Sunday, July 21, 2013

Arca pasir semakin diminati di Malaysia




MEMBUAT istana pasir pastinya menjadi aktiviti yang amat dinanti-nanti oleh kanak-kanak apabila mereka bermain di pantai.
Istana itu dibina dengan menggunakan peralatan seperti pisau, perata tanah, pen, berus dan straw minuman.
Sekali pandang, aktiviti itu sangat senang untuk dilakukan. Namun, membina sebuah istana pasir tidaklah semudah yang disangkakan kebanyakan orang.
Kuantiti air dan pasir merupakan faktor utama dalam pembinaan istana pasir. Jika tersilap percaturan, ia pasti tidak menjadi.
Hobi membina istana pasir hakikatnya mempunyai pengikut yang ramai di seluruh dunia. Berbagai-bagai pertandingan membina arca pasir diadakan.
Tahun lalu, Kejohanan Arca Pasir Nasional 2012 yang diadakan di pantai Port Dickson, Negeri Sembilan mendapat sambutan menggalakkan.
September ini, syarikat Xtreme Out Bound (XOB) sekali lagi akan menganjurkan sukan yang jarang dilihat oleh orang ramai di negara ini itu, kata pemilik XOB, Zuraidah Md. Hashim.
"Idea untuk mengetengahkan pertandingan membuat arca pasir ini tercetus ketika melihat seorang rakan menyenaraikan maklumat jenis sukan yang sudah terkenal di negara seperti India, Amerika Syarikat (AS), Singapura, Australia dan United Kingdom.
"Saya juga pernah mempelajari mata pelajaran lukisan kejuruteraan untuk menjadi arkitek di Sekolah Menengah Teknik Tunku Jaafar, Seremban pada tahun 1992 tetapi, apabila diminta membuat (mereka bentuk) bangunan, saya takut walaupun saya sememangnya amat meminati bidang seni bina.
"Apabila ada rakan yang memberi maklumat mengenai aktiviti ini, saya mula membuat sedikit kajian mengenainya dan mendapati sukan ini sebenarnya amat menyeronokkan tetapi tidak pernah dianjurkan di Malaysia.
"Malaysia mempunyai pantai yang cantik, sayangnya tiada aktiviti dilakukan bagi menarik orang ramai berkunjung ke pantai pada hari-hari biasa melainkan pada hujung minggu dan cuti umum.

SEBUAH arca pasir yang cantik memerlukan gabungan kuantiti pasir dan air supaya binaan yang dihasilkan itu dapat bertahan lama.


"Di AS, sukan itu akan berlangsung selama dua atau tiga hari di kawasan pantai dan para peserta akan meninggalkan hasil rekaan mereka untuk tontonan umum.
"Ada juga yang sanggup membeli sebidang tanah di pantai yang dikhaskan bagi membina arca pasir untuk tatapan khalayak," kata Zuraidah.
Pasir sungai
Wanita itu berkata, kepuasan yang tidak terhingga akan diperoleh apabila seseorang itu dapat menyiapkan sesebuah arca pasir.
"Apabila berbicara mengenai seni arca pasir, ramai yang tidak dapat membayangkan bagaimana aktiviti ini dilakukan tetapi apabila diberitahu ia seperti membina istana pasir, ramai pula yang mengetahuinya.
"Sebenarnya mereka tidak didedahkan dengan seni arca pasir yang sebenar. Ada pula yang tidak menyangka ia boleh dijadikan sebagai kerjaya," jelasnya.
Zuraidah memberitahu, sebanyak 12 tan pasir diperlukan bagi membentuk sebuah arca setinggi tiga meter.
Ujarnya, air laut kurang sesuai untuk dicampurkan dengan pasir bagi menghasilkan arca tetapi disebabkan kekangan dan mahu mengekalkan penggunaan bahan semula jadi sedia ada, ia terpaksa digunakan.
"Sebanyak 568 liter air diperlukan untuk menghasilkan sebuah arca pasir. Pemilihan lokasi di Pantai Saujana, Port Dickson dibuat atas faktor pasir pantainya sudah matang dan tidak terlalu halus atau kasar.
"Kami dapati pasir pantai di kawasan lain terlalu lembut dan menyukarkan peserta untuk membina arca pasir masing-masing.
"Peserta perlu membuat arca pasir dengan ketinggian minimum tiga meter. Sebenarnya, pasir sungai lebih tahan lama," tambahnya.
Zuraidah memberitahu, apa yang menarik mengenai aktiviti itu ialah ia dapat memberi motivasi kepada seseorang.
"Bukan semua orang boleh bina istana pasir. Jadi apabila peserta berjaya melakukannya, ia sekali gus menyuntik keyakinan dalam diri mereka.
"Sukan ini juga amat mencabar dan memerlukan ketekunan untuk menyiapkan rekaan yang dirancang.
"Ada juga peserta yang sudah berputus asa walaupun baru pertama kali mencuba khususnya apabila arca yang dibina tiba-tiba runtuh disebabkan kesilapan mengadun kuantiti pasir dan air," katanya.

MEMBINA arca pasir tidak semudah seperti yang disangka kebanyakan orang.


Kuantiti air
Mengulas lanjut, Zuraidah menjelaskan, peserta akan diberi latihan teori dan praktikal sebelum mereka menghasilkan arca pasir.
"Kami akan mengadakan bengkel untuk mengajar peserta cara membuat arca pasir menggunakan teknik yang betul.
"Mereka akan diajar mengenai teori, rekaan, teknik acuan dan latihan praktikal (rekaan tiga dimensi) sebelum mereka pergi ke pantai untuk menghasilkan arca tersebut," tambahnya.
Zuraidah memberitahu, acuan untuk arca yang bakal dibina itu perlu dilakukan terlebih dahulu. Selepas itu, pasir dimampatkan ke dalam acuan tersebut.
"Pada peringkat itu, kami sudah boleh menentukan berapa banyak air yang akan digunakan. Para peserta pula perlu bijak menggabungkan air dengan kuantiti pasir supaya binaan itu tidak runtuh.
"Kekurangan air menyebabkan risiko untuk binaan pasir itu runtuh amat tinggi berbanding jika air digunakan dalam kuantiti yang banyak," beritahunya yang mempelajari seni arca pasir menerusi internet daripada pakar-pakar bidang tersebut di AS.
Zuraidah menjelaskan bahawa kuantiti air yang banyak dapat mengukuhkan binaan walaupun kerja melorek mengikut rekaan yang diinginkan agak sukar dilakukan.
"Peserta turut diajar cara untuk membuat lorekan pada pasir dan mereka disarankan menghasilkan arca yang mempunyai maksud tersirat.
"Masa minimum yang diperuntukkan ialah selama empat jam," katanya yang menjadikan artis seni arca pasir dari Singapura yang juga jurulatih XOB, Jooheng Tan sebagai idolanya.
Semakin lama masa yang diambil, ukiran pasir itu akan menjadi lebih cantik, jelasnya.
"Daya kreativiti peserta dapat dilihat menerusi binaan arca yang tidak roboh dan tahan lama," tambah Zuraidah.
Menurutnya, ketika menghasilkan arca pasir, pengarca tidak boleh berada dalam keadaan tertekan.
Sebaliknya, kata Zuraidah, mereka harus bertenang dan sentiasa memastikan arca berada dalam keadaan baik serta berkualiti.
"Kualiti yang ditonjolkan dalam binaan arca pasir ini dapat dilihat menerusi tema yang ditetapkan misalnya watak kartun, anggota badan manusia dan logo," ceritanya.

ZURAIDAH mendapat nasihat dan tunjuk ajar daripada pakar pembuat arca pasir di luar negara menerusi internet.


Asah minda
Sementara itu, pelajar jurusan seni bina di Politeknik Port Dickson, Mohamad Azam Mohamad Subri, 22, memberitahu, dia berjinak-jinak dalam seni arca pasir bagi mengisi masa lapang.
"Saya mula didedahkan kepada aktiviti ini tahun lalu. Membina arca menjadi mudah sekiranya kita mengikut teknik yang betul.
"Rekaan yang dihasilkan juga perlulah mencerminkan idea sendiri bagi menjamin ketulenan rekaan itu.
"Pada kebiasaannya, saya akan menggambarkan rekaan yang ingin dibuat terlebih dahulu sebelum melakarkannya di atas kertas mengikut tema yang dikehendaki," ujarnya yang menghasilkan rekaan berbentuk ketam dalam kejohanan arca pasir tahun lalu.
Seorang lagi pemuda yang meminati bidang itu, Muhammad Yahaya, 21, berkata, penglibatannya dalam aktiviti arca pasir bermula secara tidak sengaja.
"Pada mulanya saya hanya mahu membantu seorang rakan yang menyertai kejohanan arca pasir itu. Bermula dari situ, saya meminatinya kerana ia merupakan aktiviti baharu yang tidak ramai orang melakukannya.
"Saya seronok untuk mendalaminya dengan lebih jauh lagi," tambahnya.
Muhamad Dinie Azri Nor Azman, 21, pula berpendapat penganjuran kejohanan berkaitan seni arca pasir memberi peluang kepadanya untuk meneroka salah satu daripada cabang seni bina yang dipelajarinya.
"Selain dapat mengasah minda peserta untuk membuat rekaan, ia juga secara tidak langsung mengeratkan silaturahim sesama mereka.
"Kita dapat melihat karakter para peserta semasa menghasilkan ukiran pasir. Ada yang tertekan, marah dan kecewa apabila melihat rekaan yang dibina runtuh disebabkan kesilapan teknik yang digunakan," jelasnya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: