Friday, July 19, 2013

Sasha dedah punca bercerai dengan Salyo

BEKAS anggota kumpulan Elite ini kini kembali aktif dalam bidang lakonan dan peragaan.


SELEPAS pelakon Sasha Saidin sah bercerai talak satu dengan suaminya, Salyo Priyanto Nutosoemarsono pada 10 Julai 2012, dia pernah memohon untuk menyerahkan satu nota kepada mahkamah kerana tidak mahu mendedahkan punca kemelut rumah tangganya.
Bukan itu sahaja, ketika disoal media, kakak kepada pelakon Zain Saidin itu juga mengunci mulut. Dia enggan mendedahkan punca sebenar perceraiannya itu.
Sasha dan Salyo yang merupakan warganegara Indonesia berkahwin pada tahun 2007 dan dikurniakan seorang anak iaitu Adam Aryasenna Notosoemarsono, 4.
Sebelum perkahwinan keduanya itu, Sasha pernah bernikah dengan Jason Skinner atau nama Islamnya, Johan Abdullah Skinner, pada 21 Jun 2003 di Masjid Central Regent Park, London, namun mereka berpisah empat tahun kemudian.
Ketika ditemui pada majlis berbuka puasa anjuran TV9 di Kelab Golf Kuala Lumpur baru-baru ini, Shasha akhirnya nekad untuk mendedahkan punca sebenar perceraiannya dengan Salyo.
Selain menyingkap kehidupan peribadinya, Sasha juga mengulas mengenai bakal adik iparnya iaitu pelakon Rozita Che Wan yang akan berkahwin dengan adik Sasha, Zain.
Ikuti temu bual Kosmo! bersama Sasha selanjutnya.
Kosmo!: Lama tidak muncul dalam media selepas bercerai. Apakah perkembangan Shasha Saidin sekarang?
SASHA: Masa saya banyak dihabiskan dengan menjaga Arya (Adam Aryasenna Notosoemarsono). Selain itu, saya juga kembali aktif berlakon dan bakal muncul menerusi drama raya, Mimpi Farah.
Saya juga terlibat dengan jelajah puasa bersama TV9 di Kedah pada 27 Julai ini. Bukan itu sahaja, saya turut terlibat untuk program raya RTM dan bakal ke set penggambaran drama 26 episod terbitan Sheila Rusly. Malah, saya juga kembali ke pentas peragaan.
Begitu sibuk mencari rezeki, siapa yang menjaga Arya?
Kalau saya sibuk, ibu saya yang akan jaga Arya. Saya tidak pernah mengambil pembantu rumah sepanjang membesarkan Arya.
Bagaimanakah dengan kes perceraian anda? Adakah anda mendapat hak penjagaan anak daripada bekas suami?
Alhamdulillah, kes perceraian kami sudah selesai. Hak penjagaan anak tidak pernah menjadi isu. Sekarang, Arya memang dijaga sepenuhnya oleh saya sebab Salyo sudah pulang ke Indonesia.
Ada berjumpa dan berhubung dengan bekas suami?
Walaupun tidak berjumpa, kami sering berhubung melalui Skype.
SHASHA mengakui hanya pernah berjumpa sebanyak dua kali dengan Rozita Che Wan yang bakal bergelar isteri kepada adiknya, Zain Saidin.


Apakah punca sebenar anda dan Salyo berpisah?
Punca utamanya adalah disebabkan masalah kesempitan duit, malah kami juga sering berjauhan. Dia berada di Indonesia manakala saya di Malaysia.
Bagaimanakah kehidupan anda selepas menjadi ibu tunggal?
Pada mulanya saya rasa risau hidup sebagai ibu tunggal tetapi alhamdulillah, kini okey. Walaupun kadang-kadang bekas suami bagi nafkah, kadang-kadang tidak, saya masih boleh hidup dan tidak menghadapi masalah kewangan.
Adakah disebabkan itu anda kini bekerja keras mencari rezeki?
Walaupun rezeki yang saya peroleh tidak begitu banyak tetapi alhamdulillah saya tidak berhutang. Arya juga seorang anak yang tidak cerewet. Abang sulung saya banyak membantu. Begitu juga kawan-kawan baik saya.
Walaupun keadaan saya tidak begitu mewah, saya tetap ambil insurans perubatan untuk Arya. Sebabnya, saya pernah mengalami gastrik yang teruk dan dimasukkan ke hospital selama seminggu. Bayaran bil hospital sangat tinggi. Atas sebab itu, saya terfikir jika terjadi sesuatu kepada Arya ketika saya tiada duit, insurans itu dapat membantu.
Apakah punca anda mengalami gastrik?
Saya tidak makan secara teratur, malah tekanan darah saya juga rendah. Ketika hantar Zain pergi Gaza dulu, saya pengsan di lapangan terbang sebab sepanjang hari tidak makan. Ketika itu, saya dimasukkan ke hospital.
Ada tak terfikir untuk berkahwin sekali lagi?
Ada juga terfikir, malah kawan-kawan baik semua suruh saya cari orang kaya atau jadi isteri kedua kepada orang kaya dan sebagainya. Sebenarnya berkahwin dengan orang kaya itu tidak menjamin kehidupan yang sempurna.
Lagipun, saya tidak boleh berkongsi suami dengan orang lain. Jika duda saya tidak kisah. Saya juga pernah diminati lelaki semuda Zain (29 tahun) tetapi saya cakap pada mereka, mana mungkin saya terima lelaki sebaya adik saya.
Mungkinkah anda ada sasaran bila akan berkahwin semula?
Sekarang umur saya 36 tahun. Jadi, saya tidak mahu terlalu lewat berkahwin lagi sebab saya teringin untuk dapat anak perempuan pula.
Apakah ciri-ciri lelaki pilihan anda kali ini?
Kalau ditakdirkan berkahwin sekali lagi, saya mahukan lelaki yang boleh membimbing saya - bukannya saya yang membimbing mereka pula. Kalau boleh dia juga harus stabil dari segi kewangan.

Apakah pengajaran yang anda peroleh daripada kedua-dua perkahwinan sebelum ini?
Dua kali gagal dalam perkahwinan sebenarnya telah mematangkan saya agar tidak terlampau mengikut kata hati, sebaliknya berfikir dengan lebih waras.
Beralih pada soalan lain, boleh komen tentang bakal adik ipar anda iaitu Rozita Che Wan?
Saya baru dua kali bertemu dengan dia (Rozita). Walaupun tidak pernah berbual secara rapat tetapi dia seorang yang lemah lembut.
Apa pendapat anda tentang jurang umur antara mereka?
Zain yang berkahwin bukan saya. Asalkan adik saya gembira sudah cukup buat saya. Sebenarnya dia merupakan seorang lelaki yang tegas dengan pilihannya. Jika dia cakap ya, ya jawapannya. Begitu juga sebaliknya.
Bagaimana dengan raya tahun ini?
Saya akan beraya bersama ibu dan Zain di Gombak, Selangor.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: