|
OLEH kerana amat menghargai pengalaman luas ketika menuntut ilmu di Amerika Syarikat (AS), penulis Ridzuan Mohd. Ghazali atau nama penanya, Iwan Reaz, mahu berkongsi kisah tersebut melalui karya tulisannya.
Anak kelahiran Kajang, Selangor, berkelulusan Ijazah Sarjana Muda Pentadbiran Perniagaan di Temple University, Philadelphia, AS itu mengakui bahawa pengalaman mengembara ke bumi asing telah mendekatkannya pada budaya masyarakat di tempat berkenaan.
"Saya sering bersiar-siar di bandar New York. Berdasarkan pemerhatian, saya menceritakan semula kisah suka duka masyarakat di situ melalui novel saya yang bakal diterbitkan berjudul Goodbye New York.
"Saya juga ada bercerita mengenai Times Square, Central Park dan banyak lagi lokasi yang menarik di New York," katanya yang kini bertugas sebagai eksekutif latihan di sebuah syarikat agensi berita.
Berpeluang menjelajah ke banyak destinasi utama di AS antaranya seperti New York, Washington, New Orleans, Las Vegas, Los Angeles dan San Francisco, Iwan mengakui masih belum puas mengembara.
"Saya teruja menemui sesuatu yang tidak pernah saya lihat atau alami sebelum ini. Contohnya, apabila saya berada di lembah Grand Canyon, saya merasakan seperti berada di planet lain. Perasaannya sukar digambarkan. Ia membuatkan saya berasa tenang," katanya yang turut pernah melawat Turki dan Korea Selatan.
Datang ilham
Iwan yang juga ahli Kumpulan Karyawan Luar Negara mula berjinak-jinak dalam bidang penulisan selepas tamat peperiksaan akhir tingkatan dua. Sungguhpun begitu, Iwan hanya mula serius untuk menerbitkan buku pada awal tahun 2009 semasa berada di semester akhir sebuah kolej swasta.
"Saya merasakan satu kerugian sekiranya saya membiarkan sahaja ilham itu berlalu pergi. Jadi, saya kumpul kesemua idea itu ke dalam komputer riba dan menyusun jalan ceritanya. Akhirnya, terhasil novel Melodi Hati pada tahun 2009," kata Iwan.
Menambah lagi elemen pengalaman dan pemerhatian yang digunakan dalam menghasilkan sesebuah karya, Iwan mengambil contoh novel Hazim, Aizat dan Muzik yang menemui pembaca pada tahun 2011. Ia berlatarkan Philadelphia, bandar tempat tinggalnya sejak tahun 2009 sehingga 2012.
"Walaupun tidak pernah menjadi mangsa jenayah yang serius, saya garap suasana sebenar bandar ini ke dalam novel itu," ujarnya.
Penulis yang mengagumi karya Hilal Asyraf dan Ain Maisarah itu berkata, dalam menghasilkan sesebuah karya, dia akan menempuh tiga fasa iaitu sebelum, semasa dan selepas menulis.
|
Sebelum mula menulis, Iwan akan merangka kertas cadangan supaya pihak penerbit tertarik untuk meluluskannya. Semasa menulis pula, Iwan menghadapi cabaran kental apabila perlu mengekalkan momentum penulisan supaya tidak terhenti sekerat jalan.
"Pengurusan masa yang baik amat membantu. Saya juga perlu mencari bahan rujukan dan sumber yang sahih agar jalan cerita menjadi hidup dan realistik," katanya yang baru sahaja menamatkan pengajiannya.
Berkongsi lagi pengalaman mencabar semasa penghasilan sesuatu novel, Iwan memberitahu, dirinya pernah keluar masuk balai polis di Philadelphia semata-mata mahu menemu bual pengalaman pegawai polis menghadapi situasi cemas dalam kes-kes jenayah.
Novel komik
Kini, Iwan dalam usaha merangka menghasilkan karya gabungan novel dan komik. Projek tersebut melibatkan sepupunya sendiri yang melakar komik mengikut jalan cerita yang disusun Iwan.
Iwan menjelaskan, matlamat penghasilan karya genre segar itu adalah bagi menarik minat pembaca dari golongan remaja lelaki. Sebagai pembaharuan dalam profil penulisannya, Iwan juga berminat untuk menghasilkan novel bergenre misteri dan suspens. Novel yang bakal diterbitkan itu sudahpun diberi judul Subway.
Selain gemar bersukan, Iwan juga meminati dunia perfileman dan pernah mengarah dan menghasilkan beberapa drama pendek sepanjang berada di luar negara. Antara karyanya yang boleh ditonton di laman YouTube adalah Auta Face, Nur Kasih @ Philly dan Identity HUM0851.
Iwan juga boleh dikatakan penulis pertama yang sudah mempunyai lagu tema hasil nukilan sendiri. Lagu tema, menurutnya, dihasilkan untuk melengkapi penerbitan novelnya.
"Syukur, lagu Itulah Impianku yang menjadi lagu tema novel Melodi Hati mendapat sambutan yang memberangsangkan," kata Iwan mengenai lagu yang pernah memasuki carta nasyid stesen radio IKIM.FM.
Iwan kini sedang dalam proses merakam lagu keduanya bertajuk Sedingin Salju. Kepada peminat Iwan, penulis ini boleh dihubungi melalui laman sosial Facebook di Iwan Reaz Ridzuan Ghazali; Twitter di Iwan_Reaz atau laman blognya, reazbest.blogspot.com.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: