Saturday, February 9, 2013

Pengiktirafan untuk hotel hijau


PHILEA Resort & Spa mendapat pelbagai pengiktirafan di atas komitmennya sebagai sebuah hotel mesra alam.


HARI ini isu alam sekitar semakin mendapat perhatian masyarakat di seluruh dunia termasuk di Malaysia. Penggunaan teknologi hijau misalnya telah menjadi sebahagian daripada bidang sains masa depan bertujuan mengurangkan impak terhadap alam sekitar.
Industri perhotelan juga tidak terkecuali, justeru tidak hairanlah kebanyakan hotel kini mula melaksanakan inisiatif mesra alam secara lebih komprehensif dari segi konsep, reka bentuk, operasi dan penyelenggaraan sebagai tarikan kepada pelanggan.
Salah satu daripadanya ialah Philea Resort and Spa, resort bertaraf lima bintang terletak di Ayer Keroh, Melaka.
Sejak beroperasi kira-kira dua tahun lalu, resort kabin kayu pertama dan terbesar di Malaysia itu turut mengetengahkan konsep hijau demi kelestarian alam sekitar.

BANGKAI kapal terpakai turut diubah suai menjadi perabot bagi merealisasikan konsep kitar semula.


Usaha itu tampak berbaloi, apabila ia tersenarai antara 10 hotel berkonsepkan mesra alam 2012 oleh Agoda.com, peneraju laman web tempahan hotel terkemuka di Asia.
Pengarah Komunikasi dan Permasarannya, Connie Chin berkata, pengiktirafan itu secara tidak langsung memacu resort itu menjadi destinasi percutian kelas dunia pada masa hadapan.
Katanya, lebih manis, Philea Resort and Spa antara dua resort dari Malaysia yang tersenarai dalam kategori itu berbanding resort-resort terkemuka lain di serata dunia.

ELEMEN kayu pada binaan setiap resort menyerlahkan pesonanya.


Kitar semula
“Ia merupakan satu kebanggaan kepada penduduk di Melaka dan Malaysia, amnya. Sebelum ini kami pernah memenangi anugerah Best Green Resort daripada Persatuan Pelancongan Melaka dan Excellent Award for Landscape Design and Planning daripada Institut Landskap Arkitek Malaysia (ILAM),” katanya.
Tambah Connie, selain penggunaan kayu sebagai bahan binaan utama, resort itu juga mengetengahkan konsep kitar semula di samping penggunaan bahan pencuci yang mesra alam.

KEHIJAUAN pokok-pokok memberi rasa damai kepada pengunjung ke Philea Resort & Spa.


“Misalnya, tangga pada setiap bilik serta pagar resort diperbuat daripada lebih 8,000 keping kayu landasan kereta api terpakai, tembok resort yang menggunakan 6,000 tan blok marmar, manakala bangkai kapal pula telah diubah suai dan dijadikan perabot di bahagian lobi.
“Pada masa yang sama, kami turut menanam lebih 3,000 pokok di sekeliling resort ini bagi mewujudkan suasana hijau di samping menyejukkan pandangan,” katanya.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Agoda.com, Robert Rosenstein memberitahu, kebanyakan hotel dan resort kini mula menyedari kepentingan menjaga alam sekitar.

PENGURUS Besar Philea Resort & Spa, Ronald Choong (lima dari kanan) bersama-sama kakitangan resort menunjukkan isyarat bagus sebagai simbolik pengiktirafan yang diberikan Agoda.com.


“Kebanyakan hotel yang dahulunya diiktiraf mesra alam kini mula mengambil tindakan selanjutnya seperti membersihkan sampah, melabur dalam amalan terbaik penjagaan alam sekitar sekali gus turut meningkatkan kehidupan mampan masyarakat di sekeliling mereka.
“Sama ada di bandar-bandar besar atau pulau terpencil, pelanggan-pelanggan kami sememangnya menggemari resort yang berkonsepkan mesra alam,” katanya.
Selain Malaysia, beberapa resort dan hotel bertaraf antarabangsa yang tersenarai termasuklah di Shanghai, Melbourne, Barcelona, New Delhi, Bangkok dan Koh Samui.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: