Saturday, February 16, 2013

Model pacuan roda hadapan paling pantas

WALAUPUN berkuasa, jentera ini tetap mampu menawarkan penggunaan bahan api sekitar 8.2 liter bagi setiap 100 kilometer.


FORD Focus ST dan Volkswagen Golf R kini sudah ada pencabar sebenar. Baru sahaja dilancarkan seminggu sebelum Tahun Baru Cina lalu, hot hatch daripada Renault itu sememangnya boleh membuatkan ramai orang, terutama kaki trek tidak lena tidur.
Dilancarkan oleh pengedar tunggal jenama Renault di Malaysia, TC Euro Cars Sdn. Bhd. (TC Euro Cars), Renault Megane RS 265 Cup ialah pengganti kepada model Renault Megane RS 250 Cup yang telahpun menerima pelbagai pengiktirafan di seluruh dunia. Malah jentera itu dikatakan telah menetapkan satu penanda aras baharu dalam segmen hot hatch sebaik sahaja diperkenalkan pada tahun 2010.

SISTEM suspensi hadapan dan stereng ciptaan Renault Sport Perforhub menjanjikan pengendalian mantap di atas litar.


Keupayaan rangkaian model Megane RS banyak dibantu oleh unit enjin dengan pengecas turbo penuh kuasa itu. Enjin tersebut kemudian dipadankan dengan casis Cup yang memang terkenal dengan aspek kestabilannya.
Hasilnya, ia boleh menjadi jentera yang tidak kurang hebatnya jika beraksi di atas litar dan cukup bagus untuk digunakan sebagai kenderaan harian. Apa pun, jentera itu bukan untuk semua orang. Bukan sahaja kerana harganya yang mahal, tetapi Renault Megane versi RS memang direka untuk mereka yang tahu menghargai keseronokan memandu.
Megane RS 265 Cup memiliki DNA yang sama dengan Megane RS 250 Cup. Cuma, anda boleh harapkan beberapa penambahbaikan pada sebuah jentera yang sudah memang bagus. Jadi, apa lagi yang anda ragukan?

KOKPIT Renault Megane RS 265 Cup tidak banyak berubah berbanding model Megane RS 250 Cup.


Bercakap tentang prestasi, tidak banyak jentera yang boleh menggugat pencapaian Megane RS, walaupun daripada jenama lebih gah. Jentera dengan signatur warna kuning, lebih tepat lagi Sirius Yellow itu menjadi kereta pacuan roda hadapan paling pantas di litar Nurburging, Jerman.
Catatan masa 8 minit 8 saat dibuat oleh Megane RS 265 Trophy. Jentera Megane RS turut menyerlah dalam sukan bermotor apabila memenangi Kejohanan Rali Jerman dan Belgium baru-baru ini.
Di Litar Antarabangsa Sepang (SIC), Megane RS 265 Cup mencatat rekod 2 minit 41 saat untuk sebuah jentera produksi pacuan roda hadapan.
"Sama seperti Megane RS 250, pengendalian Megane RS 265 seakan-akan jentera pacuan roda belakang, tetapi dengan daya yang lebih progresif. Ia membantu anda untuk masuk ke selekoh dengan lebih pantas dan mendapat kuasa dalam tempoh lebih pendek. Pendek kata, kereta ini memang terbaik," kata bekas pemandu pasukan A1-GP Singapura, Denis Lian.
Enam saat sahaja
Jentera itu dipasang enjin 2.o liter dengan pengecas turbo yang mampu menghamburkan kuasa sehingga 265hp (naik 15hp berbanding sebelum ini). Torknya pula 360Nm (bertambah 20Nm) yang boleh diperah dalam lengkuk rev lebih luas iaitu sekitar 3,000 hingga 5,000rpm.
Dengan nisbah berat kuasa 5.09 kilogram bagi setiap hp, pakej kuasa jentera itu memang mengagumkan. Maka tidak hairanlah jika tempoh untuk mencapai kelajuan 100 kilometer sejam (km/j) memerlukan masa enam saat sahaja.

EDISI terhad Renault Megane RS Red Bull Racing RB7 dibezakan dengan peresap udara berwarna kuning terang.


Kelajuan tersebut diseimbangkan dengan sistem brek berkuasa jenama Brembo yang terdiri daripada cakera ventilasi bersaiz 340 milimeter (mm), paling besar dalam segmennya.
Tidak hanya berkuasa, pasukan jurutera Renault bekerja keras untuk menala casis Cup dan sistem Limited Slip Differential (LSD) demi menawarkan kuasa cengkaman terbaik. Ini demi menjamin jentera dapat mengambil selekoh tajam dengan meyakinkan.
Penjimatan bahan api turut dipertingkatkan. Renault mendakwa Megane RS 265 Cup hanya memerlukan 8.2 liter untuk setiap 100km.
Kalau sekali pandang, mungkin susah untuk kita membezakan model terbaharu dengan yang lama. Sebenarnya, ia menggunakan 'sirip' seperti jentera F1 yang sememangnya sinonim dengan karekteristik model-model Renault Sport.

PENGARAH dan Ketua Operasi TC Euro Cars, Kuan Kim Luen (kiri) dan Pengurus Besar TC Euro Cars, Reza Mutalib melancarkan edisi terhad Renault Megane RS Red Bull Racing RB7.


Bahagian hadapannya kini tampil dengan dua baris lampu LED dan perumah lampu utama yang digelapkan. Rim juga diganti dengan rim aloi "Tibor" bersaiz 18 inci berwarna hitam yang elegan.
Ruang kokpit Megane RS 265 Cup tidak banyak berubah. Antara yang ditambah adalah kemasan hitam pada konsol tengah dan corong pendingin hawa. Panel pintu diberi efek kemasan karbon. Tempat duduk jenis bucket Recaro pula menambah rasa sporty ketika berada di dalam kabin tersebut.
Pada majlis yang sama, TC Euro Cars memperkenalkan model edisi terhad Megane RS Red Bull Racing RB7. Ia tampil dengan warna hitam berkilat (Etoile black) dan calitan kuning pada blade bampar hadapan, cermin sisi dan peresap udara di bahagian belakang. Bumbungnya pula dihiasi corak bendera pelepas (chequered flag) berwarna hitam dan putih.
Bagi menambah perbezaannya, pelekat logo rasmi Red Bull Racing ditampal di bahagian bawah pintu pemandu. Lebih istimewa, Megane RS Red Bull Racing RB7 untuk pasaran Malaysia turut dilekatkan dengan plak khas yang ditandatangani oleh juara dunia F1 tiga tahun berturut-turut, Sebastian Vettel.
Sebagai tanda penghargaan kepada pemilik jentera Renault Sport, TC Euro Cars mengumumkan tarikh RS Track Days untuk tahun 2013. Kelab pemilik yang dikenali sebagai Renault Sport Collectif turut dilancarkan.
Megane RS 265 Cup ditawarkan pada harga RM234,526 (di atas jalan tanpa insurans), tambahan kira-kira RM5,000 berbanding Megane RS 250 Cup. Sementara Megane RS Red Bull Racing RB7 pula boleh anda miliki pada harga RM243,292 seunit.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: