Ekin Rahman
Ekin ketika majlis pelancaran albumnya, baru-baru ini.
LAPAN tahun bukanlah jangka masa yang singkat, namun buat bekas peserta program realiti Akademi Fantasia musim ketiga, Ekin, penantiannya itu nyata berbaloi dengan terhasilnya buah tangan album pertama, Ekin Rahman-Satu Percaturan yang cukup bermakna.

Album terbitan Stadium First itu juga dikatakan satu titik permulaan buat anak kelahiran Sabah ini untuk mengembangkan bakat nyanyiannya di peringkat yang lebih baik.

Menurut Ekin, 28, album pertamanya itu mengandungi tujuh buah lagu baru yang berkonsepkan universal, di mana setiap satunya mengetengahkan genre yang berbeza seperti Satu Percaturan, Mencari Cinta, Ceritaku Dan Dia, Kekasih, Zapin Budi, Dengarlah Sayang dan Moment For Us.

“Mungkin ramai yang akan katakan album ini seperti rojak kerana ianya tidak fokus pada satu genre. Tetapi saya selesa dengan konsep ini kerana saya sendiri masih belum pasti selera pendengar sekarang.

“Lagi pun, ia memudahkan dan meyakinkan saya untuk menarik perhatian peminat jika buat persembahan kerana ia berlainan genre,” jelasnya pada majlis pelancaran albumnya di Red Box The Gardens.

Tambah Ekin, pembikinan album pertama ini tercetus apabila pihak penerbit menawarkan peluang kepadanya setelah menjalinkan kerjasama melalui program Hari Belia Negara.

“Perbincangan dilakukan sekitar pertengahan tahun lalu setelah saya mengikuti beberapa siri persembahan untuk program tersebut.

“Alhamdulillah, proses pembikinan album ini berjalan baik dan siap sepenuhnya pada Disember tahun lalu,” katanya yang turut terlibat sebagai penulis lirik menerusi lagu, Cerita Ku Dan Dia.

“Secara keseluruhannya, saya sangat berpuas hati dengan penghasilan album ini dilakukan dan secara jujurnya, saya sangat gembira kerana impian untuk menghasilkan album terlaksana,” katanya.

Hampir berputus asa

Mengakui dirinya pernah berputus asa, Ekin bagaimanapun mula menyedari bakat nyanyiannya masih diperlukan setelah beberapa tawaran membuat persembahan diterimanya.

“Ketika itu saya bergerak sendiri dan tidak tahu mana arah tuju karier nyanyian saya sehingga berhasrat untuk meninggalkan kerjaya ini.

“Namun melihatkan undangan nyanyian yang tidak putus, saya sedar bakat saya masih diperlukan dan sejak itu saya berusaha mencari peluang yang lebih baik,” katanya.

Menyentuh mengenai hubungan percintaan bersama kekasihnya, Yazer, 30, yang juga merupakan bekas pelajar Akademi Fantasia musim ketiga, Ekin memberitahu hubungan mereka masih lagi berjalan dengan baik.

“Kami masih lagi bercinta, namun perancangan untuk mendirikan rumah tangga masih belum dibincangkan secara serius memandangkan kami mahu beri tumpuan terhadap karier masing-masing terlebih dahulu.

“Jika semuanya sudah stabil, barulah kami akan mula memikirkannya,” jawab Ekin.