|
PERKEMBANGAN kerjaya seni penyanyi Noryn Aziz atau Norazmahwati Abdul Aziz, sememangnya cukup menarik untuk diikuti.
Dia memulakan karier nyanyian bersama kumpulan Sister Sister pada tahun 1994 yang popular menerusi lagu pop, Cinta Mahkota Jiwa. Empat tahun kemudian dia tampil secara solo dan popular dengan lagu Fantasi O Realiti yang mengetengahkan irama alternatif.
Selepas muncul dengan dua genre muzik yang berbeza, penyanyi berkenaan sekali lagi membuat pembaharuan apabila menukar arah kepada muzik jazz sehingga lahirnya album Alam Maya (2006) dan I'm Alright (2010).
Memasuki tahun 2013, dia kembali dengan produk terbaharu apabila merakamkan dua buah lagu baharu berunsur kerohanian iaitu Tinta Putih dan Mutiara.
Berkesempatan bertemu secara eksklusif buat kali kedua dengan Noryn dalam satu sesi fotografi baru-baru ini, dia menyatakan kedua-dua lagu berkenaan bersesuaian dengan imejnya sekarang yang lebih Muslimah.
"Berkenaan dengan perubahan imej ini, semuanya bermula sejak tahun 2008 lagi. Cuma saya membuat perubahan sedikit demi sedikit.
"Saya percaya cara ini akan membuatkan saya lebih bersedia untuk melakukan perubahan, sehinggalah saya bertudung sepenuhnya tahun lalu," ujarnya.
Bercerita tentang kedua-dua lagu tersebut pula, Noryn mendedahkan, semuanya tercetus selepas dia menunaikan ibadah haji pada tahun 2010.
Jelasnya, selepas pulang dari Mekah dia pernah terfikir sama ada ingin berhenti daripada dunia nyanyian atau meneruskan sahaja kariernya itu.
"Pada mulanya saya ingin berehat seketika daripada menyanyi. Dalam tempoh berehat itu saya ambil masa berfikir memandangkan saya sudah berubah dari segi penampilan.
"Tidak lama kemudian saya buat keputusan untuk kembali aktif dan merakamkan lagu pop berbentuk kerohanian yang bersesuaian dengan imej saya sekarang," jelasnya.
Berkongsi lebih lanjut mengenai lagu baharunya itu, dia memberitahu bahawa Adi 6ixth Sense dipilih sebagai penerbit, manakala kedua-dua lagu itu merupakan ciptaan Adi dan liriknya oleh Buddhi Hekayat.
Menurutnya lagi, sebelum ini dia ada bertemu dengan beberapa penerbit bagi menghasilkan lagu buat dirinya, namun akhirnya Adi dipilih setelah Noryn tertarik dengan lagu-lagu ciptaan Adi.
"Apabila berjumpa dengan Adi, saya ada memberitahu tentang keinginan saya untuk merakamkan lagu berunsur kerohanian, tetapi dengan muzik yang berbentuk pop.
|
|
"Setelah berbincang, saya memilih lagu Tinta Putih dan Mutiara dan sangat berpuas hati kerana liriknya juga lebih mudah difahami," ujarnya.
Ketika ditanya sama ada dia tidak mahu lagi menyanyikan lagu berirama jazz, Noryn bagaimanapun menyatakan bahawa dia akan terus menyanyikan lagu-lagu irama berkenaan kerana ia sudah sebati dalam dirinya.
"Sebenarnya sudah ada perancangan untuk saya merakamkan lagu berunsur kerohanian, tetapi dengan menerapkan irama jazz. Namun begitu, langkah tersebut mengambil masa yang agak lama kerana membabitkan perkara teknikal," jelasnya.
Dalam pada itu, Noryn juga memberitahu, dia sudah menghasilkan sebuah klip video untuk lagu Tinta Putih yang menelan kos sebanyak RM20,000 menggunakan khidmat syarikat Phuture Phlow.
Tiada halangan
Memandangkan kini Noryn bertekad untuk kembali aktif dalam dunia nyanyian, adakah ini bermakna dia sudah mendapat keizinan daripada suaminya?
Beritahu penyanyi cantik itu, dia bersyukur kerana suaminya sangat memahami isi hatinya yang ingin meneruskan karier sebagai penyanyi, tetapi memberi nasihat supaya menjaga nama baik diri dan suami.
"Ketika suami mengenali saya dahulu pun dia tahu latar belakang saya yang merupakan seorang penyanyi, malah dia juga meminati muzik terutamanya jazz.
"Jadi, saya bersyukur kerana tiada halangan daripada suami untuk saya kembali aktif menyanyi, tetapi saya akan sentiasa mendengar nasihatnya," jelas isteri kepada arkitek terkenal, Raja Kamarul Bahrin Shah Raja Ahmad itu.
Ketika ditebak tentang kehidupannya sekarang selepas dia berterus terang sudah berkahwin pada tahun lalu, dia menyatakan tiada perbezaan yang terlalu ketara.
|
Jelasnya, sebelum ini dia bukan sengaja menyembunyikan statusnya yang sudah bergelar isteri orang.
Cuma, dia mengelak bercerita dengan pihak media kerana bimbang berlaku perkara yang negatif.
"Dulu, perasaan bimbang itu memang ada dan itu yang menyebabkan saya tidak mahu membuka mulut tentang perkahwinan itu, tetapi kini saya dapat menjalani kehidupan yang lebih selesa," ujarnya.
Tidak sensitif
Menyingkap lebih lanjut mengenai kisah peribadinya, Noryn turut ditanya dengan soalan yang agak sensitif iaitu mengenai cahaya mata memandangkan sudah hampir empat tahun dia berumah tangga.
Secara terbuka, penyanyi itu mengakui pada peringkat awal dia memang sangat sensitif dan kurang selesa sekiranya ada pihak yang bertanya perihal anak.
"Dalam tempoh dua tahun perkahwinan kami, saya sudah mula ditanya mengenai perkara tersebut. Sejujurnya, saya akan terasa tetapi orang lain tidak nampak isi hati saya.
"Sebenarnya, saya dan suami langsung tidak merancang kehamilan. Kami sudah berusaha dengan melakukan pelbagai cara, termasuk mengamalkan tip dan petua itu dan ini. Cuma buat masa ini, mungkin belum rezeki kami," ujarnya.
Bagaimanapun, sekarang Noryn tidak lagi berasa hati sekiranya diajukan pertanyaan yang sama kerana beranggapan bahawa rezeki untuk mendapatkan cahaya mata merupakan kurniaan Allah.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: