Monday, July 15, 2013

Minimalis moden warnai lebaran

KOMBINASI dua rona mewujudkan aura istimewa pada pagi Syawal.


TIDAK lengkap hari lebaran tanpa busana yang dihias indah dengan jahitan kerawang dan manik-manik berwarna- warni.
Pereka-pereka tempatan sentiasa hadir dengan rekaan baharu yang dicipta istimewa sempena perayaan terbesar umat Islam itu.
Pereka kelahiran negeri Cik Siti Wan Kembang, Ezuwan Ismail terus melebarkan sayap jenamanya dengan menzahirkan busana sesuai untuk wanita yang inginkan gaya bak selebriti terkenal.
“Jika sebelum ini saya mengeluarkan busana khusus untuk wanita Muslimah, koleksi kali ini menampilkan persalinan moden dan elegan melalui potongan yang lebih terperinci,” ujarnya kepada Stailo.
Menggunakan fabrik sifon dan likra, Ezuwan membuat kelainan melalui kombinasi dua rona bagi menampakkan keanggunan kepada si pemakai.
Aura feminin terserlah saat menyarungkan busana labuh rona ungu lembut potongan duyung, dilengkapkan lagi dengan penataan ringkas manik.
Busana Aidilfitri Ezuwan tampak minimalis tanpa perlu taburan manik dan potongan berlebihan agar si pemakai nampak manis ketika berkunjung ke rumah terbuka. Sepuluh koleksi hari lebaran Ezuwan boleh ditempah awal dengan menghubunginya untuk membuat temu janji.
Cetakan geometri Kree
Sekiranya anda wanita urban yang mahukan busana Aidilfitri dengan motif cetakan geometri, maka Kree adalah pilihan terbaik. Jenama tempatan yang berkolaborasi bersama pereka Afiq M itu tampil menyerlah untuk koleksi raya kali ini dengan pilihan baju kurung, dres dan jubah.
Variasi potongan sama ada longgar atau mengikut bentuk tubuh dapat diperoleh pelanggan. Paling penting, pemilihan material seperti likra, satin dan krep (kain nipis daripada sutera, kapas atau benang bulu) menjadikan busana Kree selesa dipakai sepanjang hari.
“Penggunaan warna senada yang diselang-seli dengan rona hijau neon menciptakan penampilan menawan pada pagi Syawal,” ujar Afiq M yang menambah, terdapat 26 rekaan bagi koleksi lebaran Kree.
Kesemua busana Kree sudah mula dijual menerusi laman web www.kree.my dan pembelian perlu dibuat secara dalam talian.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: