Tuesday, November 27, 2012

Pelbagai program inisiatif Teraju


SME Bank antara penyedia dana bagi syarikat bumiputera.


DALAM usaha memacu dan membantu syarikat-syarikat bumiputera kecil serta sederhana untuk terus berkembang, Unit Peneraju Agenda Bumiputera (Teraju) telah mewujudkan pelbagai program di bawahnya.
Selain program Syarikat Bumiputera Berprestasi Tinggi (Teras), Teraju turut memperkenalkan program lain antaranya Dana Mudah Cara, Skim Jejak Jaya Bumiputera, Yayasan Peneraju Pendidikan Bumiputera dan Teraju@Koridor.
Melalui program Dana Mudah Cara kerajaan telah mewujudkan dana bernilai RM2 bilion yang diuruskan oleh Unit Perkongsian Awam-Swasta (Ukas) dan Teraju. Ia bagi menggalakkan bumiputera untuk memberanikan diri melaksanakan projek sektor swasta.
"Melalui Dana Mudah Cara, projek yang mampu meningkatkan pendapatan syarikat bumiputera boleh diberi dana secara geran sebanyak 15 peratus daripada jumlah kos projek. Geran ini tidak perlu bayar balik. Kini, Teraju menerima 70 permohonan daripada syarikat berkenaan," jelas Ketua Pegawai Eksekutif Teraju, Husni Salleh.
Sebagai sebuah unit yang dirintis oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, Teraju juga meneroka inisiatif-inisiatif baharu dan memperkenalkan pembaharuan kepada instrumen sedia ada.
Kerjasama agensi lain
Lantaran itu, Teraju menjalankan kerjasama strategik dengan agensi-agensi kerajaan, sektor swasta dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO).
"Menerusi kerjasama dengan agensi kerajaan yang lain, Teraju menawarkan pembangunan bakat, perniagaan dan peluang kewangan kepada bumiputera yang setakat ini bernilai RM14 bilion.
"Usaha yang kita lakukan juga membuahkan hasil kerana sebelum ini hanya SME Bank menawarkan dana bernilai RM500 juta kepada syarikat bumiputera dengan RM190 juta daripadanya telah diluluskan.
"Namun kini, Teraju menerima banyak tawaran daripada pihak bank lain untuk turut dengan penawaran dana kepada syarikat bumiputera," katanya.
Jelas Husni, Teraju turut membuat program bersama Permodalan Nasional Berhad (PNB) dengan dana sebanyak RM5.5 juta untuk syarikat bumiputera yang berkecimpung dalam sektor peruncitan.

ORANG ramai boleh melayari laman web Teraju untuk mendapatkan pelbagai maklumat lanjut mengenai unit itu.


Bagi program bersama Majlis Amanah Rakyat (Mara) sebanyak RM50 juta diperuntukkan kepada syarikat bagi meningkatkan pegangan saham bumiputera dalam sesebuah syarikat.
"Kita cuba memberi bantuan syarikat-syarikat ini untuk membeli saham-saham sekali gus meningkatkan ekuiti bumiputera terutamanya dalam syarikat besar.
"Jika sebelum ini individu bumiputera itu hanya memiliki saham 20 peratus dalam sesebuah syarikat, kita bantu mereka meningkatkan lagi pegangan terutama dalam syarikat besar," kata Husni.
Tambahnya, terdapat juga satu program yang dikenali sebagai Skim Jejak Jaya Bumiputera. Skim tersebut untuk mempercepatkan pertumbuhan syarikat supaya boleh disenaraikan dalam Bursa Saham.
"Kita buat program Stairway To Listing dengan kerjasama Bursa Malaysia dan SME Corporation untuk membolehkan syarikat terutama syarikat teras disenaraikan. Ketika ini, terdapat tujuh syarikat yang telah disenaraikan di Bursa Malaysia," katanya.
Projek-projek besar iaitu membabitkan pelaburan melebihi RM500 juta, pihaknya meminta syarikat bumiputera untuk membida secara terbuka.
Contohnya, Projek Mass Rapid Transit (MRT) Corporation yang berjumlah RM20 bilion bagi fasa pertama, 43 peratus telah diperuntukkan kepada bumiputera.
"Projek MRT yang bernilai lebih RM80 bilion, kita galakkan syarikat bumiputera membida secara telus untuk mendapatkan projek. Kita telah dapat 47 peratus daripada nilai projek iaitu melebihi sasaran awal yang ditetapkan," katanya.
Pendidikan
Selain itu, anak-anak kampung yang pintar juga tidak dilupakan Teraju apabila Yayasan Peneraju Pendidikan Bumiputera dilancarkan pada tahun lepas. Yayasan itu berjaya menjana dana lebih RM250 juta.
Yayasan tersebut berfungsi bagi mengenal pasti anak-anak pintar yang tercicir daripada arus pembangunan dan diberi peluang untuk melanjutkan pelajaran ke peringkat tertinggi.
Setakat ini, sebanyak 200 pelajar telah terpilih dan ditempatkan di kolej-kolej atau universiti tertentu dengan diberikan biasiswa atau pinjaman. Pelajar yang mendapat keputusan cemerlang ketika di kolej atau universiti, pinjaman pelajaran mereka akan ditukar kepada biasiswa.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: