Monday, February 18, 2013

'Misteri' seminggu cuti sekolah

KEHADIRAN Azli mampu membuatkan sesiapapun ternganga mulut tatkala melihat ketinggiannya.


DIA percaya tiada yang luar biasa tentang dirinya. Menjadi pelajar ketiga tertinggi di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Paloh, Gua Musang, Kelantan, sosok ketinggiannya bukanlah suatu yang aneh pada hematnya.
Tapi itu dahulu, sebelum cuti sekolah Mac 2008 semasa Mohd. Azli Hisham Abdul Ghafar, 18, baru di tingkatan dua.
Usai cuti seminggu itu, seperti murid-murid yang lain, dia kembali ke sekolah tanpa menjangkakan apa-apa sehinggalah dia disapa seorang rakannya, Mohd. Izarani yang menyedari dia jauh lebih tinggi daripada sebelumnya.
"Eh, tingginya kau!" kata Mohd. Izarani dengan nada terkejut sebelum mengajaknya mengukur ketinggian dengan seorang pelajar tingkatan lima yang merupakan pelajar paling tinggi di sekolah pada masa itu.
Mereka berdua menemui pelajar tingkatan lima tersebut dan mendapati dia sudah sama tinggi dengan pelajar tingkatan lima itu. Ketinggiannya naik mendadak sehingga kira-kira 20 sentimeter!
Tapi, keadaan itu tidak kekal lama, Azli sudah mula 'dimahkotakan' pelajar tertinggi di sekolahnya sebaik melangkah ke tingkatan tiga. Dia tidak begitu mengingati berapa ketinggiannya pada masa itu.
Kini, ketika dia menuntut di Universiti Teknologi Mara (UiTM) Jengka, Pahang, ketinggiannya terus melampai mencecah 2.05 meter (m) dan mengundang perhatian siapa sahaja terutama yang baru melihatnya.
AZLI perlu berhati-hati melangkah keluar dan masuk dari rumah atau kepalanya terhantuk ke alang pintu.


Kru Jurnal pada Rabu lalu melaporkan mengenai ketinggian Azli yang mampu mencabar rekod manusia tertinggi di negara ini setelah dijejaki seorang wartawan di Pahang semasa membuat liputan dalam satu program universiti berkenaan baru-baru ini.
Rekod manusia tertinggi di Malaysia yang disahkan Malaysia Book of Records kini dipegang oleh Sheikh Akmal Sheikh Imam, 17, yang mempunyai ketinggian mencecah 2.04m.
Mengimbau kembali ketinggian mendadaknya ketika di tingkatan dua itu, Azli yang mempunyai berat 90 kilogram itu juga kurang pasti apakah puncanya dia tinggi mendadak sedangkan seminggu cuti sekolah itu diisi dengan rutin biasa seperti kebanyakan murid sekolah yang lain.
"Tujuh hari cuti saya hanya banyak duduk di rumah, makan, tidur, tolong ibu kemas rumah. Itu sahaja. Saya pun tak tahu apa puncanya tapi selepas kawan saya tegur baru saya sedar tinggi saya naik mendadak," katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Paloh 3, Gua Musang, baru-baru ini.
Meskipun tiba hampir tengah malam, Ibu bapa Azli, Abdul Ghafar Omar, 67, dan Halimah Kunju Muhamad, 56, yang sedang mengusahakan kedai makan turut mesra melayan kunjungan penulis dan jurugambar Rosni Masri seperti saudara sendiri.
Anak ketujuh daripada lapan beradik itu berkata, sejak kecil, dia paling suka makan makanan berasaskan gandum seperti roti canai.
Tambah Azli, dia tidak pernah merujuk ke hospital atau mendapatkan pandangan pakar mengenai ketinggiannya yang melampau kerana mempunyai kesihatan yang baik dan bersyukur tidak menghidap penyakit berbahaya.
"Saya tidak risau tentang ketinggian ini, orang lain yang risau. Bila saya nak lalu dan ada halangan di atas, mereka akan cepat-cepat kata 'tunduk-tunduk!'" katanya tersenyum.
Sejak mempunyai ketinggian luar biasa juga, Azli turut mengalami kerumitan dalam hidupnya.
Bukan sahaja terpaksa membengkokkan lutut sampai lenguh dalam perjalanan menggunakan kenderaan atau terpaksa melupakan katil di asrama dengan meletakkan tilam di lantai bilik dengan disambung tambahan dua bantal, tetapi juga untuk mendapatkan pakaian saiz XXXL dan selipar saiz 14.
"Kaki saya saiz 14, tapi selipar yang biasa saya jumpa saiz 11. Kasut saiz 14 susah juga hendak cari tapi masih boleh ditemui atau ditempah, tapi selipar?" kata pelajar Diploma Sains itu sambil menunjukkan kakinya lebih besar daripada selipar yang sedang tersarung.
Cuba membiasakan dengan pemandangan mata-mata terbelalak yang memandangnya dari atas ke bawah atau jari-jari telunjuk yang mengajak orang melihatnya, Azli pada awalnya rasa geram dan malu, namun kini memilih untuk ketawa.

KETINGGIAN Azli menjadikannya perhatian terutama di tempat awam.


"Memang sudah biasa melihat orang mendongak terkejut spontan melihat saya, terutama apabila pergi tempat baharu atau bertemu dalam keadaan terserempak.
"Misalnya dia keluar tandas, dan saya menunggu di depan pintu untuk masuk. Kanak-kanak biasanya akan terlanggar sesuatu setelah mata mereka berterusan melihat saya.
"Mat Saleh juga terkejut. Seorang lelaki Australia yang terserempak dengan saya di stesen keretapi di Jerantut baru-baru ini terkejut dan ketawa selepas melihat saya. Dan saya juga turut sama ketawa," katanya.
Namun, dia juga punya hati. Azli yang ingin menjadi seorang jurutera sedar dia perlu menerima hakikat ketinggiannya itu dan sanggup berdepan pelbagai kata sinis, jenaka atau ejekan orang di hadapannya namun tidak di belakangnya.
Dia boleh menelan apa jua gelaran yang diberikan kepadanya. Katakan apa sahaja, panjang, gergasi, galah, zirafah atau Great Khali (seorang ahli gusti yang tinggi dari India), tetapi berasa hati jika terdengar atau mendapat tahu orang mengumpatnya.
"Saya pun ada perasaan. Saya tidak kisah diberikan gelaran. Sekarang, saya juga boleh menerima apa jua yang orang kata di hadapan saya, tetapi saya akan berasa hati kalau orang mengata di belakang saya," ujarnya.
Meskipun Azli kini bagai selebriti segera, dia tetap seorang manusia yang mempunyai kisah luar biasa yang mengingatkan kita bahawa hidup ini kadang-kadang mengejutkan.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: