|
MENGAPAKAH manusia cenderung memberikan penilaian yang berbeza terhadap satu perkara yang sama?
Tatkala kita menyukai sesuatu, ada pula orang lain yang tidak menyukainya. Begitu juga sebaliknya. Ada hal yang kita sering mencemuhnya, tetapi orang lain menyukainya.
Dalam psikologi, ada dua perkara yang sering terkait dengan fenomena itu, iaitu self-fulfilling prophecy dan cognitive dissonance.
Kedua-dua proses itu letaknya di minda manusia. Tatkala self-fulfilling prophecy akan menyebabkan manusia memilih maklumat yang disukainya, cognitive dissonance pula akan menyebabkan manusia mengabaikan hal yang tidak disukainya.
Dalam bahasa yang mudah, manusia mahu melihat sesuatu yang ingin dilihatnya dan mengabaikan sesuatu yang tidak disukainya. Sesuatu itu semestinya 'X' dan ia tidak patut menjadi 'Y'.
Secara psikologikalnya, apabila manusia menerima maklumat yang sesuai dengan jangkaannya, mereka berasa seolah-olah pandangan yang dipegang selama ini adalah betul.
Manusia akan berasa selesa dengan maklumat atau penjelasan yang sama dengan apa yang diharapkan.
Sebaliknya, apabila didedahkan dengan berita yang berlawanan dengan jangkaan, sekalipun dibuktikan dengan hujah saintifik, orang sangat susah untuk mempercayainya.
Gugat emosi
Maklumat yang bertentangan dengan kepercayaan kononnya boleh menggugat emosi dan kredibiliti seseorang.
Sebab itulah, ada orang yang tidak mampu untuk menerima maklumat baharu sekalipun benar. Ada pula yang tidak akan meninggalkan pengetahuan yang telah sebati dengan kepercayaan mereka, sekalipun mereka telah berkali-kali diberitahu bahawa kepercayaan mereka itu salah.
Kepercayaan tahyul mengenai penyakit dalam masyarakat kita mungkin salah satu contohnya. Sekalipun pengetahuan sains mungkin menolak kepercayaan tadi, mereka sangat sukar untuk menerimanya.
Bagaimanapun, mereka akan berasa puas sekiranya diberitahu oleh bomoh bahawa pesakit telah 'ditegur' oleh makhluk halus atau ada hantu jembalang yang sedang memarahi pesakit.
Ini kerana maklumat yang baharu diterima tadi adalah konsisten dengan kepercayaan yang sedia tertanam di pemikiran mereka.
Kedua-dua simptom itu biasanya berlaku kepada semua orang. Bagaimanapun, ada yang memberikan manfaat, manakala ada yang mungkin menimbulkan masalah.
Mengesan kesilapan
Mereka yang bekerja sebagai akauntan misalnya mampu untuk mengenal pasti kesilapan akaun simpan kira dengan mudah kerana mereka sudah terlebih dahulu menjangkakan apa yang ingin dilihatnya.
Editor yang bertugas untuk penerbitan makalah akademik juga dikatakan mampu mengenal pasti kelemahan makalah yang mereka terima berdasarkan simptom itu.
Mereka dengan mudah boleh mengesan kesilapan atau kelemahan sesuatu makalah berdasarkan dogma 'manusia melihat apa yang ingin dilihat'.
Mereka cenderung untuk menerima makalah yang sesuai dengan apa yang mereka harapkan dan menolak makalah yang tidak seiiring dengan tanggapan mereka.
Dalam proses penilaian secara subjektif, kedua-dua simptom itu adakalanya telah menyebabkan manusia tidak memberikan penilaian secara adil.
Ada pandangan yang dikemukakan oleh individu tertentu telah ditolak begitu sahaja kerana orang yang memberi pandangan itu mungkin datangnya daripada aliran yang lain. Kita mungkin menyatakan pandangan itu salah atau tidak benar.
Sebaliknya, apabila ada tokoh tertentu yang kita sukai, memberikan hujah tertentu, kita menyatakan ia sebagai betul sekalipun pandangan tadi mungkin salah. Hal ini biasa terjadi kepada penyokong politik yang sangat ekstremis dengan satu-satu parti dan telah mengabaikan realiti maklumat.
Hakikat yang mungkin tidak diambil tahu ialah kita mungkin membuat penilaian bukan kerana fakta yang sebenarnya. Disebabkan kita tidak menyukai sesuatu, kita menyatakan bahawa maklumat yang disampaikan oleh pihak yang satu lagi adalah salah.
Apabila ada perkara yang konsisten dengan pemikiran kita, ia telah dianggap sebagai betul dan adil.
Realitinya, ia mungkin hanya sekadar ilusi psikologikal kerana manusia cenderung untuk 'memilih maklumat' yang sesuai dengan kesukaannya.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: