Saturday, November 10, 2012

SAV mewah BMW X1 sDrive20i


WALAUPUN perlu membayar pada harga premium, anda pasti puas dengan jentera ini.


BMW Group Malaysia (BMW Malaysia) baru-baru ini memperkenalkan varian baharu BMW X1 sDrive20i yang pastinya memeriahkan lagi pasaran kenderaan aktiviti sukan (SAV) mewah tempatan.
BMW X1 yang memiliki rekaan kontemporari dan sporty dibina untuk memenuhi keperluan gaya hidup aktif pelanggan berjiwa muda. Elemen serba boleh dan binaan premium seperti semua model BMW turut diadun pada produk baharu itu.
Model X1 mula diperkenalkan di Malaysia sejak tahun 2010. Dalam tempoh hanya dua tahun, sebanyak 2,000 unit kenderaan SAV itu sudah berjaya dijual.
Kenderaan itu dilengkapi enjin petrol pancitan terus 2.0 liter BMW TwinPower Turbo bersama sistem pengecas turbo TwinScroll dan Valvetronic. Ia kemudian dipadankan dengan kotak gear automatik lapan kelajuan.
Enjin tersebut mampu menjana kuasa maksimum sehingga 184hp dan tork puncak 270Nm. SAV kompak itu berupaya memecut dari titik pegun hingga 100 kilometer sejam (km/j) dalam masa cuma 7.7 saat.
Jarak pemanduan 100km melibatkan penggunaan bahan api sebanyak 6.7 liter, manakala emisi karbon pula berada pada paras 157 gram bagi setiap km.
BMW X1 memiliki rekaan luaran yang lebih segar dan bergaya. Apron hadapan memaparkan ruang kemasukan aliran udara dan garis badan seperti yang terdapat pada model-model BMW siri X lebih besar. Lampu hadapannya turut diubah.
Bahagian dalaman pula membabitkan rekaan semula konsol tengah yang menghala ke arah pemandu. Material yang diguna pakai berkualiti premium. Tidak lupa juga stereng sport dan pencahayaan ambien dalam ruang kabin.
BMW X1 memiliki ruang simpanan barangan seluas 420 liter. Ruang itu boleh ditingkatkan sehingga 1,350 liter apabila barisan tempat duduk belakang dilipat sepenuhnya.
Selari dengan imejnya sebagai sebuah syarikat inovasi, BMW menjadikan mode ECO PRO sebagai ciri standard. ECO PRO membantu X1 sDrive20i menggunakan bahan api secara optimum, selain penjimatan tenaga menerusi pendingin hawa.
X1 sDrive20i boleh didapati menerusi rangkaian pengedar BMW di seluruh negara mulai hari ini. Model yang didatangkan dalam pilihan warna putih, hitam, kelabu, biru, tembaga dan oren itu ditawarkan pada harga atas jalan tanpa insurans RM238,800 seunit.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: