Monday, February 11, 2013

Pemodenan pakaian tradisi Cina



KETIKA era pemerintahan Manchu pada zaman dinasti Qing di China, wujud satu sistem yang memperkenalkan kod pemakaian dalam kalangan masyarakat mereka. Qipao atau dikenali sebagai ceongsam mula popular dalam kelompok wanita daripada kerabat diraja.
Pada waktu itu, ceongsam direka dengan potongan lurus, sedikit longgar dan labuh sehingga mencecah lantai. Kebiasaannya ia dihasilkan daripada fabrik sutera dan keseluruhan busana itu disulam manakala kolar dan lengan baju dihiasi perincian les.
Menjengah rangka masa 1920-an, ceongsam mula digayakan hampir keseluruhan wanita di China. Menerima pengaruh stail dres Barat, pakaian klasik itu mula mengalami perubahan rekaan. Siluetnya lebih ketara manakala labuhnya disingkatkan bagi menampilkan sosok tubuh seorang perempuan.
Transisi ceongsam terus berlaku sekitar tahun 1940-an. Fungsinya lebih praktikal terutamanya menjelang musim panas. Ceongsam tanpa lengan dicipta malah rekaan tanpa kolar mula mendapat perhatian.
Akhirnya, ceongsam menjadi busana standard wanita Cina di Asia pada tahun 1960-an. Bagaimanapun, rekaannya mengalami evolusi apabila fesyen Barat mula meresap dalam peradaban manusia di seluruh dunia. Ceongsam dengan belahan pada bahagian sisi mencipta fenomena luar biasa, malah ia menjadi semakin pendek sehingga ke paras lutut.
Ironinya, busana indah kebanggaan kaum Cina itu seakan-akan tenggelam dek arus kemodenan. Generasi muda jarang dilihat menggayakan ceongsam pada acara-acara rasmi mahupun perayaan Tahun Baru Cina. Legasi ceongsam seolah-olah berkubur tanpa diperjuangkan golongan muda.
Perunding pemasaran dan pengiklanan bagi Living Social, G-When, 25, mengakui telah wujud jurang minat dalam kalangan wanita muda berketurunan Cina terhadap ceongsam. Bagaimanapun, busana itu masih menjadi pilihan majoriti perempuan setiap kali tiba Tahun Baru Cina.

CEONGSAM tanpa lengan bersama seluar tiga suku memberikan sedikit aura maskulin.


“Dahulu ceongsam dipakai secara seharian, tetapi hari ini ceongsam hanya menjadi pilihan ketika perayaan dan acara rasmi.
“Saya sendiri memiliki sehelai ceongsam yang diperturunkan daripada ibu. Disebabkan ceongsam itu diperbuat menggunakan material berkualiti tinggi, saya hanya memakainya pada Tahun Baru Cina kerana takut ia rosak jika kerap digunakan,” kongsi G-When yang juga model separuh masa.
Tawaran ceongsam moden di pasaran pada masa kini dirasakan efektif bagi membentuk kembali minat remaja Cina terhadap busana itu. Tambah G-When, inisiatif tersebut mampu mengingatkan anak-anak muda terhadap asal-usul dan tradisi masyhur kaum Cina.
“Ia bukan sahaja menjadi perlambangan masyarakat Cina di seluruh dunia malah membentuk identiti unik kepada kami yang berada di Malaysia.
“Setiap bangsa di negara ini mempunyai pakaian tradisional tersendiri dan ceongsam memang dikenali sebagai busana rasmi kaum Cina,” ujar G-When yang menyifatkan Tahun Baru Cina sebagai waktu terbaik bagi keluarga berkumpul selepas tidak berjumpa untuk tempoh yang lama.
Ceongsam batik
Sutera dan kapas sentiasa mendominasi pilihan pereka fesyen yang bercadang menghasilkan sehelai ceongsam. Motif flora dan pohon kecil antara simbol utuh dalam frasa ceongsam. Begitupun, olahan unik daripada cetakan berbeza pada ceongsam seperti corak geometri mahupun polos, telah membenarkan individu kreatif bereksperimen dalam penghasilan ceongsam.
Melvin Shah, pereka fesyen tempatan menjadi antara individu yang berani mereka ceongsam yang bertentangan daripada konsep asal. Ceongsam batik menjadi pertaruhan Melvin sempena Tahun Baru Cina yang bakal menjelang hujung minggu ini.
Batik eksperimentasi yang disediakan dalam rona terang seperti merah, biru dan ungu gelap itu dikhabarkan menggunakan teknik shibori yang amat terkenal di Jepun. Perincian dari segi penghasilan batik itu menjadikan ceongsam unik Melvin sebagai busana kategori klasik moden.
Menurut Melvin, ceongsam batik turut mengangkat sentimen ketimuran dari segi penghasilan kolar mandarin. Ia juga menggunakan zip belakang yang mudah tanpa sebarang butang.
Selain rekaan baharu itu, Melvin turut menjadikan ceongsam sebagai panduan bagi mencipta koleksi musim bunga/panas 2013. Bertemakan Oriental Opulance, elemen Cina pada persalinan ciptaan pereka dari Kuala Lumpur itu jelas dilihat pada kolar Shanghai yang diterapkan.
“Kolar ceongsam mempunyai kategori yang berbeza dari segi ketinggian dan lebar. Pada dasarnya, kolar Shanghai memang direka tinggi kerana di luar negara, ia sangat berguna ketika musim sejuk.

CEONGSAM yang diperkenalkan Lady Aixingioro Hengxiang ini popular pada era pemerintahan Guangxu sekitar tahun 1875 sehingga awal 1900.


“Kolar yang tinggi juga membuatkan leher wanita tampak lebih jinjang. Koleksi saya kali ini memang dihasilkan dengan kolar tinggi agar nilai elegan dan eksklusif itu mampu ditonjolkan.
“Setiap helaian Oriental Opulance, kecuali dres, didatangkan bersama seluar kembang pada bahagian atas dan kecil di bawah (harem) tiga suku,” jelas Melvin ketika ditemui Stailo.
Gemilang broked
Mungkin ramai pereka akan berfikir panjang apabila memilih material broked untuk menghasilkan rekaan mereka terutama sekali ceongsam yang natijahnya dikenali sebagai busana ringan.
Secara amnya, broked merupakan kain tebal yang diperbuat daripada sutera dengan tenunan benang emas atau perak. Jadi, berbalik kepada peradaban lampau Cina, memang diakui broked berasaskan sutera sangat sebati dalam penciptaan ceongsam.
Dalam konteks Malaysia, material broked pernah melalui era gemilangnya sekitar tahun 1960-an. Kemegahan kain tersebut terbukti menerusi gaya yang ditampilkan barisan artis pada era tersebut. Perlahan-lahan ia menjadi material wajib untuk busana perkahwinan menjelang tahun 1980-an dan 1990-an.
Hari ini, konsepsi broked sering dikaitkan dengan terma negatif. Istilah ‘ketinggalan zaman’ adalah antara konotasi biasa didengar tentang broked. Namun, usaha Melvin menaikkan semula ceongsam broked perlu diberi pujian.
Ujarnya, ketepatan konsep membuatkannya memilih broked sebagai fabrik utama. Hasilnya amat menakjubkan. Motif flora tampak berseri dalam lingkaran benang emas yang menghiasi busana indah itu. Corak yang melatari busana-busana itu juga dilihat berjaya menggendong simbol Tahun Baru Cina kali ini iaitu ular.
Ceongsam tersebut diolah seakan-akan jaket berbutang tengah dan setiap helaian ditampilkan dalam potongan berbeza. Busana berlengan panjang diberi potongan ramping pada pinggang bagi menyerlahkan sifat feminin pada si pemakai.

IKLAN sabun di Shanghai pada tahun 1930-an ini menunjukkan dua wanita dalam busana ceongsam.


“Ceongsam broked tanpa lengan pula menggunakan potongan lurus agar sisi kekuatan wanita itu dapat diterjemahkan dengan sempurna,” tambah Melvin yang memberitahu, warna firus, hijau jed, oren dan fuchsia menjadi rona dominan dalam koleksi tersebut.
Disebabkan ceongsam broked itu sudah sarat dari segi mainan warna, motif dan material, pemilihan aksesori perlu diminimumkan. Kata Melvin: “Sekiranya ingin menambah aksesori, pakai anting-anting jed atau rantai mutiara agar sesuai dengan konsep busana tersebut. Pastikan solekan yang dikenakan juga nipis agar tidak membayangi pakaian.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: