan misi mereka.


Sepanjang tiga hari berkonvoi, para peserta yang terdiri daripada kakitangan Utusan Malaysia, Kosmo!, Unit Jurufoto dan beberapa jabatan lain dilihat cekal menempuh perjalanan keseluruhan merangkumi jarak lebih 800 kilometer (km).
Stamina peserta jelas diuji dengan cuaca tidak menentu, namun segala-galanya dapat diatasi apabila peserta dilengkapi dengan beg dehidrasi tajaan Deuter.
Peserta konvoi yang terpaksa meneruskan perjalanan dalam hujan lebat ketika di Rembau, Negeri Sembilan juga tidak terjejas apabila penglihatan mereka terjamin selepas menggunakan topi keledar keluaran khas M50.0 Malaysia Boleh yang ditaja Givi Malaysia.
Lebih menarik, kesemua peserta sempat merakamkan gambar kenangan menarik sepanjang perjalanan dengan kamera canggih tajaan pengedar kamera terkemuka, Canon Marketing (M) Sdn. Bhd.
Selain itu, peserta konvoi juga diiringi tiga buah motosikal Moto Guzzi tajaan SMS Autoworld Sdn. Bhd. serta tiga buah kenderaan Chevrolet model Colorado, Orlando dan Sonic yang ditaja Naza Quest Sdn. Bhd. bagi membantu melicinkan perjalanan konvoi.
Antara pihak lain yang turut berbesar hati bertindak sebagai penaja bagi merealisasikan kembara berkenaan ialah Tenaga Nasional Berhad (TNB), Bank Rakyat, Felda, Kolej Poly-tech Mara, Syarikat Bekalan Air Selangor, Perbadanan Nasional Berhad, Yayasan Pendidikan Cheras, Kerajaan Negeri Johor, Melaka, Negeri Sembilan dan Perak serta syarikat kosmetik, Jamu Mak Dara.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: