Saturday, February 9, 2013

Penyatuan warisan Bangkok dan Ayutthaya


KELINCAHAN para penari sewaktu mempersembahkan tarian dan seni mempertahakan diri sangat mengagumkan para penonton.


BERKUNJUNG ke Bangkok dan Ayutthaya, Thailand baru-baru ini sempena lawatan anjuran syarikat tempat saya bekerja merupakan satu pengalaman yang sangat mengujakan kerana banyak perkara menarik ditemui di negara Gajah Putih itu.
Sebagai seorang peminat sejarah, kunjungan ke beberapa tempat pelancongan di negara tersebut membuka mata saya tentang sejarah, agama dan budaya masyarakat di sana.
Apa yang pasti, rakyatnya sangat mengagumi dan menghormati raja mereka, di mana-mana sahaja gambar pemerintah tersebut mudah disaksikan.

HIDANGAN tomyam di Bangkok dan Ayutthaya lebih asli dan sedap.


Arah kiblat
Pada hari pertama menjejak kaki di Lapangan Terbang Suvarnabhumi, Bangkok, rombongan kami disambut wakil agensi pelancongan Bang Chalong Travel merangkap pemandu pelancong kami dikenali sebagai Woody.
Sebelum menaiki bas, seorang gadis Thailand berpakaian tradisional menyambut kami dengan senyuman manis dan kalungan bunga. Selepas itu, barulah kami bertolak ke hotel lima bintang iaitu Grande Centre Point Hotel and Residence, Sukhumvit.
Setelah memasuki hotel, saya terkejut kerana negara yang penduduk Islam merupakan golongan minoriti tetapi bilik hotel mempunyai arah kiblat. Tanda arah kiblat itu terletak di dalam laci meja berhampiran katil.
Keistimewaan hotel itu di tingkat bawahnya terdapat kompleks beli-belah Terminal 21 dan saya sempat bersiar-siar melihat barangan yang dijual.

SEEKOR harimau memakan daging yang dihulurkan dari dalam sangkar oleh seorang pekerja wanita di Safari World & Marine World, Bangkok.


Tomyam tersedap
Kunjungan ke Thailand tidak sah sekiranya tidak menikmati hidangan tomyam. Walaupun di Malaysia terdapat banyak restoran menyajikan tomyam, namun rasanya tidak sehebat di Thailand.
Selama enam hari lima malam di negara berkenaan, setiap restoran yang saya kunjungi rasa tomyam yang dihidangkan kepada kami nyata berbeza rasa.
Namun, tomyam tersedap yang saya nikmati adalah di sebuah restoran di tepi sungai di Ayutthaya. Tomyam gong dan kari hijau terung pipit rasanya lazat.
Ketika menikmati hidangan di beberapa buah restoran, kami turut disajikan dengan persembahan muzik tradisional Thai.
Di Restoran Nopparat, Bangkok misalnya, sebanyak tujuh jenis tarian tradisional dan seni mempertahankan diri dipersembahkan kepada para pelanggan. Pada persembahan terakhir, para penari menjemput pengunjung untuk sama-sama menari di atas pentas.
Di Siam Niramit, Ayutthaya kami turut menyaksikan pementasan seni budaya Thai selama lebih sejam. Persembahan itu sangat mengagumkan dan menggunakan pentas terbesar di dunia yang diiktiraf Guinness World Record.

ISTANA lama dijadikan kuil di Ayutthaya yang mempunyai nilai dan estetika seni bina yang tinggi.


Menjejaki sejarah
Thailand mempunyai banyak bangunan bersejarah termasuk kuil-kuil lama dengan seni bina yang unik. Semasa menyusuri Sungai Chao Phraya di River City, saya bukan sahaja dapat menikmati pemandangan sungai yang indah, malah pemandu pelancong turut menerangkan sejarah bangunan atau kawasan yang dilalui sepanjang sungai itu.
Saya tidak melepaskan peluang mendengar dengan penuh minat sejarah setiap bangunan yang diceritakannya.
Dalam lawatan itu juga, saya meneroka beberapa buah istana lama. Antaranya, istana purba di Ayutthaya yang menjadi pusat pemerintahan lama iaitu sekitar tahun 1360-an. Ia merupakan Tapak Warisan Dunia Lembaga Eksekutif Pertubuhan Pendidikan Saintifik dan Kebudayaan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO).
Istana purba itu kini dijadikan kuil dan terdapat sebuah patung Buddha tembaga bersalut emas yang besar di dalamnya.
Kira-kira 50 meter dari kuil lama itu terdapat sebuah lagi kuil kerajaan purba iaitu Wat Phra Si Sanphet. Di dalamnya terdapat tiga bangunan stupa (seperti piramid di Mesir) yang mengandungi abu mayat tiga raja dari zaman pemerintahan berbeza.
Sepanjang lawatan tersebut, baru saya tahu mengapa Thailand tidak pernah dijajah bangsa asing. Ini kerana, mereka tidak pandai berperang, malah dalam beberapa siri perangan menentang Burma (kini Myanmar), mereka tidak pernah menang. Terdapat banyak kesan tinggalan peperangan seperti kemusnahan kuil dan patung-patung rosak.
Justeru, kekalahan dalam peperangan dengan Burma membuatkan pihak pemerintah Thailand mengamalkan pendekatan perbincangan dengan orang luar bagi menggelakkan penjajahan.
Patung-patung Buddha di Thailand mempunyai rupa bentuk yang pelbagai. Perbezaan itu berikutan ia dihasilkan mengikut fizikal raja yang memerintah pada zaman-zaman tertentu. Oleh itu, setiap patung turut menggambarkan zaman yang berbeza.

PENULIS sempat bergambar kenangan dengan penari sewaktu singgah makan malam di Siam Niramit.


Hormat raja
Ketika dalam perjalanan melawat Balai Rong Seri Ananta Samakhom, bas kami berhenti di hadapan tugu Raja Rama Kelima.
Ketika itu, lalu rombongan yang membawa puteri raja untuk keluar dari istana bersebelahan. Walaupun berada dalam bas, kami tidak dibenarkan mengambil gambar atau merekod video kenderaan diraja dan kenderaan pengiringnya (kira-kira lebih 10 buah kereta).
Adat masyarakat Thailand, dilarang keras memandang tepat wajah keluarga diraja kecuali mereka memberi izin atau mencemar duli untuk berjumpa rakyat. Penjaga-penjaga pintu istana juga memandang ke arah bertentangan (membelakangi) ketika kereta puteri keluar dari situ.
Gambar-gambar raja mereka juga mudah dilihat sepanjang berada di Thailand. Perbuatan itu menunjukkan penghormatan yang tinggi rakyat negara berkenaan kepada raja mereka.
Justeru, sepanjang melawat Thailand, saya berasa sangat seronok kerana dapat menyelami sejarah negara tersebut yang unik. Jika berpeluang, sudah tentu saya akan datang kembali ke negara berkenaan.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: