Saturday, February 9, 2013

Fathia Tolak Lamaran Kerabat Diraja

Fathia
KUALA LUMPUR: Pelakon Fathia Latiff telah dirisik seorang kerabat diraja tetapi dia terpaksa menolak hasrat lelaki itu kerana tidak mahu terikat dengan golongan istana.
Fathia atau nama sebenarnya Nur Fathia Abd Latiff, 26 berkata, dia dan kerabat itu sebenarnya berkawan baik tetapi tidak pula menyangka pemuda tersebut berhasrat untuk menjadikannya sebagai calon isteri.
"Memang saya akui lelaki daripada kalangan kerabat itu telah menyunting saya tetapi saya menolak lamaran tersebut dengan baik.
"Sebenarnya kami berkawan sebelum ini, tak sangka pula dia ingin melamar saya. Lamaran itu hanya dibuat kepada saya tanpa berjumpa dengan keluarga," katanya.
Fathia ditemui pada sidang media majlis kerjasama antara syarikat penerbangan Air France dan Rafflesia yang akan membawa tiga selebriti iaitu Fizo Omar, Tasha Shilla termasuklah Fathia sendiri bercuti ke Perancis.
Sidang media itu diadakan di Rafflesia, Hotel Park Royal, di sini, petang Jumaat.
Fathia (kanan) bersama rakan-rakan artis Fizo Omar (tengah) dan Tasha Shilla.
Tambah Fathia, dia yang masih solo itu enggan mencari jodoh daripada golongan yang mempunyai pengaruh kuat tetapi cukuplah sekadar lelaki biasa yang berpelajaran dan mampu menjaganya dengan baik.
"Entahlah, saya selesa dengan lelaki biasa. Lagipun rasanya susah juga nak menjalinkan hubungan cinta dengan kerabat, banyak risikonya," ujar Fathia yang baru sahaja selesai penggambaran telefilem Nur Sarah yang akan disiarkan di TV3 tidak lama lagi.
Sementara itu, mengenai percutian ke Perancis bersama dua lagi rakan artis Fathia berkata, mereka akan ke negara itu selama seminggu bermula 23 April depan.
"Kami dipertanggungjawabkan mempromosikan Perancis menerusi akaun Twitter dan Instagram masing-masing.
"Berkemungkinan kami akan membawa 20 orang peminat menyertai percutian ini," ujarnya.
Ketiga-tiga artis berkenaan mendapat penajaan tiket penerbangan manakala Rafflesia pula akan menanggung kos perbelanjaan sepanjang berada di negara itu.
Ini juga merupakan penerbangan pertama Air France dari Malaysia ke Perancis.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: