Friday, February 1, 2013

Parkir selamat untuk wanita



KISAH penganalisis teknologi maklumat, Canny Ong Lay Kian, 29, yang menjadi mangsa jenayah culik, rogol, bunuh dan bakar pernah menggemparkan negara lantaran ia antara kes paling kejam ke atas wanita.
Menyingkap kes Canny yang berlaku pada tahun 13 Jun 2003 itu, ia bermula apabila mendiang ibunya, Pearly Visvanathan dan adik perempuannya menghadiri majlis keraian di sebuah pusat beli-belah di ibu negara.
Mendiang dikatakan berpatah-balik seorang diri ke keretanya untuk mengambil tiket parkir, tetapi tidak kembali dan dipercayai diculik di lokasi berkenaan.
Bagaimanapun, empat hari kemudian, mayat Canny ditemui rentung di dalam longkang di Jalan Klang Lama, Kuala Lumpur.
Rentetan daripada peristiwa itulah, Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) mengeluarkan arahan semua pusat beli-belah di negara ini memasang kamera litar tertutup (CCTV) bagi membolehkan sesuatu kejadian dikesan di kawasan parkir.
Terbaharu, Menteri Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar, Datuk Raja Nong Chik Raja Zainal Abidin mengumumkan pusat beli-belah di ibu negara wajib menyediakan ruang letak kereta khusus untuk wanita yang memandu sendirian. Malah, pihak kementerian menekankan sekurang-kurangnya tujuh peratus kawasan letak kereta di sesuatu lokasi perlu disediakan khusus untuk wanita.
Tidak setakat itu, pemilik bangunan juga perlu melengkapkan kawasan itu dengan ciri keselamatan seperti butang panik, lampu yang lebih cerah, akses sekuriti dan berdekatan pintu masuk.
Inisiatif KLCC
Menyedari hakikat keselamatan pengguna amat penting, pusat beli-belah Suria KLCC menyahut seruan tersebut dengan menyediakan kemudahan parkir khusus untuk wanita. Rata-rata golongan wanita memuji langkah pihak Suria KLCC kerana menjamin keselamatan kepada kaum Hawa yang mengunjungi pusat beli-belah itu.
Ketua Pegawai Eksekutif Suria KLCC, Andrew Brien berkata, parkir khas itu terletak di aras P2 sahaja.
Menurutnya, sebagai panduan pemandu, golongan wanita boleh mengenal pasti lot khas itu dengan mudah kerana terdapat logo wanita di dinding dan lantai kawasan tempat letak kereta pula berwarna merah jambu.

FARAH mengakui dia kini tidak lagi takut semasa berjalan ke tempat parkir pada sebelah malam.


Ketika ditanya mengenai syarat lain untuk memarkir di situ beliau memberitahu, ia sebenarnya dikhaskan untuk wanita yang datang secara berseorangan sahaja.
“Kita tidak menggalakkan mereka yang ditemani pasangan atau rakan-rakan. Ia hanya untuk wanita yang mengunjungi pusat ini secara bersendirian,” katanya sambil memberitahu terdapat 142 lot parkir untuk wanita di situ.
Menurutnya, ia terletak berhampiran pintu masuk eskalator dan lif Suria KLCC.
Kesemua tempat letak kereta wanita itu di bawah pengawasan keselamatan, malah pegawai keselamatan di situ juga akan memastikan parkir tersebut tidak disalahgunakan oleh pemandu lain.
Sementara itu, Ketua Pengarah Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), Datuk Salleh Yusup menjelaskan, mengikut garis panduan pengeluaran lesen perniagaan kini, semua pemilik bangunan komersial terutama pasar raya wajib menyediakan unit parkir khas untuk wanita.
Mengulas mengenai perkara itu, beliau memberitahu sebelum sesuatu pembinaaan bangunan dijalankan, mereka perlu menyediakan ruang khas itu, manakala bangunan sedia ada pula tidak terkecuali untuk berbuat demikian.
“Jika mereka ingkar, lesen mereka tidak akan diperbaharui dan pembinaan bangunan baharu pula tidak akan diluluskan,” tegasnya ketika dihubungi baru-baru ini.
Katanya, pihak DBKL mendapat respons baik dalam kalangan pemilik bangunan terhadap cadangan parkir wanita itu.
“Lagipun, cadangan merizabkan sedikit ruang itu perlu, memandangkan situasi semasa kejadian jenayah yang sering berlaku di kawasan parkir pusat beli-belah,” ujarnya.
Lebih terjamin
Seorang usahawan kain, Farah Adibah Ismail, 30, berkata, dia teruja dengan perkhidmatan baharu itu kerana ia bukan sahaja satu bentuk kemudahan, bahkan bagi menjamin keselamatan kaum wanita.
“Menerusi tapak khas seperti ini ia boleh menangani kes jenayah dan mengelakkan wanita menjadi mangsa serangan seksual,” katanya ketika ditemui di parkir Suria KLCC baru-baru ini.

BAGI meningkatkan tahap keselamatan di parkir merah jambu, kekerapan pegawai keselamatan meronda turut dipertingkatkan.


Akuinya lagi, golongan wanita yang gemar membeli-belah pada waktu malam juga boleh menarik nafas lega dengan pengenalan kemudahan itu.
“Selain kelengkapan keselamatan yang mencukupi, mereka kini tidak lagi perlu terburu-buru untuk membeli-belah. Langkah Suria KLCC perlu dicontohi oleh pusat beli-belah yang lain,” tuturnya lagi.
Sementara itu, tinjauan Kosmo! mendapati kawasan tempat letak kereta untuk wanita mudah dikenali kerana terdapat logo wanita selain lantainya yang berwarna merah jambu.
Selain itu, terdapat petugas yang menaiki motosikal meronda-ronda di sekitar aras itu dan kawasan parkir itu dilihat berhampiran dengan eskalator.
Hasil pemerhatian Kosmo! juga mendapati terdapat papan tanda yang tertera tulisan ‘hanya pemandu wanita tanpa penumpang’ dibenarkan meletakkan kenderaan mereka di kawasan itu.
Seorang kakitangan swasta, Azila Aris, 43, turut memuji saranan kerajaan itu.
“Buat pertama kali menggunakan parkir ini, saya berasa selesa serta selamat apatah lagi kawasan sekitarnya dilengkapi dengan cahaya yang terang dan CCTV.
“Selepas ini, jika mahu membeli-belah seorang diri saya tidak lagi perlu bimbang kerana ciri-ciri keselamatan semuanya lengkap,” jelasnya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: