Friday, February 15, 2013

Pertunjukan fesyen sebar mesej kanser


DALILAH (dua dari kiri) bersama duta-duta Power Over Cervical Cancer di pusat beli-belah 1 Utama, Bandar Utama, Petaling Jaya baru-baru ini.


BAGI meningkatkan kesedaran dalam kalangan wanita mengenai kanser pangkal rahim, Persatuan Kanser Kebangsaan Malaysia (NCSM) mengambil inisiatif terbaharu dengan mengadakan peragaan fesyen di pusat beli-belah 1Utama, Bandar Utama, Petaling Jaya, Selangor.
Tujuan program itu adalah untuk menggalakkan golongan wanita mengambil langkah pertama iaitu melindungi diri mereka daripada kanser tersebut.
Justeru, kali ini NCSM menyalurkan maklumat dan memberi kesedaran dengan mengadakan peragaan fesyen. Langkah itu dilihat berjaya menarik perhatian golongan wanita untuk memperoleh pengetahuan berguna mengenai penyakit tersebut.
Pada majlis itu, duta Power Over Cervical Cancer (POCC) yang terdiri daripada Sarimah Ibrahim, Rina Omar, Genevieve Sambhi, Vanessa Chong dan Pamela Chong tidak ketinggalan mempamerkan koleksi baju dan perhiasan diri jenama Kitschen.
Seorang pelajar, Teh Yu Jian, 16, berkata, dia tertarik dengan majlis tersebut selepas menonton peragaan fesyen.
“Sebenarnya, saya tidak tahu apa-apa mengenai penyakit itu, tetapi selepas mendekati beberapa wakil POCC, barulah saya mengetahuinya dengan lebih jelas. Saya rasa idea ini (peragaan fesyen) sememangnya satu langkah yang menarik untuk mendidik masyarakat mengenai penyakit ini kerana ia tidak sahaja mendidik, malah menghiburkan,” katanya ketika ditemui di di pusat beli-belah 1 Utama.
Pendapat Yu Jian turut disokong L. Amutha, 19. Bagi pelajar institut pengajian tinggi swasta (IPTS) itu, kempen yang dianjurkan membantu golongan wanita sedar tentang bahaya penyakit tersebut.
“Ramai wanita masih tidak mengetahui tentang bahaya penyakit ini. Jadi, kempen sedemikian perlu diteruskan dalam pelbagai cara untuk mendidik masyarakat,” tuturnya.
Kanser pangkal rahim merupakan kanser ketiga paling kerap menyerang wanita di negara ini.
Menerusi statistik antarabangsa, kanser pangkal rahim meragut nyawa wanita setiap dua minit di dunia.
Sementara itu, Ketua Pusat Pengesanan Kanser Wanita, Dr. Dalilah Kamaruddin berkata, kebanyakan wanita lalai kerana tidak mempunyai pengetahuan tentang penyakit itu.
Menurutnya, menerusi kempen kesedaran, ia membantu masyarakat mengetahui lebih lanjut mengenai punca, simptom dan cara-cara untuk mencegah penyakit tersebut.
“Ini adalah sebahagian daripada usaha NCSM untuk merealisasikan misi memberi kesedaran pentingnya pencegahan penularan kanser tersebut,” ujarnya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: