|
|
BERTUAHNYA Malaysia apabila seluruh masyarakat dapat merasai kepelbagaian budaya di samping bersama-sama meraikan sambutan hari perayaan setiap kaum yang terdapat di negara kita.
Tidak lama lagi, Tahun Baru Cina akan disambut dan ia bakal dimeriahkan lagi dengan busana rona merah terang. Tentunya persalinan tradisional ceongsam menjadi pilihan pada hari tersebut.
Persalinan tradisi sememangnya indah dipakai bagi mengekalkan aura klasik bersempena sambutan perayaan. Jika renyah dan tidak selesa, pilih busana dengan gaya kontemporari dan dipadankan dengan seluar atau skirt mini.
Bagi memberikan gambaran pengolahan gaya tradisi yang diberi sentuhan terkini, Mayfair hadir dengan tujuh persalinan yang dipercikkan rona-rona ceria dan sederhana terang, bersesuaian konsep perayaan Tahun Baru Cina.
Ciri-ciri keaslian terserlah dalam koleksi istimewa Mayfair yang mengambil inspirasi gaya era 20-an hingga 40-an.
Seimbas lalu, pesona yang diketengahkan itu ibarat gaya wanita molek yang terdapat dalam poster kalendar Shanghai pada era tersebut. Ia jelas kelihatan pada rekaan, potongan, fabrik, motif dan kemasan butang buatan sendiri.
Koleksi tersebut banyak menggunakan motif-motif klasik seperti bunga-bungaan. Selain itu, rekaannya beralun cantik dan mengikut badan tampak menarik dipadankan bersama kasut bertumit tinggi atau bertumit rata.
|
|
Pemilihan fabrik perlu diambil kira agar bersesuaian dengan keadaan suhu tempatan. Mayfair menggunakan material seperti kapas halus kerana sifatnya yang selesa dipakai selain fabrik kait yang fleksibel menghasilkan siluet yang cantik mengikut alur tubuh badan.
Rangkaian ini merangkumi pakaian yang direka untuk perayaan biasa dan acara formal, dengan jahitan kemasan yang rapi, top berwarna terang yang sesuai dipakai ke mana-mana sahaja.
Mayfair tidak sekadar menyajikan variasi pilihan rekaan terbaharu malah pemakai boleh memilih untuk membuat ukuran sendiri memandangkan butik tersebut menerima tempahan eksklusif.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: