Wednesday, July 17, 2013

Chomel Fana tiada isu dengan KRU Studios

FIGURA ini menafikan dia kurang aktif berlakon sejak akhir-akhir ini.


NAMA Chomel Fana tidak kedengaran asing tapi pada masa sama masih samar-samar dalam industri hiburan.
Seketika, namanya menjadi bualan gara-gara gosip negatif yang menggambarkan dirinya kurang berdisiplin dan sombong namun kemudiannya kembali menyepi.
Timbul persoalan adakah Chomel tidak kisah akan kehadirannya dalam bidang lakonan atau nyanyian semasa atau kehendaknya untuk tidak menghebahkan kisah peribadi sendiri?
Bertemu dengan pemilik nama sebenar Noorhanis Farhana Shaharuddin, 27, pada majlis doa selamat drama Balqis di Angkasapuri, Kuala Lumpur baru-baru ini, Chomel menjelaskan situasi kariernya kini.
Khabarnya ada cerita di sebalik dirinya yang kini sudah tidak lagi bernaung di bawah pengurusan KRU Studios Sdn. Bhd. (KRU Studios).
Ikuti temu bual lanjut Kosmo! bersama pelakon utama drama Balqis yang kini ditayangkan di TV2.
Kosmo!: Pada bulan Ramadan ini, apakah perancangan karier Chomel Fana?
CHOMEL FANA: Saya sibuk dengan penggambaran drama bersiri 13 episod Menjinak Ombak arahan Along Kamaluddin sehingga penghujung bulan Julai. Kemudian, baru ada masa untuk membuat persiapan Hari Raya Aidilfitri bersama keluarga. Selain itu, saya memenuhi undangan berbuka puasa dan majlis-majlis amal.
Chomel kelihatan kurang aktif dalam bidang lakonan atau nyanyian, kenapa agaknya?
Mana ada? Masih ada syarikat korporat yang menjemput saya untuk mengadakan persembahan begitu juga lakonan. Mungkin saya jarang diberikan watak yang betul-betul memberikan impak kepada penonton, tetapi saya mengharapkan drama Balqis ini membuka mata orang ramai tentang bakat lakonan saya.
CHOMEL ada sebab tersendiri keluar daripada pengurusan KRU Studios.


Adakah Chomel masih bernaung di bawah syarikat KRU Studios?
Ramai yang menyangka saya masih bernaung di bawah KRU Studios tapi sebenarnya sudah setengah tahun saya bergerak sendiri. Mungkin juga ramai yang masih ingatkan saya dinaungi oleh syarikat pengurusan, faktor itu membuatkan produksi atau penganjur takut untuk mendapatkan khidmat saya.
Chomel keluar daripada KRU Studios kerana ada masalah?
Tiada masalah, saya keluar kerana kontrak saya selama dua tahun telah tamat dan tidak terfikir untuk menyambungnya. Kami tiada sebarang masalah sampai sekarang. Bukan kerana merajuk atau isu pilih kasih tapi saya mahu kembali bergerak solo. Kebanyakan projek saya bersama KRU Studios lebih kepada nyanyian dan pengacaraan tapi jangan salah anggap kerana saya tidak mengharapkan apa-apa daripada syarikat itu. Saya tidak menyesal keluar daripada KRU Studios.
Jadi, adakah Chomel rasa mampu membawa hala tuju sendiri tanpa syarikat pengurusan?
Pembabitan saya dengan KRU Studios pun kerana merakamkan single, kemudiannya saya ditawarkan untuk bernaung di bawah sayap syarikat itu. InsyaAllah saya akan bekerja lebih keras dan fokus kepada bidang lakonan.
Sudi kongsikan pengalaman menerajui drama Balqis?
Saya melakonkan watak utama Balqis iaitu seorang remaja pintar tapi memberontak selepas kematian bapa. Tanpa disedari dia terbabit dengan golongan gelandangan dan melakukan jenayah. Akhirnya Balqis dipenjarakan dan bertemu dengan seorang majistret yang ingin mengkaji perubahan sikapnya.
Paling mengujakan apabila penggambaran dijalankan di Mekah dan Madinah selama dua minggu.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: