Saturday, February 2, 2013

Persoalan di sebalik penahanan


IRWANSYAH dan Zaskia dikatakan belum sempat memasuki kediaman Raffi ketika mereka berdua ditahan Badan Narkotik Nasional Indonesia.


TARIKH 28 Januari lalu pasti menjadi detik hidup yang paling tidak dilupakan pasangan selebriti terkenal Indonesia, pelakon Irwansyah, 28 dan isterinya, penyanyi Zaskia Sungkar, 23. Penangkapan mereka berdua sangat menggemparkan industri hiburan Indonesia dan tidak kurang juga di Malaysia.
Ini kerana Irwansyah dan Zaskia bukan nama asing dalam industri lakonan dan nyanyian. Segalanya bermula apabila Irwansyah dan Zaskia mengunjungi parti anjuran rakan artis iaitu pelakon kacak, Raffi Ahmad di kediamannya yang terletak di Lebak Bulus, Jakarta Selatan.
Raffi, 26, sebelum ini cukup dikenali sebagai kekasih muda penyanyi Yuni Shara, 41, yang juga kakak kepada penyanyi tersohor, Krisdayanti sebelum ikatan cinta yang berlangsung selama tiga tahun akhirnya terlerai pada hujung tahun lepas.
Dalam kejadian Ahad lalu itu, kediaman Raffi telah diserbu sepasukan anggota Badan Narkotik Nasional (BNN) Indonesia pada waktu subuh selepas mendapat maklumat terdapat pesta dadah di situ.
Hasilnya, 17 individu yang berada di dalam rumah tersebut - 13 lelaki dan empat wanita telah ditahan serta merampas sejumlah dadah dipercayai jenis ganja dan pil khayal di tempat kejadian.
Empat daripada 17 individu yang ditahan itu merupakan selebriti iaitu Raffi, Irwansyah, Zaskia dan Wanda Hamidah, 36, yang sebelum ini mencipta nama sebagai seorang model.
Laporan terbaharu media Indonesia menyebut, lima daripada 17 yang ditahan didapati positif dadah jenis ganja dan MDMA (ekstasi). Justeru, adakah keempat-empat selebriti terkenal termasuk dalam kalangan lima individu tersebut?
Bagaimanapun, pasangan Irwansyah dan Zaskia awal-awal lagi telah mengaku tidak bersalah. Namun mengikut prosedur, mereka terpaksa ditahan untuk BNN melakukan siasatan dan mengumpul bukti sebelum mereka boleh dibebaskan.
Ditahan untuk disiasat
Setelah ditahan subuh Ahad lepas, akhirnya Irwansyah dan Zaskia dibebaskan pada Selasa, 29 Januari lalu ekoran keputusan ujian air kencing yang dilakukan terhadap kedua-duanya didapati negatif.
Mereka disahkan bebas daripada sebarang pengambilan dadah.
Berita gembira itu diumumkan oleh ibu Zaskia sendiri, Fanny Bauty ketika ditemu ramah media Indonesia. Irwansyah dan Zaskia serta pembantu mereka, Furqi merupakan tiga daripada tujuh orang yang diibebaskan pada tarikh tersebut.
"Alhamdulillah, pihak BNN telah mengumumkan yang hasil ujian air kencing Zaskia dan Irwansyah sebagai negatif dan ternyata mereka bebas daripada sebarang penggunaan dadah. Saya juga yakin sebenarnya anak dan menantu saya memang tidak terlibat dalam perkara seumpama itu.
"Hakikatnya, kunjungan Irwansyah dan Zaskia ke kediaman Raffi adalah atas urusan kerja tetapi sayang sekali ketika kehadiran mereka ke sana, ia diserbu oleh pihak berkuasa," ungkap Fanny kepada portal berita, inilah.com.
WANDA HAMIDAH juga didapati bebas daripada penggunaan dadah.


Pengalaman hitam
Ternyata, ketika dibebaskan, Irwansyah dan Zaskia meluahkan rasa lega kerana boleh kembali berkumpul bersama keluarga.
Bagi Zaskia, kejadian dirinya dan suami ditangkap di kediaman Raffi itu merupakan pengalaman hitam yang tidak dapat dilupakan.
Ketika ditemui media Indonesia di kediamannya di Komplek Senayan, Bintaro, setelah dibebaskan pada malam 29 Januari itu, Zaskia menceritakan bahawa kehadiran dirinya di lokasi kejadian bersama suami dan Furqi pada pukul 5.30 pagi adalah atas urusan untuk menandatangani dokumen perniagaan yang dikongsi bersama Raffi iaitu syarikat penerbitan.
"Sebelum masuk ke kediaman Raffi, ada yang berbisik kepada saya agar jangan melangkah ke dalam rumah tersebut.
"Apabila saya bertanya kepada individu tersebut, dia mengakui bahawa rumah Raffi sedang digeledah BNN. Namun ketika itu, kelibat Raffi tidak kelihatan kerana dia berada di dalam biliknya.
"Selepas itu, terus sahaja telefon bimbit saya dirampas dan saya serta suami yang masih terkejut dengan apa yang berlaku turut ditahan oleh BNN," cerita Zaskia.
Sebagai rakan, Zaskia dan suami juga terkejut dengan tuduhan yang mengatakan Raffi menyimpan dadah dan pil khayal di kediamannya.
Membiarkan pihak berkuasa melakukan tugas mereka, Zaskia sempat berkata, walau apapun, Raffi seorang lelaki dan rakan yang baik.
Irwansyah dan Zaskia diperangkap?
Ibu dan bapa mana yang tidak sayang anak. Sebagai seorang bapa, Mark Sungkar juga yakin anak perempuan dan menantunya sememangnya tidak terlibat dalam kes dadah.
Ketika ditemu ramah media Indonesia, menegaskan seolah-olah ada sesuatu yang tersirat di sebalik kejadian yang telah tersurat itu.
Ujar Mark, dia melihat seperti ada kemusykilan dan keganjilan dalam kes serbuan yang melibatkan anak dan menantunya itu.
Ini kerana Irwansyah, Zaskia dan Furqi hadir ke kediaman Raffi untuk menandatangani kontrak bisnes syarikat penerbitan yang dijalan secara berkongsi oleh mereka selepas dihubungi oleh seorang individu.
Menurut Mark lagi, pihaknya kini sedang cuba mengesan individu tersebut.
"Jika benar anak dan menantu saya itu diperangkap, saya ingin cari individu yang menelefon Irwansyah.
"Ini kerana saya juga baru ketahui bahawa orang yang menelefon Irwan bukannya Raffi tetapi individu lain yang tidak diketahui identitinya," cerita Mark.
Tambahnya: "Apapun, saya bersyukur ketika nama mereka tidak diumumkan positif dadah ketika keputusan air kencing diumumkan tempoh hari."

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: