Sunday, July 21, 2013
Buaya Sebelak pandai berdendam
SARATOK – Seorang nelayan nyaris menjadi korban buaya apabila diserang reptilia tersebut yang sepanjang lima meter ketika menangkap udang di Sungai Sebelak berhampiran Plunga Hilir, Roban di sini kelmarin.
Dalam kejadian pada pukul 9 malam itu, Anuar Sulaiman, 39, dari Kampung Melayu Roban cedera parah apabila pergelangan kaki kirinya hampir putus dibaham haiwan ganas itu.
Lebih mengejutkan, tempat mangsa diserang itu adalah lokasi sama yang meragut nyawa bapanya, Sulaiman Abdullah, 68, yang maut dibaham buaya pada tahun 2011.
Isteri mangsa, Lili Abd. Rahman, 37, berkata, semasa kejadian, suaminya dan abang iparnya, Endoi, 42, sedang bersiap-siap untuk pulang selepas selesai menangkap udang di kawasan itu.
Katanya, nasib malang mereka bermula apabila enjin bot tidak dapat dihidupkan.
“Ketika suami saya membaiki enjin bot, seekor buaya tiba-tiba menyambar kaki kirinya dan cuba menarik badannya ke dalam sungai.
“Suami saya bergelut kira-kira lima minit dengan menendang kepala buaya tersebut sebelum abangnya datang membantu menarik badannya,” kata Lili ketika dihubungi Kosmo! di sini semalam.
Menurut Lili, Endoi mengambil sebatang buluh lalu memukul buaya tersebut menyebabkan reptilia itu melepaskan gigitannya dan terus menghilangkan diri.
“Mujur suami saya selamat dalam kejadian ini. Buaya tersebut seolah-olah berdendam dengan keluarga kami selepas kejadian sama yang meragut nyawa bapa mentua saya (Sulaiman) kira-kira dua tahun lalu,” katanya.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: