Saturday, February 2, 2013

Pegawai makan rasuah didakwa

AMIR SHARIFUD-DIN berjalan keluar dari Mahkamah Sesyen Ipoh semalam.


IPOH – Selepas setahun jenayah rasuahnya dibongkar, seorang pegawai kanan Jabatan Perhutanan Negeri Perak yang menyembunyikan wang ‘kotor’ sebanyak RM720,000 di dalam lipatan telekung serta di beberapa tempat seperti di dapur dan ruang tamu rumah akhirnya dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini semalam.
Bagaimanapun, Amir Sharifud-din Aliman, 59, hanya didakwa atas 13 pertuduhan menerima rasuah daripada dua kontraktor balak berjumlah RM390,000 sejak tiga tahun lalu.
Difahamkan, tuduhan berhubung baki rasuah sebanyak RM330,000 akan didakwa selepas Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mempunyai bukti yang mencukupi.
Tiada sebarang pengakuan direkodkan daripada tertuduh selepas dia mendakwa tidak ingat dan tidak memahami kesemua pertuduhan yang dibacakan di hadapan Hakim Julie Lack Abdullah dan Hakim Madihah Hairullah.
Pada prosiding pertama di hadapan Hakim Julie Lack, tertuduh didakwa menerima RM100,000 daripada seorang kontraktor balak, Ismail Abd. Manas. Ismail mempunyai hubungan dengan kerja-kerja rasmi tertuduh.
Kesalahan itu didakwa dilakukan di hadapan Kafe Bawang Merah, Jalan Suda Bahagia, Gerik dekat sini pada pukul 9 malam 3 Januari tahun lalu.
Bagi prosiding kedua di hadapan Hakim Madihah, Amir Sharifud-din didakwa atas 12 pertuduhan menerima rasuah daripada seorang kontraktor balak, Tan Chee Hee berjumlah RM290,000 di dalam bilik pejabat pegawai hutan Daerah Hulu Perak, Gerik dekat sini antara pukul 8 pagi hingga 5 petang 9 April 2010 hingga 21 Oktober tahun lalu.
Setiap pertuduhan didakwa mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara dua tahun atau denda atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.
Untuk kedua-dua prosiding itu, tertuduh yang ditahan pada pukul 10 malam 4 Januari tahun lalu di rumahnya di kawasan Gerik bukan sahaja tidak membuat sebarang pengakuan malah dia kelihatan terpinga-pinga hingga memaksa jurubahasa membacakan pertuduhan tersebut berulang kali.
Dia kerap mengatakan ‘tidak ingat, tidak faham’ selain memberitahu mentalnya tidak stabil.
Peguam Saw Hoe Teck yang mewakili tertuduh memberitahu, anak guamnya mengalami kecelaruan afektif dwikutub yang menyebabkannya mengalami perubahan emosi berepisod iaitu daripada terlalu gembira kepada terlalu sedih dan hilang semangat.
“Surat daripada Hospital Fatimah di sini mengesahkan keadaan itu. Saya mohon agar anak guam saya dihantar ke Hospital Bahagia, Tanjung Rambutan untuk pemerhatian mental selama sebulan mengikut Seksyen 342(5) Kanun Tatacara Jenayah,” katanya.
Kedua-dua mahkamah kemudian menetapkan 1 Mac depan untuk sebutan semula kes bagi membolehkan laporan mengenai mental tertuduh disediakan dan mengarahkan tertuduh dihantar ke Hospital Bahagia serta-merta.
Sebelum prosiding, Amir Sharifud-din yang kini digantung kerja menjerit kepada wartawan supaya melaporkan kes itu dengan elok.
“Jika tidak, aku akan berdoa supaya kamu dilaknat Allah tujuh keturunan dan mendapat anak cacat,” katanya.
Pertuduhan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya SPRM, A. Hafizh Abu Bakar dan M. Kathan.
Pada 6 Januari tahun lalu, Kosmo! melaporkan SPRM menahan tertuduh dan merampas wang yang diragui statusnya berjumlah RM720,000 di dalam lipatan kain telekung, di dapur dan ruang tamu rumahnya di Gerik.
Laporan itu menyebut, SPRM turut menemui beberapa akaun saham amanah yang dinamakan atas nama keluarganya bernilai hampir RM4 juta.
Kegiatan itu terbongkar selepas SPRM menyoal siasat rakan tertuduh dan seorang tauke balak di Hutan Kuar, Pengkalan Hulu.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: