Monday, July 22, 2013

Hamper raya inspirasi Quince KL

SETIAP hamper mempunyai pakej khusus sama ada dihias dengan bunga segar atau sebaliknya.


MEMILIKI Ijazah Sarjana Muda dalam bidang Pemasaran Perniagaan dari Universiti Tenaga Nasional, Fuza Umar, 29, berusaha menggunakan ilmu yang diperoleh untuk menjadi seorang usahawan wanita yang berjaya.
Selepas tamat pengajian, Fuza mencari pengalaman dengan bekerja sebagai pegawai pemasaran yang menganjurkan pelbagai acara sebelum akhirnya membuat keputusan untuk terjun dalam dunia perniagaan.
Wanita kecil molek itu kemudian memulakan bisnes kedai bunga yang menyediakan perkhidmatan penghantaran lantaran minatnya terhadap bunga sejak kecil.
Kini, selepas tiga tahun beroperasi dengan modal permulaan sebanyak RM70,000, butik yang dinamakan Quince KL itu semakin mendapat tempat dalam kalangan penggemarnya.
“Biasanya untuk servis mingguan, kami akan menggubah bunga di pejabat-pejabat korporat dan syarikat swasta. Bekalan bunga pula diperoleh setiap hari melalui pembekal yang diimport dari luar negara,” ujar Fuza ketika ditemui Kosmo! di kedainya yang terletak di Solaris Mont Kiara, Kuala Lumpur baru-baru ini.
FUZA menjalankan perniagaan penghantaran bunga dan hamper bersama suami dan kakak iparnya.


Servis penghantaran bunga bermula pada harga RM100, manakala bagi pelanggan yang datang tanpa membuat tempahan boleh membeli bunga yang digemari. Antaranya bunga mawar, tulip dan hydrangea yang berharga RM3.50 sebatang.
Menurut Fuza lagi, sempena musim perayaan terutamanya Aidilfitri yang akan menjelang, Quince KL juga tidak ketinggalan menyediakan pelbagai jenis hamper sebagai cenderamata kepada handai taulan.
“Pelanggan boleh memilih pakej hamper mengikut kemampuan masing-masing sama ada mahu kombinasi hamper dan bunga-bungaan segar atau sebaliknya.
“Sepanjang Ramadan ini, setiap hamper terdiri daripada produk kurma dan beberapa jenis kuih serta biskut raya. Bagi hamper biasa tanpa dekorasi bunga segar, ia dijual pada harga RM50 ke atas. Jika ada bunga pula, harganya bermula daripada RM100,” jelas Fuza yang baru sahaja mendirikan rumah tangga Februari lalu.
Perniagaan itu kini dikongsi bersama suami dan kakak iparnya yang sentiasa memberi dorongan untuknya terus berjaya.
BUTIK Quince KL menawarkan pakej penghantaran hamper dan bunga pada harga berpatutan.


Tambah Fuza, setiap perniagaan sudah pasti berdepan cabaran tersendiri. Sebagai wanita, Fuza mengakui perlu kuat dalam aspek mental dan fizikal jika mahu menjadi ahli perniagaan yang berjaya.
“Apa yang penting, kita perlu yakin dengan kekuasaan Allah. Jangan takut untuk menceburkan diri dalam dunia perniagaan yang memang banyak risikonya.
“Percaya dengan kekuatan diri selain sentiasa berusaha untuk memajukan perniagaan. Selebihnya, bertawakal kepada Allah kerana pada akhirnya, Dia yang menentukan banyak atau sedikitnya rezeki kita,” jelas Fuza penuh makna.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: