|
BERADA di tengah-tengah kehidupan serba moden hari ini setiap manusia diberi kebebasan serta pilihan untuk mencongak haluan kehidupan masing-masing bagi mencapai kesempurnaan dan matlamat yang diimpikan.
Namun, dek godaan dunia terutamanya tatkala menjadi penghuni ibu kota besar, bukan sedikit umat Islam yang adakalanya tersungkur ke jalan tidak diredai Allah.
Bagaimanapun, agama Islam tidak pernah meninggalkan umatnya dengan begitu sahaja, bahkan dibekalkan bersama kitab suci al-Quran serta as-Sunnah yang harus dijadikan pedoman bagi menjamin kehidupan yang kekal bahagia di dunia dan juga di akhirat.
Justeru, penubuhan Yayasan Al-Jenderami sebagai salah satu badan bukan kerajaan (NGO) pada tahun 2003 yang berteraskan manhaj Islami adalah amat bertepatan bagi mengembalikan penghayatan masyarakat kepada pengamalan kehidupan Islam secara lebih menyeluruh (syumul) berlandaskan syariat.
Terletak di kawasan yang strategik iaitu di Jenderam Hilir, Dengkil, Selangor kira-kira 45 kilometer (km) dari Kuala Lumpur menjadikan ia pusat setempat dan tumpuan kepada mereka yang dahaga dan cintakan ilmu agama.
Yayasan Al-Jenderami bagaimanapun terlebih dahulu bermula sebagai sebuah pusat pengajian Islam (sistem tradisional pondok) pada tahun 1986.
Ia kemudian mengalami anjakan paradigma lantas mengubah pusat itu kepada sebuah yayasan yang mempunyai organisasi lebih sistematik dan profesional sebagai langkah untuk memastikan ia mengikuti peredaran masa.
Kini, kompleks tersebut cukup bertuah kerana telah dilengkapi dengan prasarana lengkap seperti dewan serbaguna, masjid, Al-Jenderami Inn, rumah warga emas dan Pusat Kecemerlangan Insan Al-Jenderami (JISADANI).
Bagi mereka yang pertama kali berkunjung ke kompleks berkenaan, pasti terpegun dengan kecantikan seni bina dan persekitaran kompleks yang begitu bersih.
Siapa sangka seni bina masjid yang mirip kepada Masjid Nabawi di Madinah tersergam indah di kawasan seluas 1.6 hektar itu.
Justeru, setiap kali mendengar suara azan berkumandang dan melihat sendiri suasana komunitinya ke masjid untuk bersolat jemaah mendatangkan kedamaian kepada diri.
Benteng akidah
Ketua Pegawai Operasi Yayasan Al-Jenderami, Shahirul Azmar Ishak berkata, matlamat membina kompleks tersebut adalah untuk membangunkan sebuah perkampungan contoh yang menjurus kepada pembentukan sahsiah serta jati diri masyarakat demi menjunjung perintah Allah dan mengamalkan sunnah Rasul.
"Kompleks ini diharap menjadi kota dan benteng kepada akidah ahli Sunnah Wal Jamaah berbekalkan aspirasi peradaban ilmu dan amalan ulama salafussoleh. Malah, ia menjadi tonggak kekuatan rohaniah sebagai pertahanan menghadapi fitnah akhir zaman," jelas Shahirul.
Bagi membuktikan kenyataan itu, Kompleks Yayasan Al-Jenderami sentiasa dipenuhi dengan pengisian aktiviti-aktiviti keagamaan, kebudayaan, kebajikan dan pendidikan yang berterusan kepada komunitinya.
Malah, perkara yang jarang berlaku di tempat lain ialah kompleks itu sering dikunjungi ulama-ulama besar sama ada dari Nusantara mahupun dari Timur Tengah ketika majlis besar-besaran seperti sambutan Maulidul Rasul.
|
|
Ini sekali gus memberi peluang kepada masyarakat Islam untuk mengambil berkat dan mengenali lebih dekat ulama muktabar yang sudah tentu peluang keemasan itu sukar diperoleh.
Pada masa sama, jelas Shahirul, yayasan tersebut juga mengadakan kunjungan silaturahim dan kembara ke beberapa tempat di dalam dan luar negara contohnya Aceh, Indonesia, Pattani, India, Iraq, Thailand dan beberapa kota di Mesir.
"Tujuan diadakan ziarah ini adalah untuk menjalinkan silaturahim di samping melihat sendiri peninggalan warisan sejarah tamadun Islam," kongsi Shahirul.
Istiqamah beribadat
Seorang penghuni di rumah warga emas kompleks tersebut, Rahimah Osman, 68, memberitahu, begitu gembira menjadi salah seorang daripada warga Al-Jenderami.
Menurutnya, walaupun terpaksa berjauhan daripada anak-anaknya, tetapi Al-Jenderami banyak memberi peluang kepada Rahimah untuk melakukan ibadat dengan betul pada kala usia yang semakin senja.
"Ketika di rumah kita tetap boleh bersolat sebenarnya, namun jarang berpeluang bersolat secara berjemaah selain melakukan ibadat-ibadat sunat yang lain. Di sini, saya tidak rasa kesunyian. Saya rasa lebih bersemangat dan istiqamah bersama warga emas yang lain untuk beribadat, malah berpeluang menghadiri kelas pengajian al-Quran bagi membetulkan bacaannya.
"Lebih manis, jika berkemampuan, kita boleh pergi menziarahi makam ulama silam dan tempat-tempat bersejarah seperti ke Baitulmaqdis dan Indonesia melalui program ziarah yang dianjurkan itu," ujar Rahimah lagi.
Begitupun, Rahimah menjelaskan bahawa hubungan beliau dengan anak-anak sekeluarga tidak pernah putus.
"Setiap hari, mereka akan menelefon saya untuk mengambil tahu dan jika ada kelapangan pada waktu hujung minggu, mereka akan datang menziarahi saya," kata Rahimah.
Tidak pernah sunyi
Seorang pelajar remaja sekolah di kompleks itu pula, Muhammad Akram Azmil, 14, memberitahu, beliau gembira dan bersyukur dihantar di situ walaupun terpaksa berjauhan dengan keluarganya di Perak.
"Kami di sini bukan sahaja dibekalkan dengan ilmu agama semata-mata, tetapi diasuh supaya melakukan kerja harian seperti memasak, mengemas dan menjaga kebersihan persekitan.
"Dengan melakukan kerja-kerja sedemikian, ia mampu menundukkan nafsu dan membentuk sahsiah serta akhlak seseorang," kata Muhammad Akram.
Tambah Muhammad Akram, tinggal di kompleks berkenaan juga memberi ketenangan pada jiwanya.
"Walaupun lokasinya berada di dalam kawasan perkampungan, namun segala aktiviti yang diadakan setiap minggu menyebabkan saya tidak berasa kesunyian.
"Sebagai contoh, dengan mengadakan majlis seperti tahlil dan zikir pada waktu malam, ia mendatangkan ketenteraman kepada diri," ujar Muhammad Akram yang berhasrat untuk melanjutkan pelajaran ke Indonesia ataupun Asia Barat.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: