Yuna atau nama sebenarnya Yunalis Zarai berkata, walaupun tidak pernah risau jika satu hari nanti peminat-peminatnya akan hilang gara-gara kesibukan diri di luar negara, namun dia harus akui, kehadiran penyanyi-penyanyi baru memberi saingan hebat buat dia untuk kekal menjadi pemuzik berkualiti.
"Jujurnya, saya tidak pernah risau jika peminat-peminat akan hilang. Bagi saya, perjuangan saya di AS juga adalah perjuangan mereka (peminat) yang sentiasa menyokong saya sejak bergelar penyanyi lagi.
"Bagaimanapun, dengan ketumbuhan penyanyi-penyanyi baru yang sangat ramai, saya perlu bersaing untuk mengekalkan kedudukan dan muzik agar sentiasa berkualiti. Ia satu persaingan yang sihat," katanya.
Sementara itu, bercerita mengenai perkembangan karier Yuna di AS, dia bersyukur apabila album pertama di negara itu iaitu Yuna, dibawah syarikat rakaman Fader Label mendapat respons yang sangat positif sepanjang enam bulan berada di pasaran.
Beritahu penyanyi berusia 26 tahun itu, dia juga telah membuat konsert jelajah selama tiga bulan dan gembira apabila dapat membina serta mengumpul peminat-peminat baru di negara itu.
"Alhamdulillah, saya gembira apabila album yang menampilkan sebanyak 13 buah lagu berjaya menarik perhatian penggemar muzik di sana.
"Jika di Malaysia kita digelar penyanyi terkenal, tetapi di AS, mereka menganggap saya seperti pemuzik profesional.
"Bagaimanapun, mereka tak adalah sampai menjadi peminat yang begitu fanatik. Sebaliknya mereka menghargai setiap muzik yang saya tonjolkan," ujarnya.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: