Friday, February 15, 2013
Jangan cuai keselamatan anak
KEHILANGAN kanak-kanak bernama William Yau Zhen Zhong sekali lagi mengejutkan negara apatah lagi apabila dia ditemui semula dalam keadaan tidak bernyawa.
Itu kes yang mendapat perhatian media elektronik dan media cetak. Menerusi media sosial pula, beberapa kes kehilangan kanak-kanak turut didedahkan dan disebarkan bagi memohon bantuan orang ramai mengesan lokasi kanak-kanak malang itu.
Ini bermakna, kes kehilangan kanak-kanak bukan lagi perkara luar biasa walaupun semua ibu bapa tidak mahu terlibat sebagai mangsa.
Peranan ibu bapa
Persoalannya, di samping kehendak untuk tidak terlibat sebagai mangsa, apakah semua individu bernama ibu bapa hari ini benar-benar melaksanakan tanggungjawab dan peranan mereka?
Berdasarkan kajian, kes kanak-kanak hilang berlaku ketika kanak-kanak di luar pengawasan ibu bapa. Ada kanak-kanak yang diculik ketika dalam perjalanan ke sekolah, balik dari sekolah, malah dalam perjalanan ke kedai atau pasar malam bersendirian.
Statistik dikeluarkan oleh Polis Diraja Malaysia pula menyatakan purata usia kanak-kanak yang hilang ialah di bawah 10 tahun.
Hakikatnya, usia 10 tahun bukan usia dewasa yang mampu mempertahankan keselamatan diri sendiri. Bahkan ada remaja dan wanita dewasa yang hilang kerana diculik.
Jika mereka yang sedikit berusia tidak mampu menjaga keselamatan diri sendiri, apakah yang boleh diharapkan kepada kanak-kanak kecil di bawah usia 10 tahun?
Bagi menangani isu ini, ibu bapa perlu lebih prihatin dan bertanggungjawab memastikan keselamatan anak-anak.
Elakkan daripada membiarkan anak kecil bersendirian walau sekadar bermain di hadapan rumah sendiri yang tidak berkunci.
Ajar agar anak anda tidak mengikut mereka yang tidak dikenali. Jangan benarkan anak-anak keluar dari rumah tanpa pengawasan walau untuk ke rumah kawan atau ke tempat permainan.
Ibu bapa juga perlu memastikan pengasuh anak-anak atau pemilik taska benar-benar menjaga keselamatan anak-anak anda.
Memang ia kelihatan seakan-akan mengongkong, tetapi anak-anak perlu difahamkan mengenai keadaan masyarakat hari ini yang tidak boleh dipercayai sepenuhnya hatta jiran tetangga sendiri.
Kekangan masa
Dilema dihadapi ibu bapa ialah kekangan masa. Dalam era kemajuan kini, ramai ibu bapa yang perlu bekerja lebih masa bagi mendapatkan pendapatan bagi menampung keperluan.
Ada ketikanya, anak-anak kecil dibiarkan bersendirian di rumah sendiri. Perlu diingat! Meninggalkan anak-anak di rumah tanpa pengawasan orang dewasa juga termasuk dalam kategori sengaja dan cuai serta meletakkan anak-anak dalam keadaan membahayakan keselamatan.
Jika kejadian keluar dari rumah dapat dielak dengan mengunci anak-anak di rumah dan kunci dibawa pergi oleh ibu bapa, anak-anak tetap dianggap berada dalam keadaan tidak selamat.
Negara kita telah menggubal satu akta dipanggil Akta 611 iaitu Akta Kanak-Kanak khusus bagi menjaga kebajikan kanak-kanak iaitu mereka yang di bawah umur 18 tahun.
Hukuman denda
Akta ini antara lain menyebut mana-mana individu yang sengaja cuai dalam menjaga keselamatan kanak-kanak yang dipertanggungjawabkan di bawah jagaan mereka termasuklah anak sendiri, anak angkat, anak saudara atau mana-mana kanak-kanak yang diamanahkan untuk individu tersebut menjaganya maka individu itu boleh dikenakan hukuman denda tidak melebihi RM20,000 atau penjara tidak lebih 10 tahun atau kedua-duanya sekali.
Peruntukan yang ada juga menetapkan, jika mahkamah berpuas hati bahawa individu yang diamanahkan untuk menjaga kebajikan dan keselamatan kanak-kanak tertentu telah gagal melaksanakan tanggungjawab dan peranan yang perlu, maka mahkamah boleh memerintahkan agar kanak-kanak yang terabai secara sengaja itu diserahkan hak jagaannya kepada individu yang lebih layak.
Akta itu juga menetapkan, mana-mana individu yang maklum mengenai kes kelalaian dan pengabaian tanggungjawab seseorang terhadap mana-mana kanak-kanak tetapi bersikap mendiamkan diri dan tidak mengambil tindakan melaporkannya kepada pihak berkuasa bagi menangani kes tersebut, individu itu juga akan dihadapkan ke mahkamah.
Jika disabitkan bersalah, individu tersebut boleh dikenakan hukuman denda tidak melebihi RM5,000 atau penjara tidak lebih dua tahun atau kedua-duanya sekali.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: