Monday, July 15, 2013

Peter berbagi kerjaya



“BILA pertarungan awak seterusnya?” Itu antara soalan yang kerap diterima lelaki kacukan Cina-Inggeris tersebut setiap kali berada di tempat awam.
Menerusi lontaran soalan sedemikian, lelaki berusia 32 tahun itu sememangnya menyedari pelabelan masyarakat terhadap dirinya.
Tidak sia-sia, tempoh hampir 12 tahun bergelumang dalam seni mempertahankan diri campuran (MMA), nama Peter Davis cukup mekar dalam arena sukan tempatan.
“Saya akui orang lebih mengenali saya sebagai atlet MMA berbanding model dan pelakon,” luah Peter jujur.
Wajah campuran Peter sering disalah anggap kebanyakan orang. Mereka melihat lelaki itu sebagai orang asing walaupun hakikatnya dia seorang warganegara Malaysia. Tambah Peter: “Ibu saya orang Sabah dan saya boleh berbahasa Melayu, cuma tidak lancar.”
Pelat Inggeris Peter jelas kedengaran saat dia cuba berbicara dalam Bahasa Kebangsaan. Mungkin jangka masa yang terlalu lama di England menyukarkan Peter berbahasa Melayu. Dia hanya kembali ke Malaysia pada tahun 2006.
Peter cukup bertuah kerana dikurniakan tubuh tinggi lampai dan struktur wajah sempurna untuk peragaan. Ironinya, sebelum melangkah di pentas-pentas fesyen, Peter terlebih dahulu beraksi di dalam gelanggang MMAC United Kingdom.
Mula mengenali MMA seawal usia 20 tahun, Peter kemudiannya bergiat aktif dalam sukan tersebut dan menyertai beberapa siri pertandingan. Dia kemudiannya menyertai Kejohanan MMA Malaysian Invasion pada penghujung tahun 2012 dan disenaraikan sebagai atlet utama.
“Saya bangga dengan perkembangan drastik MMA di Malaysia. Dalam tempoh dua tahun, ia telah menjadi antara sukan komersial di sini. Mencari gimnasium MMA juga tidak sukar sekarang.
“Sukan ini banyak berjasa kepada saya. Ia memberi saya peluang untuk meluaskan kerjaya sebagai model dan pelakon. MMA telah berjaya meletakkan saya dalam satu bentuk publisiti yang unik,” ujar bapa kepada seorang anak lelaki berusia tiga tahun itu.
Wajah tampan milik Peter sedikit pun tidak menerbitkan ketakutan saat bertemu lawan. Baginya, biarlah wajahnya cedera dengan luka tumbukan lawan. Kesempurnaan wajah bukan keutamaan buat Peter.
“Sekarang gegendang telinga saya mengalami kecederaan akibat perlawanan lepas. Perkara sebegini memang tidak dapat dielakkan, jadi saya perlu sentiasa bersiap sedia.

PETER antara petinju MMA tempatan yang bertanggungjawab menaikkan populariti sukan itu di Malaysia.


“Saya pernah ditawarkan tugas mengacara satu majlis baru-baru ini. Namun, malam sebelum majlis itu saya ada perlawanan. Saya menolak tugas mengacara tersebut kerana bimbang kesan kecederaan yang bakal diterima.
“Pernah juga saya datang ke acara rasmi dengan mata lebam akibat tumbukan lawan. Bagaimanapun, ia dapat disembunyikan menggunakan solekan,” kongsi Peter dalam tawa.
Dunia model
Usai tamat musim perlawanan, Peter mengurangkan sesi latihannya kepada tiga kali seminggu. Katanya: “Sepanjang musim perlawanan saya perlu berlatih setiap hari tanpa gagal.”
Tempoh rehat daripada sebarang kejohanan MMA memberi ruang kepada Peter untuk aktif dalam bidang peragaan. Ketika musim pertunjukan fesyen tanah air, Peter mula menjadi rebutan pereka-pereka tempatan.
Bakat semula jadi Peter membuatkannya mudah diterima industri fesyen, malah sebagai atlet yang terjun ke dalam bidang peragaan, pencapaian Peter boleh dibanggakan.
“Saya memang bukan seorang yang mengambil berat soal fesyen, namun sekarang pengetahuan saya dalam bidang ini semakin berkembang.
“Dalam industri fesyen, saya dapat bertemu ramai individu dari pelbagai latar belakang yang unik. Kelompok ini sangat berbeza daripada yang saya temui dalam kumpulan MMA, jadi saya dapat mempelajari banyak benda baharu.”
Mengimbau zaman mudanya, Peter menyatakan bahawa dia seorang lelaki yang cenderung kepada gaya ringkas. Seluar londeh (baggy) dan kasut besar menjadi teman akrabnya sehingga membuatkan dia ditegur teman wanitanya.
“Teman wanita saya telah berkecimpung dalam bidang fesyen kira-kira 15 tahun dan dia selalu menegur pemakaian saya ketika itu.
“Lama-kelamaan saya mula belajar tampil mengikut acara. Saya seimbangkan gaya berpandukan majlis yang dihadiri agar tidak kelihatan berlebihan atau gagal menepati tema.
“Kalau memilih sut, saya pastikan ia mampu berfungsi dengan baik. Maksud saya di sini, ia mempunyai poket dan ruang secukupnya bagi memuatkan dompet, telefon bimbit dan alatan keperluan yang lain,” terang Peter.
Pengalaman hampir tujuh tahun dalam bidang peragaan juga mendorong Peter untuk berhati-hati dalam memilih jenama. Meskipun menggemari gaya kasual santai, Peter sering memastikan penampilannya dalam keadaan rapi.
Kecemerlangan Peter dalam dunia peragaan turut menjadi ukuran rumah-rumah fesyen untuk menyuntingnya sebagai wajah rasmi. Bukan itu sahaja, baru-baru ini rezeki Peter bertambah apabila dia dipilih sebagai duta produk Gillette di Malaysia.

LELAKI berusia 32 tahun ini sering menerima tawaran sebagai model bagi pentas-pentas peragaan di Malaysia.


Lakonan
Wajah Peter juga sudah mula mengisi kaca televisyen menerusi beberapa drama televisyen. Karier lakonannya bermula apabila dia disunting pengarah, Yeo Joon Han bagi memegang watak utama dalam filem Sell Out!.
Ekoran kejayaan filem tersebut, bakat lakonan Peter mula dipandang serius pengarah tempatan, malah dia diberi kepercayaan untuk tampil dalam filem arahan Mamat Khalid, Apokalips yang masih menunggu tarikh untuk ditayangkan.
“Dalam Apokalips, saya berdialog seratus peratus dalam bahasa Melayu. Ia memang suatu cabaran besar,” ujar Peter yang juga pernah muncul dalam drama bersiri Apa Dosaku yang disiarkan Astro Citra pada tahun 2010.
Rejim kecantikan
Selain mengekalkan kecergasan tubuh dengan melakukan senaman setiap hari, Peter juga tidak mengabaikan soal penampilan. Setiap hari dia akan pastikan mandian paginya berkualiti dan menyegarkan.
Kumis dan jambang dirapi secara harian agar penampilan kekal kemas.
Dedah Peter: “Namun, ketika musim kejohanan MMA, saya kurang menekan- kan soal penampilan. Jadi, selalunya ketika ini saya jarang merapi jambang.”
Tidak begitu mengambil peduli tentang krim atau produk penjagaan wajah, Peter bagaimanapun memastikan krim selepas bercukur (after shave) diaplikasikan pada wajah setiap kali mencukur kumis dan jambang.
“Saya juga mengambil suplemen kesihatan bagi mengimbangi keperluan protein. Pemakanan juga dijaga agar diet yang terbaik dapat diterima badan. Sebagai model saya perlu mengekalkan bentuk badan.”

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: