Monday, February 18, 2013

Cetusan segar pelajar fesyen UiTM


PENERIMA Anugerah Rekaan Terbaik. Dari kiri Azmil, Nurul Diyana dan Farah Izyan.


INSPIRASI pop art yang mempengaruhi pesona rekaan seorang gadis yang berasal dari Ipoh, Perak menggamit perhatian khalayak penggemar fesyen yang menghadiri sebuah acara peragaan pada Januari lalu.
Lokasi istimewa iaitu White Box, Publika Solaris Dutamas, Kuala Lumpur itu akhirnya menjadi saksi hasil kreativiti Nurul Diyana Zainul membawa pulang Anugerah Busana Terbaik.
Begitupun, gadis tersebut mendapat saingat hebat daripada para pelajar tahun akhir jurusan Ijazah Seni Reka Fesyen, Fakulti Seni Lukis dan Seni Reka, Universiti Teknologi Mara (UiTM), Shah Alam yang sama-sama menyertai acara itu.
"Tidak sia-sia pengorbanan sepanjang semester ini sehingga mendapat pengiktirafan tertinggi dalam kerjaya saya yang baru bermula ini," luahnya usai acara peragaan dan penyampaian anugerah.
Mengambil konsep ready-to-wear dengan lukisan bandar raya Kuala Lumpur, idea itu dilampiaskan ke atas material denim likra.
"Tercetusnya idea menggunakan bandar raya Kuala Lumpur adalah berlandaskan Tahun Melawat Malaysia yang bakal diadakan pada tahun 2014.
"Jika sebelum ini kita hanya dihidangkan busana-busana yang menggunakan landskap ibu kota negara luar, kenapa tidak kita zahirkan keindahan negara sendiri?," ujarnya.
Tidak mengetepikan unsur praktikal dalam rekaan, setiap busana ditampilkan dengan gaya ringkas dan bersahaja agar tidak menenggelamkan motif utama yang cuba ditonjolkan.
"Saya banyak mengaplikasikan teknik siluet era 60-an kerana tidak mahu terlalu selerak dengan unsur-unsur yang tidak perlu," jelasnya.
Ilustrasi terhasil merupakan lukisan tangan sendiri yang seterusnya menggunakan teknik cetakan digital bagi menimbulkan impak siluet yang diinginkan.
"Teknik tersebut memakan masa dan memerlukan sumber kewangan yang banyak kerana perlu teliti dengan hasil seperti dirancang. Proses tersebut agak rumit kerana cetakan perlu tepat pada kedudukan yang dimahukan.
"Jika berlaku kesilapan, proses tersebut akan diulang sehingga benar-benar sempurna. Namun, hasilnya amat memuaskan hati dan boleh dikatakan misi saya berjaya," ujarnya yang membelanjakan hampir ribuan ringgit untuk rekaan empat busananya itu.
Tambah Nurul Diyana, ibunya banyak membantu sepanjang usaha menyiapkan koleksi berkenaan.
"Ibu saya memberi motivasi dan dorongan ketika saya hampir menyerah dan berputus asa. Dedikasi istimewa kemenangan ini ditujukan buat ibu," luahnya.
Bermain elemen
Menurut Koordinator Fesyen, Fakulti Seni Lukis dan Seni Reka, UiTM Shah Alam, Faizal Hamid, pertunjukan fesyen tahunan ini menggabungkan bakat, teori, rekaan dan teknikal serta kebolehan pelajar yang mengambil inspirasi daripada pelbagai sumber bagi menghasilkan koleksi mereka.
"Setiap rekaan mempamerkan kebolehan pelajar bermain dengan elemen garisan, tekstur dan perincian. Pada masa yang sama, mereka turut mengaplikasikan teknik draping, pleating, ilusi dan drama yang cuba memartabatkan fesyen sebagai satu hasil seni tulen," ujarnya ketika dihubungi Stailo.
Tambahnya, keupayaan dan bakat setiap pelajar dalam menghasilkan rekaan ulung mereka ini bagi memenuhi syarat program pengajian yang diikuti.
Kontra kepada persalinan chic Nurul Diyana, busana rekaan Azmil Mohd. Amin, 22, memberi penonjolan imej yang lebih berani dengan pemilihan warna hitam menjadi rona utama dalam koleksinya.
PANORAMA bandar raya Kuala Lumpur menjadi pilihan Nurul Diyana.


Mengambil inspirasi tindikan, Azmil mempamerkan kebolehan dalam mengolah besi-besi kecil sebagai aksesori signatur bagi melengkapkan gaya peribadinya.
"Melalui koleksi ini, saya mendapat inspirasi daripada isu semasa yang jika kita lihat membuat tindikan pada bahagian-bahagian tubuh bagi menonjolkan ekspresi diri.
"Saya cuba kaitkan semua permasalahan tersebut dalam koleksi kali ini," ujarnya.
Tambahnya, rona hitam melatari keseluruhan koleksi bagi menampakkan sisi misteri dan lasak bersesuaian dengan perjalanan ceritera sang pereka.
"Kesukaran paling getir pada saya adalah menyiapkan perincian-perincian yang menggunakan besi-besi kecil tersebut ditambah lagi fabrik yang digunakan memberi impak kepada idea secara keseluruhan," terang Azmil.
Penggunaan material seperti PVC, kanvas dan likra dapat dilihat pada empat busana rekaannya.
Persaingan sengit
Tidak menyangka koleksi yang dinamakan Body Piercing mendapat tempat kedua terbaik, Azmil melahirkan rasa kesyukuran kerana tidak menyasarkan untuk dinobatkan setinggi itu.
"Persaingan memang sengit kerana setiap pelajar mempunyai kekuatan yang tersendiri dan cuba menonjolkan kepakaran dalam menghasilkan rekaan yang menarik.
Kekuatan koleksi Azmil adalah melalui penggunaan bahan dan perincian yang berbeza jika dibandingkan dengan pereka-pereka lain. Selain itu elemen yang cuba diterapkan menjangkaui kebolehan seorang pereka amatur sepertinya.
Tahap profesionalisme yang wujud dalam diri setiap pereka-pereka muda tersebut amat membanggakan hingga ada yang melebihi kebolehan seorang pereka berpengalaman.
Inovasi rekaan dapat dilihat dalam rekaan Farah Izyan Suhaidi, 24, yang tampil dengan busana kreatif inspirasi tulang-belulang manusia. Elemen avant-garde menaikkan mood para penonton yang terpana dengan ketelitian pereka muda ini dalam mencipta rekaan mengagumkan.
Ciptaan unik Farah Izyan mencetus polemik baharu dalam dunia seni rekaan hingga diangkat antara terbaik dalam acara pertunjukan fesyen pada hari itu.
Tidak ramai yang mampu membawa elemen avant garde yang kelihatan menarik, namun percubaan Farah Izyan boleh dianggap berjaya hingga langsung tidak mempamerkan kejanggalan kepada si pemakai.
Unsur-unsur unik menjadi kegemaran pereka yang mengagumi rekaan Datuk Radzuan Radziwill dan Alexander McQueen kerana beranggapan ia lebih menonjol dan mencabar kemampuan seorang pereka.
"Saya merasakan masyarakat kini lebih menerima rekaan sebegini kerana kita semakin terbuka dalam menerima idea-idea baharu. Seperti juga rekaan saya yang memerlukan sedikit sahaja perubahan agar lebih selari dengan permintaan pasaran ready-to-wear," ujar pereka kelahiran Sungai Petani, Kedah itu.
Seperti pereka muda yang lain, Farah Izyan turut menyimpan impian untuk menjenamakan rekaannya ke peringkat yang lebih tinggi.
"Mungkin buat permulaan saya membuat rekaan ready-to-wear dahulu sebelum mengorak lebih luas dalam industri ini," terangnya optimis.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: