Saturday, February 16, 2013

Peka hulur bantuan kemasyarakatan

Dalam kemeriahan sambutan Tahun Baru Cina, golongan yang kurang bernasib baik turut tidak dilupakan.

PENGHUNI Rumah Orang Tua Ampang menerima hamper barangan makanan sempena sambutan perayaan Tahun Baru Cina.


SETIAP kali rakyat negara ini menyambut sesebuah perayaan, bantuan dan sumbangan kepada golongan yang memerlukan pasti dijalankan oleh pihak yang berhati mulia.
Tidak melupakan tanggungjawab sosial kepada masyarakat, Persatuan Kakitangan Bekalan Air Selangor, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya (Peka) bersama 10 orang warga kerja dari Puncak Niaga Sdn. Bhd. (PNSB) dan Syarikat Bekalan Air Selangor (Syabas) menghulurkan bantuan ikhlas kepada dua rumah kebajikan iaitu Rumah Orang Tua Ampang dan Persatuan Insan Istimewa Cheras, Selangor.
Presiden Peka, Datuk Mohd. Yunus Mohd. Amin berkata, lawatan kebajikan sebegitu sering dilakukan saban tahun terutamanya ketika sambutan perayaan terbesar.
"Ia merupakan sebahagian daripada aktiviti kemasyarakatan yang telah dirancang sepanjang tahun ini di samping beberapa aktiviti khidmat masyarakat untuk membantu rakyat negeri Selangor, Kuala Lumpur, Putrajaya yang kurang berkemampuan.

IKHLAS. Soon Seong (kiri) menerima cek sumbangan Peka yang disampaikan oleh Mohd Yunos (kanan).


"Aktiviti Peka dijalankan dengan dana yang disumbangkan warga kerja Puncak Niaga dan Syabas secara sukarela. Kami juga mengalu-alukan sumbangan orang ramai sama ada dalam bentuk kewangan atau barangan untuk diberikan kepada golongan yang kurang bernasib baik," ujarnya ketika ditemui selepas acara penyampaian sumbangan kepada dua rumah kebajikan itu.
Lawatan yang diketuai oleh Mohd. Yunus itu telah menghulurkan sumbangan berbentuk hamper barangan makanan dan angpau kepada penghuni rumah-rumah kebajikan.
"Saya melihat aktiviti ini sangat bermanfaat kerana dapat membawa keceriaan kepada mereka dalam sambutan perayaan," tambah Mohd. Yunus.
Setiausaha Rumah Kebajikan Orang Tua Ampang, Cheah Soon Seong mengucapkan ribuan terima kasih kepada organisasi-organisasi dan individu yang sentiasa menyumbangkan bantuan kepada mereka.
Rumah Kebajikan Orang Tua Ampang yang didirikan sejak tahun 1960, hanya terhad kepada 50 orang penghuni dan menetapkan warga emas yang tidak mempunyai anak sebagai keutamaan utama.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: