Friday, February 1, 2013

Raja Abdullah yang pertama korek bijih timah



MENYUSURI Jalan Raja Abdullah di Kampung Baru, Kuala Lumpur dirasakan sangat istimewa. Dikelilingi pembangunan pesat bandar raya, laluan yang bermula dari persimpangan lampu isyarat di Jalan Raja Muda Abdul Aziz sehingga ke persimpangan Jalan Dang Wangi itu sememangnya rancak dengan pelbagai aktiviti sama ada siang atau malam.
Daripada tradisi bubur lambuk di Masjid Jamek Kampung Baru kepada Pasar Chow Kit yang penuh bersejarah di Jalan Raja Alang sehingga gelaran syurga gastronomi di Jalan Raja Muda Musa dan sekitarnya menjadikan Jalan Raja Abdullah dekat dalam sanubari warga kota.
Namun, di sebalik kemasyhuran laluan yang juga dikenali sebagai Hale Road satu ketika dahulu, mungkin tidak ramai yang berpeluang mengetahui sejarah dan kisah pemilik namanya, Raja Abdullah Raja Jaafar.
"Raja Abdullah merupakan tokoh yang bertanggungjawab terhadap pembukaan dan kemajuan Kuala Lumpur pada hari ini. Jika tidak kerana penerokaan bijih timah yang dilakukannya mungkin Kuala Lumpur tidak wujud sama sekali," kata Profesor Datuk Dr. Abdullah Zakaria Ghazali, Pensyarah Jabatan Sejarah, Fakulti Sastera dan Sains Sosial, Universiti Malaya.
Menjejaki kisah kehidupan Raja Abdullah, beliau berasal daripada keturunan Daeng Parani, salah seorang daripada pahlawan Bugis, Daeng lima bersaudara dari Riau yang terkenal dalam sejarah Tanah Melayu pada kurun ke-18.
Beliau datang ke Lukut pada tahun 1834 bersama abangnya, Raja Jumaat untuk mengusahakan perlombongan bijih timah di situ. Di bawah pentadbiran Raja Jumaat, Lukut telah menjadi sebuah pusat perdagangan yang terkenal sekitar tahun 1830-an.
Sekitar tahun 1849 dan 1850, Sultan Muhammad Shah, Sultan Selangor ketiga telah menyerahkan watikah pelantikan pentadbiran Klang dan daerah sekitarnya kepada Raja Abdullah menggantikan pemerintah sebelumnya, Raja Sulaiman yang mangkat.
Lokasi bijih timah
"Watikah baharu turut diberikan oleh Sultan Selangor keempat, Sultan Abdul Samad pada 1864. Kekuasaan Raja Abdullah sebagai pemerintah Klang juga dibuktikan melalui surat perjanjian yang dimeterai bersama dua orang saudagar dari Negeri-Negeri Selat, William H. Read dan Tan Kim Cheng pada tahun 1866," jelasnya yang berpengalaman lebih 30 tahun melakukan kajian mengenai sejarah Malaysia.
Tambah Abdullah Zakaria, selepas tujuh tahun mentadbir Klang, pada 1857, Raja Abdullah bersama-sama 87 orang buruh Cina telah meneroka lokasi bijih timah di sekitar Sungai Klang sebelum mendarat di Ampang.

SEJARAH awal perkembangan Kuala Lumpur dikatakan bermula di penemuan Sungai Gombak dan Sungai Klang.


Bagaimanapun, sebahagian besar buruh yang dibawa meninggal dunia akibat demam malaria. Ekoran itu, Raja Abdullah terpaksa meminta bantuan abangnya di Lukut yang kemudiannya menghantar lebih 150 buruh tambahan ke Ampang.
"Pada tahun 1859, bijih timah berjaya dikeluarkan buat julung-julung kalinya di situ. Kuala sungai yang menjadi pertemuan antara Sungai Klang dan Sungai Gombak telah dijadikan pangkalan untuk mengangkut bijih timah.
"Ia kemudiannya disimpan di Gedung Raja Abdullah di Pengkalan Batu, Klang sebelum dieksport ke Barat melalui pelabuhan Singapura dan Melaka. Dikatakan pangkalan di bahagian kuala sungai yang agak berlumpur itulah membawa kepada kewujudan nama Kuala Lumpur pada hari ini," ujarnya.
Kerancakan aktiviti perlombongan telah mengubah landskap Kuala Lumpur menjadi sebuah pekan perlombongan yang padat dengan pelbagai aktiviti dan perniagaan. Keadaan itu turut menarik masyarakat luar untuk berniaga dan memulakan kehidupan baharu di situ.
Antaranya ialah Sutan Puasa yang tiba di Kuala Lumpur pada tahun 1859 lalu menjalankan perniagaan sehingga menjadi seorang ahli perniagaan yang kaya-raya dan disegani.
Beliau yang berasal dari Tobang, Hulu Mandailing, Sumatera berjaya menarik ramai orang Cina ke situ termasuk Kapitan Cina Pertama di Kuala Lumpur, Hiu Siew dan Ah Sze.
Pada 1862, Yap Ah Loy yang sebelum itu bekerja di lombong bijih timah di Lukut turut berhijrah ke Kuala Lumpur. Beliau dilantik sebagai Kapitan Cina Ketiga bermula dari 1868 hingga 1885.
Abdullah Zakaria berkata, tiga-tiga tokoh itu telah memainkan peranan penting terhadap perkembangan dan sejarah awal Kuala Lumpur.
Orang pertama
Katanya, biarpun kajian akademik mengesahkan Raja Abdullah sebagai pengasas Kuala Lumpur, namun ada juga hujah dan pendapat yang menyatakan ia adalah Sutan Puasa dan Yap Ah Loy.
"Misalnya, Abddur-Razzaq Lubis & Khoo Salma Nasustion dalam karyanya Raja Bilah and The Maindailing in Perak: 1875-1911 mengangkat Sutan Puasa sebagai pengasas Kuala Lumpur.
"Di samping itu, terdapat juga kenyataan menyatakan Yap Ah Loy sebagai bapa Kuala Lumpur moden dan turut diangkat sebagai pengasas Kuala Lumpur," ujarnya.
Justeru, Majlis Polemik Sejarah Malaysia Sesi ke-28 anjuran Arkib Negara Malaysia pada 13 Disember tahun lalu yang dihadiri para sejarawan, ahli akademik dan pelbagai organisasi berkaitan dilihat sebagai medium terbaik untuk memperjelaskan isu berkenaan.
"Kesimpulan kepada perbahasan yang dianjurkan, jelas bahawa Raja Abdullah merupakan individu pertama yang meneroka Kuala Lumpur iaitu sebelum kedatangan Sutan Puasa dan Yap Ah Loy.

PERKEMBANGAN drastik Kuala Lumpur mengubahnya menjadi antara bandar raya yang termaju pada hari ini.


"Ia sekali gus mengesahkan fakta yang tertulis dalam buku Sejarah Selangor oleh Buyong Adil pada tahun 1971 dan Glimpse of Selangor 1860-1898 oleh J.M Gullick bahawa beliau merupakan pengasas Kuala Lumpur," katanya.
Pada tahun 1866, berlaku Perang Kelang atau Perang Saudara Selangor di antara Raja Abdullah dan Raja Mahdi.
Tewas dalam pertempuran itu, Raja Abdullah akhirnya mengundur diri dari Klang. Beliau mangkat dan dikebumikan di Ketapang, Melaka.
Sementara itu, Raja Amzah Raja Sohot, 72, berkata, sebagai salah seorang keturunan Raja Abdullah, beliau berbangga dengan sumbangan yang dilakukan moyangnya itu terhadap sejarah Kuala Lumpur.
Katanya, sejak kecil tidak banyak kisah Raja Abdullah didedahkan kepada beliau dan keturunannya. Begitu juga dengan kejayaan Raja Abdullah membuka Kuala Lumpur dan menjadi orang Melayu pertama yang mengusahakan perlombongan bijih timah ketika itu.
"Orang dahulu sememangnya suka berahsia apatah lagi membabitkan soal keturunan. Lagi pun tidak banyak kajian dan penyelidikan yang dilakukan oleh para sejarawan seperti hari ini. Saya bertuah kerana ibu saudara, Raja Habibah yang merupakan Mak Andam Diraja Selangor sekitar tahun 70-an banyak berkongsi maklumat mengenai Raja Abdullah," katanya yang merupakan generasi kelima tokoh ulung itu daripada keturunan Raja Hasan, penghulu terkenal di Klang satu ketika dahulu.
Bekas pendidik di sebuah sekolah di ibu negara itu memberitahu, daripada kisah-kisah yang diceritakan telah mendorongnya untuk menjejaki dan mengumpulkan keturunan Raja Abdullah, bermula dari Raja Hasan sehinggalah anak-anaknya yang lain.
"Keturunan Raja Abdullah ini ramai, mungkin mencecah ribuan orang di seluruh negara sama ada berhijrah mencari kehidupan baharu atau faktor perkahwinan. Di sebelah saya misalnya ramai yang menetap di sekitar Klang dan Kuala Lumpur, Raja Ismail di Perak dan Raja Empeh di Pahang," katanya.
Silaturrahim
Raja Amzah berkata, pada tahun 2001 hasil usahanya dan waris-waris yang lain, buat julung-julung kali lebih 500 keturunan Raja Abdullah berjaya dikumpulkan dalam satu perjumpaan yang diadakan Kampung Jawa, Klang.
"Sejak itu, perjumpaan yang sama diadakan di sekitar Klang dan Kuala Lumpur. Tujuannya bukan untuk bermegah sebaliknya sekadar merapatkan kembali hubungan kekeluargaan yang terpisah sebelum ini di samping menjaga kebajikan mereka," kata bapa kepada lima cahaya mata itu.

PERHIMPUNAN waris-waris keturunan Raja Abdullah pada tahun 2001 berjaya merapatkan hubungan kekeluargaan yang terlerai selama ini.


Tambah Raja Amzah, kunjungan bapa saudaranya, Raja Abdul Rahim dari Pulau Penyengat, Riau, Indonesia ke Kuala Lumpur sekitar tahun 90-an turut membuka matanya mengenai salasilah Raja Abdullah yang berasal dari keturunan Raja Melayu Bugis di Luwuk-Sulawesi, melalui keturunan Daeng Parani.
"Sejak itu, saya semakin teruja untuk menjejaki keturunannya dengan lebih mendalam. Kebetulan, penglibatan saya dalam Persatuan Sejarah Malaysia Cawangan Selangor sebelum ini membolehkan saya melawat makam Daeng Parani di Kedah serta Daeng Merewah, Daeng Kemasi, Daeng Kemboja, Daeng Celak di sekitar Indonesia di samping mengenali susur galur keturunannya di sana.
"Sebagai salah seorang keturunannya kami bukan mahu sebarang pengiktirafan, cukuplah generasi muda hari ini mengetahui sejarah dan fakta sebenar," katanya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: