Wednesday, July 17, 2013

Air Tangan ibu undang selebriti



IFA RAZIAH (kanan) dan ibu mertuanya, Khizan Zain (tengah) bersama hos Wanita Hari Ini (WHI) dalam segmen Air Tangan Ibu.


PEPATAH ada mengatakan, tidak ada makanan yang lebih baik selain daripada masakan air tangan ibu. Baru-baru ini Planta dengan kerjasama Wanita Hari ini (WHI), sebuah rancangan bual bicara TV3 telah memperkenalkan sebuah segmen baharu iaitu Air Tangan Ibu dengan tema Melimpahkan Kasih Sayang Hidangan Ibu yang akan dibawakan khas sempena bulan Ramadan ini.
Penonton bakal menikmati segmen menarik ini bermula 8 Julai sehingga 6 Ogos ini.
Bagi Penerbit Eksekutif WHI, Siti Hatija Yusoff, mereka menghargai kepentingan masakan air tangan ibu, apatah lagi pada bulan Ramadan.
Ini kerana pada bulan mulia ini, seisi keluarga akan berkumpul menikmati juadah bersama-sama yang pastinya resipi daripada air tangan ibu sendiri.
Menariknya, segmen tersebut menampilkan selebriti tanah air bersama ibu mereka. Antara artis yang terbabit ialah Tasha Shila dan Nabil yang akan berbuka dan bersahur.
Dalam setiap episod, selebriti bersama ibu mereka akan berkongsi pengalaman air tangan ibu di dapur, selain memasak menu kegemaran mereka.
Ini secara tidak langsung menimbulkan minat dalam kalangan wanita terhadap bidang masakan dan belajar resipi-resipi baharu.
Turut hadir semasa acara pelancaran segmen Air Tangan Ibu tersebut ialah pelakon dan penyanyi popular, Ifa Raziah, serta ibu mertuanya Khizan Zain yang dijemput untuk memasak resipi kegemaran mereka iaitu nasi goreng planta.
Menurut Ifa, masakan ibu adalah yang paling sedap dan tidak mampu ditandingi oleh masakan lain yang ada di dunia.
"Air tangan ibu itulah yang menyedapkan sesuatu makanan sebenarnya. Walaupun sekadar telur goreng, ia lebih sedap berbanding makanan lain.
"Masakan ibu juga mempunyai seribu keberkatan. Percayalah seorang anak akan sentiasa merindui masakan ibunya jika terpisah lama, begitu juga saya yang telah kehilangan ibu tercinta tiga tahun lalu. Jadi sekarang saya sering makan masakan ibu mertua untuk menghilangkan kerinduan tersebut," katanya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: